Perbezaan pendapat mestilah ditangani dengan hormat dan ikhlas untuk bawa perubahan: Sharael Taha
Perbezaan pendapat akan sentiasa wujud dan kita mesti menanganinya dengan penuh hormat, sabar dan komited untuk sama-sama membawa perubahan positif dan menghuraikannya.

Perbezaan pendapat akan sentiasa wujud dan mesti ditangani dengan penuh hormat. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Demikian menurut Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha menerusi catatan Facebooknya pada Jumaat (14 Mac).
Beliau menambah "jika kita benar-benar mahu membawa perubahan, jalan terbaik adalah dengan bersatu dan menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih penting".
Encik Sharael menyatakan demikian menyusuli insiden sekumpulan individu yang datang ke Sesi Bertemu Rakyat Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk dengan sengaja bersemuka, membuat kacau dan cuba melakukan provokasi.
Insiden itu dikongsi oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam dalam catatan Facebooknya pada Khamis (13 Mac).
"Ada yang berkongsi betapa sukar untuk memahami perbezaan antara penampilan mereka dan kelakuan mereka, termasuk isyarat tidak sopan yang ditunjukkan. Namun, satu perkara jelas—mereka tidak mewakili nilai-nilai masyarakat kita, lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan," kata Encik Sharael.
Kumpulan itu dilaporkan telah mengganggu lebih 10 Sesi Bertemu Rakyat (MPS) sejak beberapa bulan lalu. Ini termasuk GRC Pasir Ris-Punggol, dedah Encik Sharael.
"Ada juga yang bertanya sama ada Pasir Ris East adalah salah satu MPS yang mereka kunjungi. Jawapannya, ya. Namun, tindakan mereka selepas itu—termasuk mengeluarkan komen yang menyakitkan tentang keluarga—menunjukkan bahawa mereka bukan benar-benar berminat untuk berbincang secara membina demi membantu perjuangan ini.
Encik Sharael turut berkongsi mengenai dana yang sudah dikumpulkan bagi mambantu penduduj Gaza yang dibelenggu perang Israel-Hamas, sambil menambah bahawa "kita semua turut merasakan penderitaan penduduk Gaza, dan tumpuan kita adalah untuk memberikan bantuan yang nyata dan bermakna".
"Sejak awal Ramadan, tabung M³ Aid for Gaza telah berjaya mengumpulkan lebih $300,000, dengan sukarelawan aktif mencari lebih banyak sokongan di Bazar Geylang. Sukarelawan dari M³ PRPG akan berada di sana pada 15 dan 25 Mac, dan kami juga akan mengadakan Ramadan Ride in Aid of Gaza pada 21 Mac, pukul 10.00 malam.
"Usaha ini adalah sebahagian daripada S$17 juta bantuan yang telah disalurkan dalam tujuh agihan ke Gaza. Marilah kita terus bersatu dalam usaha kita untuk membantu mereka di Gaza," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.