Skip to main content

Singapura

Perbelanjaan pelancongan SG dijangka cecah sehingga S$50 bilion jelang 2040

Perbelanjaan pelancongan di Singapura dijangka mencecah antara S$47 hingga S$50 bilion menjelang 2040.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Apr 2025 08:17PM Dikemas Kini : 11 Apr 2025 09:37PM
SINGAPURA: Perbelanjaan pelancongan di Singapura dijangka mencecah antara S$47 hingga S$50 bilion menjelang 2040.

Malah, ia dijangka tumbuh lebih pesat lagi berbanding kedatangan pelawat antarabangsa.

Lantaran itu, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) akan mengubah tumpuan daripada jumlah kepada penekanan terhadap nilai. Perkara tersebut akan dilaksanakan menerusi tiga strategi.

Strategi pertama adalah dengan menarik permintaan daripada pasaran-pasaran baharu. Ini termasuk pelancong yang datang bagi kegiatan mesyuarat, insentif, pesidangan dan pameran atau MICE.

Satu lagi segmen yang disasarkan ialah para pengembara yang melakukan transit di Lapangan Terbang Changi.

Golongan tersebut merangkumi sepertiga trafik keseluruhan Changi.

Kedua, bagi memastikan Singapura terus kekal menarik dalam kalangan pengunjung, Orchard Road dan kawasan Sentosa akan disegarkan semula.

Ini selain usaha mewujudkan konsep pelayaran pesiaran baharu termasuk peningkatan prasarana.

STB juga akan mendekati hotel-hotel berjenama yang diminati pelancong bagi tujuan tersebut.

Ketiga, kesemua usaha berkenaan akan disokong pelaburan dalam perusahaan dan tenaga kerja tempatan bagi memastikan mereka bersedia menghadapi sektor masa hadapan.

Inisiatif tersebut termasuk membawa masuk jenama-jenama global menerusi acara-acara konsep, serta menyokong pembangunan pengalaman pelancongan.

Kutipan pelancongan tahun lalu mencecah rekod baharu pada S$29.8 bilion dan dijangka mencapai S$30.5 bilion tahun ini.

Bagaimanaun, gangguan ekoran tarif Amerika Syarikat boleh menjejas keyakinan pengguna sedang negara-negara menurunkan kadar pertumbuhan masing-masing.

"Walaupun kami menjangkakan barisan kegiatan yang akan merancakkan landskap pelancongan kita, kita mesti bersedia menghadapi kegenjotan jangka pendek hingga pertengahan, yang akan menguji daya kita menyesuaikan kepada keadaan," kata Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Grace Fu.

Beliau turut menambah, "Kami komited untuk menyokong industri dan pekerja kita, bukan hanya mengurangkan kesan yang boleh berlaku kepada pertumbuhan kita tetapi untuk keluar dari kemelut ini lebih berdaya tahan."
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita