Perbarisan RSAF50 saksikan penampilan sulung pesawat A330
Pesawat A330 adalah yang terbaru dimiliki Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) dan yang pertama seumpamanya di Singapura.
Pesawat A330 MRTT milik RSAF. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Pesawat A330 adalah yang terbaru dimiliki Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) dan yang pertama seumpamanya di Singapura.
Buat julung-julung kalinya juga, pesawat pengisi minyak pelbagai fungsi itu atau MRTT ditampilkan di khalayak umum.
Ia tiba di Singapura kira-kira dua minggu lalu dan berperanan memastikan pesawat tempur dapat terbang lebih lama dengan mengisi semula minyak di ruang udara.
Pesawat A330 itu boleh membawa jumlah minyak yang lebih banyak berbanding pesawat tangki yang lain.
Di samping itu, pesawat berkenaan juga digunakan untuk membawa askar-askar atau menjalankan misi pemindahan pesakit.
MRTT adalah satu daripada sejumlah pesawat canggih milik RSAF dalam usahanya untuk menghadapi cabaran-cabaran masa depan.
Sebagai penghormatan kepada golongan perintis RSAF pula, sembilan anggotanya disertakan dalam perbarisan kontinjen yang diadakan pada Sabtu (1 Sep).
Seorang daripada mereka merupakan anggota kumpulan pertama pegawai kadet yang dilatih sebagai juruterbang.
Leftenan Kolonel (Bersara) Leo Tin Boon juga terlibat dalam acara terbang lalu pertama Bendera Negara pada Hari Kebangsaan 1970.
"Saya dibesarkan dalam suasana ketenteraan. Ibu bapa saya bekerja sebagai pekerja domestik di Pangkalan Tentera Laut British pada masa itu. Bagaiamanapun, saya memilih menyertai tentera udara untuk menyumbang kepada pembangunan negara," kata beliau.
Sebuah mural yang memaparkan 50,000 rakyat Singapura yang menghadiri pelbagai acara RSAF sepanjang tahun, turut didedahkan di akhir acara.
Lukisan itu menggambarkan tekad dan azam RSAF untuk menjaga keselamatan ruang udara Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.