Perbahasan tentang ucapan kebencian di Parlimen 'tepat pada masanya': Presiden Halimah
Presiden Halimah Yacob berkata, perbahasan tentang ucapan kebencian di Parlimen Singapura awal minggu ini adalah "tepat pada masanya", kerana Christchurch pastinya bukan tindakan pengganas terakhir dan rakyat Singapura tidak boleh menganggapnya sebagai sesuatu yang mustahil berlaku di sini.
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob berkata, perbahasan tentang ucapan kebencian di Parlimen Singapura awal minggu ini adalah "tepat pada masanya", kerana Christchurch pastinya bukan tindakan pengganas terakhir dan rakyat Singapura tidak boleh menganggapnya sebagai sesuatu yang mustahil berlaku di sini.
Rakyat katanya, mesti berusaha sedaya upaya mematahkan matlamat golongan pelampau dan pengganas dengan membuktikan keganasan mereka tidak akan memecahbelahkan, sebaliknya menyatupadukan masyarakat.
Presiden Halimah berkata demikian pada acara anjuran Pertubuhan Antara Agama (IRO) malam ini (3 Apr) bagi memperingati para mangsa serangan pengganas di dua masjid di bandar Christchurch, New Zealand yang meragut 50 nyawa pada 15 Mac lalu.
120 WAKIL BERBILANG AGAMA BERTAFAKUR

Lebih 120 orang berhimpun di Raffles Town Club malam ini, termasuk para pemimpin dan penganut daripada 10 agama utama di Singapura.
Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Singapura, Jo Tyndall juga turut serta dalam acara itu.
Mereka bertafakur seminit bagi memberi penghormatan kepada para mangsa serangan pengganas di Christchurch hampir tiga minggu lalu.
Puan Tyndall juga diberi buku mengandungi kata-kata dan ucapan takziah daripada masyarakat Singapura kepada para keluarga mangsa serangan pengganas Christchurch.
KECEKALAN DAN PERPADUAN RAKYAT NEW ZEALAND
Puan Halimah turut menarik perhatian terhadap kecekalan dan sifat daya tahan warga New Zealand dalam menghadapi kejadian itu.
"Kami lihat kecekalan rakyat New Zealand yang berdiri bersama tidak kira kaum, agama atau kaitan lain, demi menunjukkan sokongan dan belas ihsan kepada mereka yang terjejas serta meyakinkan masyarakat umum bahawa mereka tidak akan lemah akibat tragedi ini.
"Seminggu selepas insiden itu, azan dilaungkan di Christchurch dan merata New Zealand.
"Ramai warga bukan Muslim menyertai masyarakat Muslim pada solat Jumaat. Rakyat New Zealand benar-benar menunjukkan mereka cekal dan tidak akan dipecah belahkan oleh pengganasan," katanya.
Presiden Halimah juga memuji pucuk kepimpinan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, yang memberi jaminan kepada masyarakat Muslim di New Zealand akan keselamatan mereka.
Beliau juga menarik perhatian terhadap sikap pemaaf masyarakat Muslim di sana sebagai respons terhadap apa yang berlaku.
PERANAN IRO

Puan Halimah menggariskan bahawa mengekang ucapan kebencian bagaimanapun hanya satu aspek dalam menangani isu pengganasan. Memahami dasar kebencian sebenar dapat membantu membangunkan strategi lebih berkesan bagi menangani isu tersebut.
“Satu strategi yang kami sudah bangunkan di Singapura adalah IRO. Ia memainkan peranan dalam mengukuhkan persefahaman dan sifat hormat dalam kalangan agama berbeza,” kata Puan Halimah.
Presiden IRO, Encik Ben J Benjamin berkata: “Para anggota IRO Singapura berdiri bersama New Zealand mengutuk keganasan dahsyat yang bertujuan memecahbelahkan masyarakat.
“Selama lebih 70 tahun, IRO sudah bertungkus-lumus membina nilai penting keharmonian antara agama dalam kalangan masyarakat kita, supaya kita kekal bersatu, jika dan bila perpaduan sosial kita diancam.”
Puan Halimah menekankan lagi: “Membina masyarakat kukuh dan bersepadu adalah usaha berterusan dan memerlukan komitmen daripada setiap daripada kita. Pemerintah dan masyarakat bekerjasama bagi memperluaskan peluang bagi rakyat Singapura untuk membincangkan dan berinteraksi merentasi sempadan kaum, agama, kepercayaan dan latar belakang.”
WAKIL BERBILANG AGAMA BERI PENGHORMATAN

Imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan Al-Attas berkata: “Perhimpunan ini adalah untuk mencurahkan hati kita kepada, pertama, mangsa-mangsa yang telah gugur pada Jumaat di kedua-dua masjid di New Zealand.
“Kedua, untuk mengukuhkan persaudaraan antara agama khususnya di Singapura kerana kita masyarakat berbilang bangsa, kita harus kukuh kita harus bersatu. Kita harus menjaga negara kita dengan selamat.”
ICCS GALAK USAHA AKAR UMBI LINDUNGI KEHARMONIAN
Puan Halimah berkata Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS) akan diadakan buat pertama kalinya pada bulan Jun bagi membincangkan tema mengenai membina perpaduan sosial dan keharmonian antara agama.
ICCS dijangka memberi lebih inspirasi kepada usaha akar umbi bagi menggalak dan melindungi keharmonian sosial.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.