Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbahasan Parlimen dijangka lebih sengit berhubung isu 'sensitif'; penting capai kata sepakat

Dengan lebih ramai suara pembangkang di Parlimen, rakyat Singapura boleh menjangkakan perbahasan yang lebih sengit di Parlimen berhubung isu-isu penting.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbahasan Parlimen dijangka lebih sengit berhubung isu 'sensitif'; penting capai kata sepakat

Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin di Parlimen ke-14.

Diterbitkan : 25 Aug 2020 06:45PM Dikemas Kini : 25 Aug 2020 06:50PM

SINGAPURA: Dengan lebih ramai suara pembangkang di Parlimen, rakyat Singapura boleh menjangkakan perbahasan yang lebih sengit di Parlimen berhubung isu-isu penting. Namun, seperti yang ditekankan oleh Presiden Halimah Yacob semasa menyampaikan ucapannya sempena pembukaan rasmi Parlimen ke-14 pada Isnin malam (24 Ogos), adalah penting untuk mencapai kata sepakat yang lebih luas, menurut para penganalisis kepada Mediacorp menyusuli upacara perasmian itu.

Dalam ucapannya kepada 95 Anggota Parlimen, Presiden Halimah sekali lagi menegaskan bahawa prinsip berbilang kaum memainkan peranan penting dalam jati diri rakyat Singapura dan golongan muda lebih cenderung membincangkannya secara terbuka dan "dalam setiap generasi, ada yang mahu membincangkan isu-isu sensitif dari perspektif baru".

Beliau juga berkata bahawa terdapat satu lagi isu yang berpotensi memecahbelahkan rakyat Singapura - iaitu persaingan yang kian sengit dengan para pemegang pas kerja - juga perlu ditangani.

"Isu-isu sensitif ini boleh mencetuskan reaksi yang hebat. Perbahasan berhubung isu-isu sensitif dengan mudah boleh menimbulkan perbezaan pendapat. Sedang kita membuka lebih banyak ruang untuk mengadakan perbincangan yang bermakna, rakyat Singapura juga mesti berusaha lebih gigih untuk mendengar dan saling memahami antara satu sama lain," kata Presiden Halimah pada Isnin.

Dalam ucapannya selama 25 minit yang menetapkan keutamaan Pemerintah bagi penggal baru, Puan Halimah juga menekankan bahawa melindungi pekerjaan akan terus menjadi keutamaan nombor satu pemerintah bagi tempoh beberapa tahun akan datang dan jaringan keselamatan sosial akan terus diperkukuhkan dalam "norma baru" ini.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Singapura kini berada di satu "titik perubahan" dengan kemunculan generasi muda Singapura dan para pemimpin baru.

Profesor Madya Undang-Undang Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata bahawa pandemik COVID-19 sudah mempercepatkan keperluan untuk membincangkan sesetengah isu tertunggak dan penting untuk menanganinya dengan "berkesan dan tegas".

"Sama ada ia mengenai masyarakat yang lebih adil dan saksama, jurang antara pekerja tempatan dengan pekerja asing dan imigrasi, serta sistem politik yang lebih rencam, kukuh dan berdaya saing. Respons kita akan membentuk masyarakat kita dalam dunia pasca COVID-19 dan kita perlu menentukan sama ada kita mampu mengubah krisis itu menjadi satu peluang yang boleh dimanfaatkan," katanya lagi.

Sungguhpun demikian, ramai penganalisis berpendapat bahawa dengan perbahasan yang lebih terbuka, perbezaan dan konflik boleh berlaku dan ini boleh memecahbelahkan masyarakat.

Peringatan Puan Halimah berhubung usaha untuk mencapai "kata sepakat yang lebih luas" menjadi tema biasa ucapan-ucapan lalu Presiden. Namun, ia penting untuk dibincangkan lagi, menurut timbalan ketua kajian di Institut Pengajian Dasar Dr Gillian Koh.

"Ia tetap penting untuk menekankan bahawa jumlah anggota pembangkang kini lebih ramai - 10 daripada 12 sudahpun dipilih dan kesemuanya dari parti yang sama - iaitu Parti Pekerja," kata Dr Koh.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan