Skip to main content

Singapura

Perbahasan Belanjawan 2026: Tiada ‘pertumbuhan tanpa pekerjaan’ di SG meski AI bentuk semula ekonomi, kata PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Feb 2026 05:52PM Dikemas Kini : 15 Mar 2026 06:30PM
SINGAPURA: Tidak akan berlaku “pertumbuhan tanpa pekerjaan” di Singapura meskipun kuasa Kecerdasan Buatan (AI) sedang membentuk semula ekonomi, kata Perdana Menteri Lawrence Wong di Parlimen pada Khamis (26 Feb).

Ketika menggulung ucapannya selepas perbahasan tiga hari mengenai Belanjawan 2026, Encik Wong berkata Singapura akan memanfaatkan AI untuk mengembangkan ekonomi.

Pada masa yang sama, pemerintah akan memastikan pertumbuhan itu diterjemahkan kepada pekerjaan yang baik dan gaji yang lebih tinggi, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

“Begitu cara kita memberi keyakinan kepada setiap rakyat Singapura untuk terus maju pada masa hadapan.”

Dalam ucapan Belanjawannya pada awal Februari, Encik Wong mengumumkan bahawa beliau akan mempengerusikan Majlis AI Kebangsaan yang baharu bagi memacu agenda AI Singapura.

Majlis tersebut akan menyelia pembangunan dan pelaksanaan “misi AI” dan memberi tumpuan kepada empat sektor: pembuatan maju, ketersambungan, kewangan dan jagaan kesihatan.

“Setiap sektor berbeza dan cara mereka menggunakan AI serta kesannya terhadap pekerja dalam setiap sektor juga berbeza,” kata Encik Wong pada Khamis.

“Dan sebab itulah kita menyelaraskan semua usaha ini melalui Majlis AI Kebangsaan, dengan menyatukan transformasi industri dan peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi memastikan AI meningkatkan taraf pekerja kita.

“Itulah jaminan kami, dan sebab itu strategi kita ke hadapan adalah jelas.”

MELABUR DALAM RAKYAT

Encik Wong turut mengakui kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelbagai Anggota Parlimen (AP) mengenai keresahan yang dirasai pekerja dan graduan baharu dalam menghadapi revolusi AI.

“Kebimbangan ini adalah nyata dan kita perlu dan akan memandangnya dengan serius,” katanya.

Berdasarkan sejarah, setiap gelombang teknologi utama menggantikan sebahagian pekerjaan tetapi juga mewujudkan pekerjaan baharu, katanya. Berdasarkan pengalaman Singapura, AI boleh memperkukuh pekerjaan dan membantu pekerja mencapai lebih banyak, walaupun ia mengautomasikan tugas tertentu.

Encik Wong menambah bahawa pasaran buruh Singapura kekal berdaya tahan buat masa ini.

Peratusan pekerja tetap meningkat ke paras tertinggi rekod hampir 91 peratus, dengan peningkatan dalam kebanyakan sektor.

Kekosongan jawatan terus melebihi jumlah pencari kerja, dan lebih 40 peratus kekosongan adalah bagi jawatan peringkat kemasukan untuk golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET).

Setakat ini, bukti tidak menunjukkan berlakunya penggantian pekerjaan secara meluas, kata PM Wong.

Namun, dengan tekanan baharu yang muncul, ia penting untuk bersiap sedia bagi masa depan, tambahnya.

“Kita tidak boleh hanya bergantung pada data hari ini, kita mesti bersedia untuk hari esok,” katanya.

“Dan saya ada menyebut bahawa pengalaman sejarah dengan gelombang teknologi utama adalah akhirnya lebih banyak pekerjaan dicipta berbanding yang hilang. Itu berlaku pada masa lalu, tetapi tiada undang-undang ekonomi yang menyatakan ia akan sentiasa berlaku atau pasti berlaku pada masa hadapan.”

Terdapat kebimbangan bahawa kali ini mungkin berbeza kerana AI lebih berkuasa, berkembang lebih pantas dan memberi kesan kepada lebih banyak jenis pekerjaan, kata Encik Wong.

Risikonya termasuk syarikat terlalu bergantung kepada AI dengan kurang memberi latihan kepada pekerja, serta kemungkinan pekerjaan peringkat kemasukan semakin berkurangan, katanya.

“Kita peka terhadap risiko ini dan kita akan bertindak awal untuk mengelakkan keadaan sedemikian daripada berlaku di Singapura. Kita akan melabur dengan lebih terancang dan sistematik dalam rakyat kita,” kata Encik Wong.

Beliau bersetuju dengan gesaan Ketua Pergerakan Buruh Ng Chee Meng untuk memperkasa setiap pekerja agar bersedia menghadapi AI, memperkukuh sokongan dan perlindungan untuk pekerja, serta mempertingkat keupayaan pergerakan buruh dalam melindungi dan meningkatkan taraf golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME).

Pemerintah akan bekerjasama rapat dengan rakan tiga pihak, khususnya NTUC, untuk merealisasikan matlamat bersama itu, kata Encik Wong.

Dalam ucapannya, Encik Wong turut membincangkan peranan perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam menggaji rakyat Singapura dan menjadi tunjang aktiviti ekonomi.

Beliau mengatakan bahawa segmen SME yang berdepan tekanan lebih besar adalah sektor runcit serta makanan dan minuman.

Walaupun pemerintah sudah menyediakan rebat cukai pendapatan korporat (CIT) dalam jangka pendek, sokongan jangka panjang mesti mampan dan tidak menjejaskan insentif pasaran, katanya.

Pihak berkuasa tidak boleh melonggarkan had nisbah kebergantungan tenaga kerja asing (DRC) kerana ia akan menggalakkan kebergantungan berlebihan kepada tenaga kerja asing dan melemahkan teras warga Singapura, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa pemerintah akan mempertimbangkan pendekatan yang lebih tersusun untuk memberi sedikit kelonggaran.

“Akhirnya, laluan yang mampan ke hadapan ialah peningkatan produktiviti dan transformasi perniagaan.”

TEKANAN KOS SARA HIDUP

Walaupun Singapura mencatat pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5 peratus tahun lalu, rakyat Singapura masih merasai tekanan kos sara hidup, kata Encik Wong.

“Data mungkin menunjukkan peningkatam, tetapi pengalaman dan realiti kehidupan seharian juga penting,” katanya. “Jadi persoalannya adalah: apa lagi yang perlu kita lakukan untuk mengurangkan tekanan kos dan memastikan setiap rakyat Singapura terus dapat maju?”

Beliau mengatakan bahawa pendapatan sudah meningkat lebih pantas daripada inflasi sepanjang beberapa dekad lalu merentasi keseluruhan agihan pendapatan.

Melihat kepada perbelanjaan isi rumah, Encik Wong berkata perbelanjaan meningkat dari segi nilai dolar, tetapi sebagai peratusan daripada pendapatan, ia sama ada kekal stabil atau menurun merentasi semua kumpulan pendapatan.

“Secara umumnya, rakyat Singapura membelanjakan bahagian yang lebih kecil daripada pendapatan mereka, walaupun jumlah perbelanjaan dalam dolar meningkat,” katanya.

“Khususnya, bahagian pendapatan isi rumah yang dibelanjakan untuk keperluan asas seperti makanan, pengangkutan awam dan pendidikan sudah merosot merentasi semua kumpulan pendapatan.”

Beliau berkata satu pengecualian adalah jagaan kesihatan, dengan rakyat Singapura membelanjakan bahagian pendapatan yang lebih besar untuk jagaan kesihatan dan insurans kesihatan.

Ini mencerminkan penduduk Singapura yang semakin menua, di mana perbelanjaan kesihatan meningkat mengikut usia.

Pemerintah sudah mengambil langkah untuk membendung pelan tambahan insurans privet dan amalan lain yang mendorong inflasi perubatan, khususnya dalam sektor privet, katanya.

“Kita akan terus memastikan jagaan kesihatan kekal mampu milik di Singapura,” tambah Encik Wong.

“Tiada rakyat Singapura akan dinafikan penjagaan kesihatan yang mereka perlukan kerana mereka tidak mampu membayar. Itulah jaminan kami.”

Satu lagi kebimbangan kos berpunca daripada inflasi perkhidmatan yang kerap digunakan, khususnya makanan dan minuman, kata Encik Wong.

“Perbelanjaan makanan mungkin membentuk bahagian yang lebih kecil daripada pendapatan, seperti yang saya sebutkan tadi, tetapi kita merasakan kenaikan harga setiap kali membuat pesanan atau makan di luar, dan kesan psikologinya adalah serta-merta dan ketara,” katanya.

Encik Wong juga berkata perhatian sedang diberikan kepada isu ketaksamaan kekayaan.

“Kita sudah mula menerbitkan data dan akan menjejakinya secara lebih sistematik, tetapi kita tidak bermula daripada asas yang lemah,” katanya.

Melalui geran perumahan, pemilikan rumah dan penambahan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF), isi rumah berpendapatan rendah berupaya mengumpul aset di Singapura, katanya.

“Hari ini, isi rumah dalam kumpulan pendapatan terendah mempunyai purata kekayaan bersih hampir S$300,000 . Itu merupakan asas yang bermakna,” tambahnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita