Skip to main content

Singapura

Perbahasan Belanjawan 2026: Data perbelanjaan kementerian bakal lebih terperinci, kata PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Perbahasan Belanjawan 2026: Data perbelanjaan kementerian bakal lebih terperinci, kata PM Wong
Diterbitkan : 26 Feb 2026 05:30PM Dikemas Kini : 26 Feb 2026 05:53PM
SINGAPURA: Kementerian-kementerian akan menerbitkan maklumat yang lebih jelas mengenai inisiatif perbelanjaan utama dan hasilnya, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (26 Feb), sebagai maklum balas kepada gesaan untuk kebertanggungjawaban fiskal yang lebih besar di tengah-tengah rekod lebihan belanjawan.

Bercakap di parlimen semasa menggulung perbahasan Belanjawan selama tiga hari, Encik Wong mengakui gesaan yang dibuat oleh ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh (WP-Aljunied), serta Anggota Parlimen Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Haresh Singaraju, untuk pendedahan awam yang lebih jelas mengenai bagaimana dana pemerintah dibelanjakan.

"Saya akan meminta semua kementerian untuk memberikan maklumat yang lebih jelas dan mudah dicapai mengenai inisiatif utama supaya rakyat Singapura dapat memahami dengan lebih baik bagaimana sumber awam digunakan dan apakah keputusan yang dicapai," kata PM Wong.

Beliau merujuk kepada Semakan Hasil Sektor Awam Singapura, yang diterbitkan setiap dua tahun sejak 2010, sebagai rangka kerja sedia ada yang menjejaki petunjuk hasil utama bagi bidang dasar utama.

"Kami akan terus menyemak petunjuk dalam laporan tersebut dan memastikan ia relevan dan berguna," katanya.

"Kementerian juga secara kendiri menjalankan semakan terperinci terhadap program perbelanjaan utama bagi menilai keberkesanan dan hasilnya."

DANA RIE

Encik Pritam membangkitkan isu tersebut pada permulaan perbahasan Belanjawan pada Selasa, dengan menyatakan terdapat kepentingan awam yang "signifikan" mengenai bagaimana pemerintah menggunakan lebihan dananya.

Singapura mencatat lebihan sebanyak S$15 bilion bagi tahun kewangan 2025.

Beliau merujuk kepada pakej Melakar Hala Tuju Singapura bernilai S$40 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan 2024, serta pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2020 (RIE) 2030, di mana pendanaan meningkat kepada S$37 bilion.

Beliau menyatakan bahawa perakaunan awam mengenai bagaimana wang itu dibelanjakan atau hasil yang dicapai adalah tidak mencukupi.

Juga pada Selasa, Encik Yip bertanya sama ada misi kecerdasan buatan (AI) pemerintah untuk memacu transformasi merentasi sektor utama akan disertakan dengan "hasil tenaga kerja yang boleh diukur".

Pada Rabu, Dr Haresh berkata hasil setiap dasar perlu diperhatikan dalam pelbagai bidang supaya penilaian yang betul dapat dibuat, idea baharu dapat dihasilkan, dan perancangan masa depan dapat disokong.

Mengulangi kebimbangannya selepas ucapan PM Wong pada Khamis, Encik Singh berkata orang awam ingin tahu bagaimana pendanaan RIE 2030 sebanyak S$37 bilion itu akan diperluaskan, bagaimana ia akan meningkatkan prospek pekerjaan bagi rakyat Singapura, dan apakah peluang yang akan diciptanya.

“Saya rasa banyak lagi kerja yang perlu dibuat dalam hal ini,” katanya.

“Dan saya berharap dalam penggal pemerintah kali ini, kita akan nampak pendekatan baharu daripada pemerintah PAP."

PM Wong berkata beliau melihat nilai dalam tindakan kementerian berkongsi lebih banyak tentang bagaimana sumber awam digunakan dan apakah hasil yang sudah dicapai.

"Kami sedang mengarahkan kementerian-kementerian untuk melakukan lebih lagi," katanya, sambil menambah bahawa ketelusan yang lebih besar boleh menggalakkan rakyat Singapura untuk meneliti maklumat tersebut dan membina pemahaman yang lebih jelas tentang apa yang sudah dicapai.

“Diharapkan dengan lebih banyak maklumat, kita dapat melihat kesan yang sudah kita capai secara lebih menyeluruh, dan kita tidak berasa selesa dengan pencapaian sekarang. Kami sentiasa mencari jalan untuk buat lebih baik, kami akui perkara itu,” katanya.

“Mempunyai maklumat untuk membolehkan perbahasan yang lebih bernas (berdasarkan fakta) adalah sesuatu yang sentiasa kami galakkan.”
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita