Skip to main content

Singapura

Perbahasan Belanjawan 2026: AP seru had gaji lebih tinggi untuk Skim Bantuan Pencari Kerja

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Feb 2026 12:24AM Dikemas Kini : 15 Mar 2026 05:50PM
SINGAPURA: Saranan untuk menaikkan had gaji bagi menerima faedah pengangguran di bawah Skim Bantuan Pencari Kerja adalah antara langkah yang dicadangkan para Anggota Parlimen (AP) pada Rabu (25 Februari) untuk sokong pekerja.

Perlindungan yang lebih baik untuk pekerja kontrak, serta memikirkan semula pekerjaan peringkat permulaan, turut menjadi agenda utama sedang parlimen membahaskan Belanjawan 2026.

Lapan penggubal undang-undang daripada gerakan buruh adalah antara 26 AP yang berucap pada hari kedua perbahasan.

Mereka menggesa pemerintah untuk menaikkan had pendapatan bagi Skim Bantuan Pencari Kerja daripada S$5,000 kepada S$7,600.

Ini bagi memadankan pendapatan kasar bulanan median golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), kata ketua buruh, Ng Chee Meng.

Skim Bantuan Pencari Kerja menyediakan sehingga S$6,000 untuk mereka yang hilang pekerjaan bukan secara sukarela. Mereka mesti menyertai aktiviti pencarian kerja untuk menerima pembayaran.

Skim pertama seumpamanya di Singapura diperkenalkan pada April 2025 dan menerima lebih 7,200 permohonan setakat sehingga hujung Ogos 2025.

Kira-kira 60 peratus permohonan ditolak, dan salah satu daripada tiga sebab utama ialah pemohon melebihi ambang pendapatan bulanan S$5,000.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sebelum ini menyatakan bahawa ambang S$5,000 melebihi pendapatan median penduduk yang bekerja sepenuh masa pada 2024, iaitu kira-kira S$4,900 (tidak termasuk caruman Tabung Simpanan Pekerja majikan).

NOTIS PEMBERHENTIAN PEKERJA

AP Parti Pekerja juga menggesa syarikat yang melakukan pemberhentian pekerja untuk memaklumkan pemerintah sebelum mereka berbuat demikian, dan bukan selepas itu.

Buat masa ini, syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 pekerja mesti memaklumkan MOM tentang sebarang pemberhentian pekerja dalam tempoh lima hari biasa selepas pekerja yang terjejas dimaklumkan.

Denda pentadbiran sebanyak S$1,000 boleh dikenakan jika majikan gagal berbuat demikian.

Encik Tay berkata perlu ada denda yang lebih berat dan "bukan sekadar hukuman ringan".

Beliau juga meminta pemerintah untuk menimbangkan perkongsian maklumat dengan kesatuan sekerja mengenai sektor dan syarikat yang mungkin terganggu akibat penyusunan semula ekonomi, termasuk skala impak dan garis masa yang dijangkakan, kejadian pemberhentian pekerja yang lalu dan tahap faedah pemberhentian pekerja yang lalu.

Bagi mendapatkan penjelasan, ketua Parti Pekerja, Pritam Singh berkata bahawa NTUC sudahpun mengumumkan hasratnya untuk mendapatkan pemberitahuan pemberhentian kerja wajib terlebih dahulu sebelum perbahasan Belanjawan.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) menyatakan keraguan yang mendalam terhadap saranan itu dalam surat forum di Straits Times pada 13 Februari.

"Berdasarkan rangka kerja tiga pihak, adakah ada persetujuan dengan SNEF mengenai perkara ini?" tanya Encik Pritam.

Encik Tay menjawab bahawa rakan kongsi tiga pihak sedang dalam rundingan mengenai perkara itu dalam kumpulan kerja tiga pihak untuk menyemak semula Akta Pekerjaan.

Menurut anggaran awal, terdapat 14,400 pemberhentian pekerja di Singapura pada 2025, meningkat daripada 13,020 pada 2024.

Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Sanjeev Kumar Tiwari, yang merupakan anggota jawatankuasa pusat NTUC, berkata bahawa pemberitahuan awal kepada kesatuan sekerja adalah perbezaan antara "bantuan proaktif dengan langkah hadkan tindakan reaktif".

PEKERJA MUDA

Beberapa AP juga bercakap tentang bagaimana golongan dewasa muda yang memasuki tenaga kerja boleh disokong dengan lebih baik, terutamanya pada zaman kecerdasan buatan (AI).

Timbalan setiausaha agung NTUC, Desmond Choo, menekankan bagaimana dasar perindustrian baharu diperlukan untuk pekerjaan peringkat permulaan.

Beliau berkata bahawa walaupun nilai pekerja pada masa lalu terletak pada pengeluaran, peranan peringkat permulaan pada masa hadapan mesti semakin ditetapkan oleh penyeliaan, penyepaduan dan pertimbangan.

Beliau mencadangkan bahawa beberapa peranan pelaksanaan tradisional boleh ditukar menjadi perantisan berstruktur dengan elemen teras pengawasan AI atau integrasi AI.

Peneraju industri juga mesti dikenal pasti untuk menerajui transformasi AI dalam tenaga kerja.

Encik Choo juga mencadangkan agar pelajar dilengkapi dengan tanggungjawab kemasukan separa senior sejak awal kerjaya mereka.

Beliau juga menyarankan agar mempercepatkan tempoh masa menimba kemahiran baharu, mencadangkan agar pemerintah menilai sama ada akses awal kepada sokongan latihan mungkin diperlukan dalam persekitaran baharu ini.

Encik Tay juga bercakap tentang skim Program Pelatih Industri Siswazah (GRIT) yang dilancarkan Oktober lalu.

Beliau menyarankan pelancaran versi skim yang dipertingkat dalam sektor pertumbuhan tinggi dan permintaan tinggi, serta mewujudkan pelbagai peluang antara satu hingga dua tahun dan elaun latihan bulanan setaraf dengan gaji permulaan.

Skim ini bertujuan untuk siswazah dan lulusan baharu dari universiti, politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan institusi pendidikan lain yang tidak mempunyai pengalaman kerja sebelumnya.

Ia juga terbuka kepada siswazah ijazah sarjana atau doktor falsafah.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita