Skip to main content

Singapura

Perbahasan Belanjawan 2025: SG boleh jadi 'penghubung' dalam dunia yang berpecah sebagai hab inovasi yang dipercayai, kata DPM Heng

Anggaran Waktu Membaca:
Perbahasan Belanjawan 2025: SG boleh jadi 'penghubung' dalam dunia yang berpecah sebagai hab inovasi yang dipercayai, kata DPM Heng
Diterbitkan : 27 Feb 2025 07:36PM Dikemas Kini : 27 Feb 2025 11:36PM

SINGAPURA: Singapura boleh memainkan peranan penting dalam menyatukan dunia yang semakin berpecah melalui kedudukannya sebagai hab teknologi dan inovasi yang diyakini di peringkat global, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Khamis (27 Feb).

"Dalam dunia yang menuju ke arah persaingan lebih sengit dan semakin berpecah di tengah-tengah kemajuan pesat dalam sains, teknologi dan inovasi, rakyat Singapura boleh memainkan peranan berharga sebagai pengantara dan penghubung," katanya semasa perbahasan Belanjawan 2025.

"Singapura boleh menjadi rangkaian global-Asia yang dipercayai dan tidak berpihak bagi teknologi, inovasi dan perusahaan. Bersama-sama, kita boleh belajar daripada yang terbaik, bekerja dengan yang terbaik, dan membina tempat tinggal yang lebih baik untuk generasi akan datang."

Encik Heng mengimbau bahawa semasa beliau menguruskan Belanjawan pertamanya pada tahun 2015 - memegang peranan Menteri Kewangan dari 2015 hingga 2021 - beliau sudah memikirkan bagaimana untuk menyokong rakyat Singapura melalui gelombang perubahan yang akan datang.

"Bahkan 10 tahun yang lalu, pada SG50, kita tahu perubahan besar akan datang. Kita melabur sumber, harapan dan tenaga kita dalam membina negara yang berdaya bingkas. Kita tidak pernah membayangkan kita akan dilanda pandemik global yang membentuk satu generasi, namun kita bersatu dan berjaya mengatasinya," katanya.

"Singapura kita yang meraikan SG60 tahun ini adalah Singapura yang lebih kuat, lebih kukuh, dan juga lebih baik hati dan lebih bersikap belas ihsan berbanding dengan yang meraikan SG50."

Memandang ke hadapan bagi SG70, Encik Heng menyeru untuk terus melabur dalam semua rakyat Singapura yang muda dan yang tua, dan memperdalam masyarakat yang berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya Singapura.

"Jika kita dapat mengorak langkah kita ke hadapan, belia kita hari ini akan berkhidmat sebagai pengantara yang berharga, menghubungkan idea dan bakat di seluruh dunia, untuk menyelesaikan cabaran mendesak yang dihadapi manusia," katanya.

LANGKAH BAHARU TINGKATKAN USAHA KAJIAN

Encik Heng, yang mengetuai Yayasan Penyelidikan Negara dan Panel Penasihat Ekonomi Masa Depan, juga mengumumkan dua inisiatif utama baharu untuk sektor Kajian, Inovasi dan Perusahaan (RIE) dari 2026 hingga 2030.

Yang pertama adalah mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor-sektor keutamaan seperti jagaan kesihatan, pendidikan, kewangan, pengilangan canggih, perhubungan, logistik dan pengangkutan, katanya.

Inisiatif AI for Science bernilai S$120 juta dilancarkan pada Oktober lalu, untuk membantu para pengkaji memanfaatkan AI dalam bidang seperti bahan-bahan canggih dan sains bioperubatan, kata Encik Heng.

"AI gunaan berada di persimpangan antara kecerdasan buatan dengan kepakaran bidang. Berdasarkan kepakaran bidang yang kukuh daripada pengamal dan penyelidik kami dalam jagaan kesihatan, pendidikan, kewangan, kejuruteraan dan banyak lagi, kami akan melabur lebih banyak dalam membangunkan bakat saintifik 'dwibahasa', pengkaji yang boleh menghubungkan antara teknologi kecerdasan buatan dengan kepakaran bidang," katanya.

Program kajian dan pembangunan berskala besar baharu yang dipanggil RIE Flagships dan RIE Grand Challenges juga akan dilancarkan.

RIE Flagships akan menumpukan usaha dalam sektor ekonomi utama, manakala RIE Grand Challenges akan menangani keutamaan strategik negara.

"Inisiatif-inisiatif Flagships dan Grand Challenges ini akan menggabungkan keupayaan kajian dan keupayaan untuk membawa hasil penyelidikan menjadi huraian bermanfaat yang relevan merentasi universiti-universiti kita, A*STAR dan institut kajian lain, agensi awam dan pemain sektor swasta, untuk membentuk satu rangkaian program yang diselaraskan dan saling menguatkan," kata Encik Heng.

"Hubungan antara kajian, keupayaan membawa hasil penyelidikan menjadi huraian bermanfaat dan membawanya ke dalam pasaran akan diperketatkan, untuk memajukan bidang ekonomi utama, menghasilkan produk dan syarikat baharu, serta menangani keperluan dan masalah dunia sebenar."

Perancangan untuk inisiatif-inisiatif ini sudah bermula, kata Encik Heng. RIE Grand Challenges yang pertama bertujuan untuk menangani peluang dan cabaran umur panjang yang sihat dan berjaya, manakala inisiatif RIE Flagships yang pertama akan tertumpu untuk memajukan kajian dan pembangunan semikonduktor dan mikroelektronik Singapura.

Singapura juga akan meningkatkan kerjasama antarabangsanya dalam tahun-tahun akan datang, kata Encik Heng.

PERANAN AGENSI KAWAL SELIA DAN BAKAT

Encik Heng menyeru Singapura mengukuhkan ekosistem inovasi dan perusahaan yang lebih luas, untuk memanfaatkan nilai usaha penyelidikannya.

"Untuk kekal berdaya saing, kita mesti terus mengekalkan orientasi yang menghala ke luar. Syarikat-syarikat melabur di Singapura bukan hanya untuk pasaran kita, tetapi sebagai pintu masuk ke rantau ini. Singapura telah memainkan peranan ini dengan baik dalam 60 tahun yang lalu," katanya.

Singapura kini mesti menampatkan dirinya sebagai "tapak permulaan bagi syarikat-syarikat untuk meneroka masa depan baharu, ke pasaran dunia yang lebih luas", dengan memberi mereka peluang untuk menguji inovasi teknologi baharu di sini sebelum meningkatkannya ke peringkat serantau dan global.

Agensi-agensi kawal selia negara memainkan peranan penting dalam hal ini, kerana mereka memudahkan eksperimen sedemikian sambil memastikan ia selamat dan berkesan, kata Encik Heng.

Penguasa Kewangan Singapura, misalnya, menyelia sektor kewangan sambil mendorong ke arah bidang baharu seperti kewangan digital dan mampan, kata Encik Heng.

Beliau juga menyatakan bahawa Agensi Makanan Singapura (SFA) adalah yang pertama di dunia yang meluluskan daging kultur untuk jualan komersil, manakala Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memudahkan percubaan kenderaan autonomi untuk mengangkut barangan dan memastikan jalan raya awam bersih.

"Bakat adalah satu lagi tunjang strategi inovasi kita. Pemerintah komited untuk membantu setiap rakyat Singapura mencapai potensi mereka," kata Encik Heng, menggesa rakyat untuk menggunakan peningkatan daripada Belanjawan negara untuk membina kemahiran baharu.

Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) juga akan melancarkan Program Pengasas Global, untuk menarik lebih ramai pengasas global yang berpengalaman untuk mengembangkan usaha baru yang mendatangkan impak dari Singapura, kata Encik Heng.

Encik Heng berkata bahawa Singapura telah berjaya selama 60 tahun yang lalu, tetapi perubahan hanya akan meningkat dalam tahun-tahun yang akan datang.

"Kini, kita mesti kekal kreatif dan mencari peluang dalam kesukaran dan pada masa perubahan besar untuk muncul lebih kuat, seperti yang kita lakukan semasa krisis Kewangan Asia, Krisis Kewangan Global dan baru-baru ini melalui COVID-19," katanya.

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita