Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbahasan Belanjawan 2022: Ijazah Universiti dengan tempoh sah laku lima tahun, "Dividen Pertumbuhan Tetap" untuk rakyat antara dicadangkan AP

Anggaran Waktu Membaca:
Perbahasan Belanjawan 2022: Ijazah Universiti dengan tempoh sah laku lima tahun, "Dividen Pertumbuhan Tetap" untuk rakyat antara dicadangkan AP

GAMBAR: CNA/CALVIN OH

Diterbitkan : 02 Mar 2022 09:40AM Dikemas Kini : 02 Mar 2022 10:32AM

SINGAPURA: Memberi ijazah universiti dengan tempoh sah laku lima tahun untuk menggalak pembelajaran sepanjang hayat dan memberi rakyat Singapura "Dividen Pertumbuhan Tetap" yang terikat dengan kejayaan ekonomi negara. Saranan tersebut antara yang dibentangkan oleh anggota parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada hari kedua parlimen bersidang pada Selasa (1 Mac) untuk membahaskan Belanjawan 2022.

32 Anggota Parlimen (AP) dari kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang serta Anggota Parlimen Dilantik (NMP) bangkit berucap dalam perbahasan selama sembilan jam mengenai pelbagai isu.

Antara topik yang dibangkitkan AP PAP termasuk sumbangan kepada badan amal, meringankan beban pekerja sosial dan sokongan kepada pekerja ekonomi gig, mengukuhkan jaminan tenaga Singapura, membantu keluarga berpendapatan pertengahan serta menangani isu kesihatan mental dan aduan di tempat kerja.

Pengerusi parti Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim menyuarakan kebimbangan tentang keupayaan Singapura untuk berdaya inovasi disebabkan budaya Singapura yang mematuhi peraturan ketat.

IJAZAH DENGAN TEMPOH SAH LAKU

AP GRC West Coast, Encik Ang Wei Neng, mengesyorkan apa yang beliau sifatkan sebagai "idea radikal" dengan meletakkan tempoh sah laku pada ijazah yang diberikan Institut Pengajian Tinggi Singapura (IHL).

Siswazah kemudian harus mengikuti kursus peningkatan diri setiap lima tahun dan jika mereka gagal berbuat demikian, ini akan mengakibatkan tempoh ijazah mereka luput.

Ini bermakna, mereka tidak boleh menggunakan ijazah tersebut sebagai sebahagian daripada kelayakan mereka.

Menurutnya, beliau membuat cadangan itu dengan mengambil kira perubahan pesat dalam perusahaan di mana kemahiran dan pengalaman dalam pekerjaan lebih penting berbanding ijazah universiti. Beliau juga menggesa universiti untuk terus mengikuti perubahan agar kekal relevan.

“Jika kita serius tentang budaya pembelajaran sepanjang hayat, kita perlu radikal tentang transformasi. Ia mungkin atau tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Tetapi, kita perlu mula mengubah IHL kita,” katanya.

KITA MENANG DAN KALAH SEBAGAI SATU PASUKAN

Anggota Parlimen GRC Sembawang, Mariam Jaafar menggesa Pemerintah melaksanakan "Dividen Pertumbuhan Tetap" kepada rakyat yang diikat pada pertumbuhan ekonomi negara atau lebihan belanjawan.

Beliau mencadangkan pembayaran itu diberikan mengikut pendapatan rakyat dan diberikan melalui gabungan wang tunai dan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Menurutnya, pengagihan sedemikian akan "memberi setiap rakyat Singapura taruhan tambahan dalam kemajuan ekonomi negara, menekankan lagi bahawa kita menang dan kalah sebagai satu pasukan".

Ia juga satu cara tambahan untuk meningkatkan jaminan kewangan penduduk di Singapura dan menangani ketidaksamaan.

Beliau menarik perhatian bahawa Singapura sudah pun membuat pembayaran sekali sahaja menerusi SG Bonus pada tahun 2018 dan Dividen Pertumbuhan pada tahun 2011.

APA KATA AP BURUH

AP GRC Tampines Encik Desmond Choo, dan penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menggesa pemerintah mempertimbangkan menurunkan usia minimum untuk SkillsFuture.

Warga Singapura berumur 25 tahun ke atas boleh menggunakan akaun SkillsFuture mereka untuk membayar yuran kursus untuk meningkatkan kemahiran.

Encik Choo juga mencadangkan menambah subsidi untuk kursus SkillsFuture tertentu yang akan membantu golongan muda menceburi sektor pertumbuhan.

Pemimpin kesatuan sekerja veteran dan NMP, Encik Abdul Samad Abdul Wahab menggesa sokongan yang lebih besar untuk pekerja berpendapatan sederhana dan merayu agar pemerintah mengkaji semula kriteria pendapatan pelbagai bagi pelbagai skim sokongan seperti subsidi tadika dan tajaka, serta geran perumahan CPF.

RINGANKAN BEBAN PEKERJA SOSIAL

AP GRC Nee Soon, Louis Ng, menyarankan Pemerintah memperkenalkan had ke atas bilangan kes yang dikendalikan pekerja sosial di Pusat Khidmat Keluarga (FSC).

Beliau berkata kes aktif yang dikendalikan FSC meningkat secara mendadak semasa pandemik daripada 17,000 setiap tiga bulan kepada 20,000 kes.

Kes yang dikendalikan juga semakin rumit menyebabkan bebanan dan keletihan kepada pekerja sosial.

KEMBALIKAN PERSEMBAHAN MUZIK "LIVE"

Menukil Tinjauan Belia 2021 yang dijalankan TODAY, AP GRC Ang Mo Kio Nadia Ahmad Samdin berkata 55 peratus daripada golongan berusia 18 hingga 35 tahun merasakan prospek kewangan mereka terjejas akibat COVID-19.

Menurutnya, beliau kenal beberapa belia yang menceburi ekonomi 'gig' sebagai cara untuk menyara hidup.

Namun, mereka hadapi cabaran, khususnya pemuzik dan DJ yang bekerja di tempat hiburan malam yang tidak dapat kembali bekerja dek sekatan COVID-19.

Cik Nadia menyeru Pemerintah mempertimbangkan untuk memperkenalkan langkah seimbang untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan semasa persembahan di cawangan F&B supaya persembahan muzik secara langsung dapat dikembalikan.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan