Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perayaan Krismas lebih ceria dan bermakna dengan bantuan penghuni Darul Islah

Anggaran Waktu Membaca:
Perayaan Krismas lebih ceria dan bermakna dengan bantuan penghuni Darul Islah

Dari Kiri: Naib Presiden III, Jamiyah Singapura dan Pengerusi Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), Siraj Salman, Naib Presiden I & Ketua Pegawai Operasi Jamiyah Singapura, Jaffar Mydin, Ng Yue Kok, Cambell dan Penasihat GRC Jalan Besar, Denise Phua.(Gambar: Jamiyah SG)

SINGAPURA: 'Project Happiness' yang dikendalikan rumah peralihan Darul Islah kembali membawa keceriaan sempena musim perayaan hujung tahun ini.

Kali ini, flat sewa satu bilik yang didiami oleh Encik Campbell Royston James, 65 tahun, seorang penerima bantuan Persatuan Serani (EA), telah diperbaiki oleh penghuni dan alumni Darul Islah menjelang perayaan Krismas.

Beliau tinggal bersama Encik Ng Yue Kok di flat di North Bridge Road itu.

Usaha murni itu bertujuan untuk membawa keceriaan kepada penerima bantuan pada musim perayaan dan pada masa yang sama, memperkasa para bekas pesalah dadah melalui kerja-kerja kebajikan.

Melalui usaha itu juga, penduduk yang memerlukan mendapat bantuan tanpa mengira kaum dan agama.

"Kami sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan semua pertubuhan masyarakat tidak kira agama atau bangsa.

"Kami sangat gembira kerana ini peluang yang baik untuk tunjuk kepada penghuni-penghuni Darul Islah bahawa dalam memberi bantuan, kita tidak memilih sesiapa yang kita hendak bantu dan mereka juga boleh beri sumbangan yang bermakna kepada masyarakat," kata Naib Presiden III, Jamiyah Singapura dan Pengerusi Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), Encik Siraj Salman.
Bersama Persatuan Serani (EA) (Gambar: Jamiyah SG)
Beliau menambah bahawa pihak EA turut berasa teruja melihat semangat para penghuni dan alumni Darul Islah yang bersungguh-sungguh memastikan rumah Encik Campbell menjadi selesa dan indah menjelang Krismas.

PERSEKITARAN RUMAH LEBIH POSITIF

Selama dua minggu, enam sukarelawan Darul Islah telah bergotong-royong memperbaiki flat sewa itu.

Encik Campbell, yang kurang mendapat sokongan daripada keluarganya, kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan daripada Persatuan Serani (EA), pengeluaran CPF, dan Skim Ihsan Senja (Silver Support).
Encik Campbell (Gambar: Jamiyah SG)
Pelbagai perabot dan peralatan rumah yang usang dan rosak, termasuk almari pakaian, mesin basuh, paip tandas, dan televisyen, telah digantikan dengan yang baharu.

Keseluruhan projek itu melibatkan kos sebanyak S$2,300 dan mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat seperti Integrated Property Management Pte Ltd, One Best Subcontractor Pte Ltd, Fei Teng Logistics Services Pte Ltd, dan H&S Services Pte Ltd.

"Saya berasa sangat gembira dan bahagia menerima bantuan daripada Darul Islah. Mereka yang melakukan semua kerja mengecat rumah, membantu saya dengan pelbagai barangan seperti mesin basuh, tilam, paip, dan cat. Mereka semua sangat rajin."

Beliau menambah: "Saya tidak akan melupakan pengalaman ini sepanjang hidup saya. Setelah empat setengah tahun, akhirnya ia berlaku. Saya berasa sangat gembira, bahagia, dan bersyukur dalam hidup saya. Ia juga mengingatkan kembali kenangan bersama keluarga saya ketika mereka masih ada," kata beliau kepada BERITA Mediacorp.
Keadaan rumah sebelum renovasi.
Rumah yang berwajah baharu diharapkan dapat mencipta suasana yang lebih positif serta meningkatkan mutu hidup Encik Campbell.

RUMAH KE-21 DALAM 'PROJECT HAPPINESS'

Rumah Encik Campbell adalah yang ke-21 diperbaiki di bawah 'Project Happiness, yang dimulakan sejak 2019.

"Projek itu bukan sekadar mencantikkan rumah sahaja tetapi ia memberi peluang kepada penghuni- penghuni Darul Islah untuk belajar kemahiran baru, bina, keyakinan diri dan yang paling penting sekali faham erti membantu orang lain.
Keadaan rumah selepas renovasi.
"Apabila kita lihat keluarga yang dibantu gembira dengan rumah baru mereka, para penghuni pun rasa puas hati dan lebih yakin untuk mulakan hidup baru, macam ada semangat baru," ujar Encik Siraj.

Alumni Darul Islah, Azhari Shariff, yang telah menjadi sukarelawan sejak 2022 dalam 'Project Happiness', berbesar hati dapat kembali terlibat dalam usaha itu.

Beliau diberi tanggungjawab untuk mengendalikan projek dan bertindak sebagai pendamping bagi para penghuni Darul Islah yang terlibat.

"Saya amat berbangga sekali kerana tanggungjawab yang diberikan, saya dapat selesaikan tanpa masalah. Saya teramat terharu sekali kerana di dalam masyarakat kita ini masih banyak yang memerlukan.

"Jadi tidak banyak yang saya dapat hulurkan, ini sahajalah yang saya mampu lakukan dan saya akan lakukan lagi selagi mampu untuk memberikan kesenangan kepada yang memerlukan," kongsi Encik Azhari.

Tambahnya, beliau akan berusaha sebaik mungkin dan tidak akan berpuas hati sehingga melihat hasil yang nyata dari bantuan yang diberikan.

JAMYIAH SG HARAP LEBIH RAMAI RELAWAN DAN SYARIKAT MENYOKONG PROJECT HAPPINESS

Pada Rabu (18 Dis), Encik Campbell menerima kunjungan istimewa daripada Penasihat GRC Jalan Besar, Denise Phua.

Cik Phua meluangkan masa beramah mesra dengan Encik Campbell serta kakitangan Jamiyah Singapura.

Selain menikmati suasana rumah yang serba baharu dan selesa, Encik Campbell dan Encik Ng turut dibawa ke Restoran Asap & Co. di Telok Ayer untuk menikmati makan malam.
Dari Kiri: Naib Presiden III, Jamiyah Singapura dan Pengerusi Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), Siraj Salman, Naib Presiden I & Ketua Pegawai Operasi Jamiyah Singapura, Jaffar Mydin, Ng Yue Kok, Cambell dan Penasihat GRC Jalan Besar, Denise Phua.(Gambar: Jamiyah SG)
Mereka juga diberikan peluang membeli pakaian baharu sempena perayaan Krismas.

Jamiyah Singapura berharap inisiatif Project Happiness dapat diperluaskan pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai keluarga dan individu yang kurang bernasib baik.

Pada masa yang sama, mereka berharap lebih banyak syarikat dan sukarelawan tampil memberikan sokongan terhadap usaha murni ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan