Skip to main content

Singapura

Peratusan siswazah dapat kerja turun pada 2025; gaji median kekal S$4,500: Tinjauan

Peratusan siswazah universiti yang mendapat pekerjaan sejurus tamat pengajian adalah lebih kecil pada tahun 2025, menurut keputusan tinjauan pekerjaan siswazah pada Rabu (5 Mac).
Anggaran Waktu Membaca:
Peratusan siswazah dapat kerja turun pada 2025; gaji median kekal S$4,500: Tinjauan

Gambar fail kohort yang tamat pengajian. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 05 Mar 2026 08:38PM Dikemas Kini : 05 Mar 2026 08:47PM
SINGAPURA: Peratusan siswazah universiti yang mendapat pekerjaan sejurus tamat pengajian adalah lebih kecil pada tahun 2025, menurut keputusan tinjauan pekerjaan siswazah pada Rabu (5 Mac).

Tinjauan bersama oleh enam universiti autonomi Singapura mendapati 83.4 peratus siswazah baharu yang mencari kerja sudah bekerja dalam tempoh enam bulan selepas peperiksaan akhir mereka.

Jumlah ini merosot daripada 87.1 peratus pada 2024, dan meneruskan trend penurunan sejak 2022. Gaji bulanan kasar median bagi kumpulan ini kekal stabil pada S$4,500.

Buat pertama kalinya, tinjauan ini meletakkan siswazah dalam kategori mengikut sama ada mereka sudah "berjaya mendapat pekerjaan" atau "belum mendapat pekerjaan", berbanding kategori "bekerja" atau "menganggur".

Sebelum ini, mereka yang sudah menerima tawaran kerja dan sedang menunggu untuk mula bekerja atau sedang dalam proses memulakan perniagaan dianggap sebagai menganggur. Bermula daripada kohort 2025, siswazah tersebut kini dimasukkan ke dalam kumpulan yang sudah berjaya mendapat pekerjaan.

Di bawah kategori baharu ini, peratusan siswazah baharu yang berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan pada tahun 2025 adalah 88.9 peratus, iaitu turun daripada 91.2 peratus pada 2024.

Secara keseluruhan, 92.2 peratus siswazah mencari pekerjaan pada 2025, berbanding pilihan lain seperti melanjutkan pengajian atau berehat seketika. Ini merupakan peningkatan daripada 90.7 peratus pada 2024.

Majoriti daripada mereka yang mencari kerja - 74.4 peratus - mendapat peranan tetap sepenuh masa. Jumlah ini menurun daripada 79.4 peratus pada 2024.

Bahagian pekerja sambilan atau sementara meningkat kepada 7.2 peratus daripada 6 peratus pada 2024. Lebih ramai daripada mereka berada dalam kategori ini bukan secara sukarela - iaitu 3.1 peratus berbanding 2.3 peratus pada 2024.

Selebihnya yang sudah mendapat pekerjaan adalah sama ada bekerja secara bebas, menunggu untuk mula bekerja setelah menerima tawaran, atau sedang giat memulakan perniagaan sendiri.

Peratusan siswazah baharu yang belum mendapat pekerjaan meningkat kepada 11.1 peratus daripada 8.8 peratus pada 2024. Ini merangkumi 8.5 peratus yang sudah memohon tetapi belum menerima sebarang tawaran kerja tetap sepenuh masa, meningkat daripada 5.7 peratus pada 2024.

Selebihnya sudah menolak tawaran kerja tetap sepenuh masa atau tidak mencari sebarang kerja tetap sepenuh masa.

Pihak universiti dalam kenyataan media bersama menyatakan bahawa jumlah kekosongan jawatan sudah berkurangan daripada kemuncak pasca-pandemik, didorong oleh pengurangan pertukaran pekerja dan pengambilan pekerja yang lebih perlahan.

"Ini mencerminkan sentimen pengambilan pekerja yang lebih berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi yang lebih luas dan perkembangan geopolitik," menurut mereka.

Tambah mereka, peluang pekerjaan peringkat permulaan masih ada, tetapi beberapa pengambilan pekerja dalam sektor yang berorientasikan luar seperti maklumat dan komunikasi adalah lebih perlahan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pihak universiti menyatakan bahawa selepas tempoh enam bulan, hasil pekerjaan siswazah secara amnya bertambah baik kerana lebih ramai yang berjaya mendapat kerja. Sebagai contoh, pada mulanya, kadar pekerjaan kohort 2024 adalah kira-kira 2 mata peratusan lebih rendah daripada kohort 2023. Namun menjelang tempoh 12 bulan, peratusan kohort 2024 dan 2023 yang mempunyai rekod gaji adalah setara pada 95 peratus.

Tinjauan pekerjaan siswazah ini dikendalikan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS). Kira-kira 14,400 siswazah mengambil bahagian dalam tinjauan ini.

Pihak universiti menyatakan mereka sudah meningkatkan usaha untuk menyokong pelajar dan siswazah baharu, termasuk menawarkan bantuan peribadi secara proaktif dan menyebarkan peluang pekerjaan secara berkala.

Isu pekerjaan siswazah kini menjadi tumpuan di tengah-tengah laporan mengenai kebimbangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Singapura yang lebih muda.

Awal minggu ini, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng memberitahu parlimen bahawa pasaran kerja untuk siswazah baharu kekal berdaya tahan.

Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), lebih daripada empat dalam setiap 10 kekosongan jawatan di Singapura adalah peranan PMET (profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen) peringkat permulaan yang sesuai untuk siswazah muda.

Kementerian turut mengumumkan bahawa lebih 400 siswazah sudah memulakan skim baharu yang menawarkan latihan industri tajaan pemerintah, yang dikenali sebagai Program Pelatih Industri Siswazah (GRIT). Skim ini masih dibuka kepada siswazah daripada kohort 2025 dan permohonan juga akan dilanjutkan kepada kohort 2026, kata Dr Tan.
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita