Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peraturan VDS dimansuh, kecuali di tempat F&B, acara besar-besaran, kegiatan hiburan malam tertentu

Anggaran Waktu Membaca:
Peraturan VDS dimansuh, kecuali di tempat F&B, acara besar-besaran, kegiatan hiburan malam tertentu

(Gambar: Roslan RAHMAN / AFP)

Diterbitkan : 22 Apr 2022 10:20PM Dikemas Kini : 22 Apr 2022 10:20PM

SINGAPURA: Mulai 26 April, langkah-langkah pengurusan selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) akan ditarik balik, kecuali di tempat makanan dan minuman (F&B), tempat-tempat hiburan malam tertentu serta acara besar-besaran dengan lebih 200 peserta. 

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (22 Apr). 

Tempat-tempat ini dinilai mempunyai risiko lebih tinggi jangkitan disebabkan faktor-faktor seperti ramai orang dan kegiatan yang mana orang ramai tidak memakai pelitup, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media berasingan. 

"Pertimbangan utama adalah individu yang tidak lengkap divaksin membentuk jumlah besar pesakit yang sakit teruk atau meninggal dunia. Apabila hospital kami mengalami tekanan yang tinggi, VDS adalah sangat penting untuk memastikan kita tidak terlalu membebankan sistem jagaan kesihatan kita," kata Menteri Kesihatan semasa bercakap di sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi COVID-19. 

"Namun, oleh kerana beban kerja di hospital sudah merosot dengan ketara, kita tidak lagi perlu mengekalkan VDS seperti yang ada sekarang."

MOH menarik perhatian bahawa sebanyak 96 peratus penduduk yang layak sudah lengkap divaksin, sekali gus menjadikannya "antara yang tertinggi di dunia". 

Mulai 26 April, keperluan bagi langkah pengurusan selamat VDS akan dikurangkan, ujar Encik Ong. 

"Terutama sekali, tempat-tempat seperti rumah ibadah, pusat beli-belah, kedai runcit, pasar raya dan banyak lagi tidak perlu mengekalkan VDS," tambahnya. 

"Ini juga bermakna individu yang tidak lengkap divaksin harus mengamalkan tanggungjawab untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengelakkan tempat-tempat ramai orang. Ini supaya anda dapat mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19 dan jatuh sakit teruk."

Meskipun langkah pengurusan selamat VDS masih diperlukan di tempat F&B, kedai-kedai makan itu tidak perlu lagi menjalankan pemeriksaan vaksinasi ke atas pelanggan mereka, kata MOH.

Mereka yang keluar makan  dijangka mematuhi peraturan, dan pemeriksaan mengejut secara rambang akan terus dijalankan untuk memastikan hanya mereka yang sudah lengkap divaksin makan di luar, tambahnya.

Pada masa ini, ia sudah dilakukan di pusat penjaja dan kedai kopi.

Langkah-langkah vaksinasi di tempat kerja yang dilaksanakan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga akan ditarik balik, umum Encik Ong.

MOM "telah berbincang" dengan rakan kongsi tiga pihak, yang bersetuju bahawa memandangkan risiko pandemik yang ketara  masih wujud dalam beberapa bulan akan datang, perniagaan masih perlu diberi kelonggaran untuk mengenakan arahan berkaitan vaksinasi kepada pekerja, bagi "kesinambungan perniagaan" dan atas sebab kesihatan dan keselamatan, tambahnya.

MOM akan memberikan butiran lanjut kemudian, kata Encik Ong.

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa