Peraturan letak kereta disemak, pastikan lot EV hanya untuk cas kenderaan
Tempat mengecas EV di sebuah tempat letak kenderaan HDB di Jurong West. (Gambar: S Iswaran/Facebook)
SINGAPURA: Peraturan meletak kereta awam di negara ini sedang disemak bagi memastikan tempat mengecas kenderaan elektrik digunakan dengan lebih berkesan lagi.
Langkah ini diambil sedang lebih ramai orang membeli kereta elektrik.
Pada suku pertama tahun ini sahaja, pembelian kereta elektrik membentuk sekitar 8 peratus daripada kenderaan baru yang didaftarkan.
Ia lebih daripada seganda kadar pembelian kereta elektrik bagi seluruh tahun lalu sebanyak 3.8 peratus.
Hampir 10 peratus kereta baru yang dibeli tahun ini adalah kereta elektrik.
Kini Singapura dianggarkan mempunyai sekitar 3,600 kereta elektrik di jalan raya.
Bagaimanapun hanya ada 2,500 tempat mengecas kereta elektrik di seluruh negara.
Antara kegusaran sebilangan pemandu adalah perbuatan menggunakan terlalu lama pengecas elektrik atau kereta bukan elektrik diletakkan di lot yang mempunyai pengecas kereta elektrik.
Semua itu menjejas pemandu kereta elektrik yang perlu menggunakan kemudahan tersebut.
Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Amy Khor berkata perbuatan sedemikian tidak menguntungkan sesiapa pun.
Ini kerana rangkaian pengecas kereta elektrik akan menjadi kurang berkesan dan kosnya akan menjadi tinggi bagi semua pengguna.
Bercakap di sebuah forum mengenai kemampanan pada Sabtu (9 Apr), Dr Khor berkata pemerintah mahu menyediakan lagi 12,000 tempat pengecas di tempat-tempat letak kereta HDB menjelang 2025.
Ia juga mahu meneroka bagaimana untuk memastikan lot-lot kereta elektrik di tempat letak kereta awam dikhususkan bagi mengecas kenderaan.
Sebilangan pengendali privet sudahpun mengenakan bayaran tambahan bagi kereta yang masih berada di lot walaupun sudah lama keretanya dicas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.