Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peraturan larang masuk pusat beli belah: Pemerintah digesa fleksibel kepada segolongan seperti ini...

Tidak adil diskriminasi orang sepertinya daripada masuk pusat beli-belah, kedai kopi atau pusat penjaja, kata Cik Nazura Huda Saadon. Dia belum divaksin bukan kerana enggan divaksin, tetapi tidak boleh divaksin kerana masalah alahan. Jadi pemerintah perlu fleksibel, kata Cik Nazura... 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan orang yang belum divaksin kini dilarang memasuki pusat beli-belah atau duduk makan di pusat penjaja dan kedai kopi, ada yang berasa didiskriminasi.

Golongan itu sebenarnya bukan enggan divaksin - mereka mahu divaksin - tetapi tidak boleh divaksin kerana masalah alahan. Antara mereka dalam golongan itu termasuklah Cik Nazura Huda Saadon, 25 tahun.

(Gambar: Nazura Huda Saadon)

Pada Jun tahun ini hampir seluruh tubuhnya mula mengalami gatal-gatal teruk kira-kira sejam selepas mendapatkan dos pertama Moderna.

Cik Nazura menganggapnya pelik memandangkan dia tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Kali terakhir serangan seteruk itu berlaku adalah hampir 10 tahun lalu, akibat tekanan musim peperiksaan.

Selepas merujuk dan mendapatkan rawatan di dua klinik dan dua hospital, ternyata gatal-gatal tersebut merupakan reaksi alahan yang berpunca daripada vaksin Moderna dos pertama itu.

Jadi Nazura tidak boleh mengambil dos kedua Moderna. Hakikatnya, dia bukan enggan mengambil vaksin, tetapi vaksin itu tidak serasi dengan dirinya.

Lantaran itulah, apabila muncul peraturan baru di mana orang-orang yang belum sempurna divaksin kini dilarang masuk ke pusat membeli belah, pusat penjaja dan kedai kopi, Cik Nazura menganggapnya sebagai kurang adil.

"Secara jujurnya saya rasa sangat kecewa, sedih, marah pun ada. Peraturan-peraturan yang baru ini tidak adil kepada orang-orang yang ada isu-isu berkaitan kesihatan seperti saya sebab kami tidak memilih cara begini," kata Nazura kepada BERITAmediacorp.

Disebabkan langkah-langkah terbaru itu juga, wanita tersebut yang bertugas sebagai seorang konsultan kewangan di syarikat insurans Prudential, mengalami pelbagai cabaran dalam kegiatan sehariannya.

Kalau sebelum ini, dia sekurang-kurangnya boleh bertemu klien di kedai kopi atau pusat penjaja, kini pilihannya lebih terhad.

"Ia menjejas kerjaya saya. Sebab dalam kerjaya saya, saya perlu berjumpa klien. Jadi bila saya tidak dapat bertemu mereka di tempat yang selesa, ia seakan-akan menjejas hubungan saya dengan mereka juga dari segi profesionalisme," kongsi Nazura yang sudah hampir dua tahun memikul kerjaya tersebut.

(Gambar: Nazura Huda Saadon)

"Saya rasa saya tidak boleh menjalani kehidupan saya seperti biasa. Macam nak pergi pusat membeli belah nak beli barang sikit saja yang mungkin mengambil masa lima hingga 10 minit. Tapi sekarang saya kena perlu pertolongan daripada ahli keluarga, kawan-kawan dan juga rakan-rakan sekerja."

TERKEJUT ORANG TIDAK DIKENALI PERSOAL STATUS VAKSINASINYA

Terus terang, Nazura berkata dirinya masih merasa didikrisminasi disebabkan status vaksinasinya.

Malah, satu kejadian yang dialaminya kebelakangan ini ketika mahu membeli makanan di sebuah pusat membeli belah, masih bermain dalam fikirannya.

"Ada seorang lelaki ini yang hanya seorang pembeli belah seperti saya. Jadi dia datang pada saya selepas itu dia bertanya 'Mengapa awak belum divaksin? Bila anda mahu mengambilnya?'

"Jadi dia bertanyakan soalan-soalan yang sangat peribadi.

"Malangnya, ini bukanlah pertama kali ini berlaku pada saya," kata Nazura.

Sungguhpun begitu, Nazura tidak 'ambil hati' dan berharap sebilangan masyarakat bersikap lebih memahami.

PEMERINTAH HARUS BERI KELONGGARAN

Sebagai golongan yang 'tersepit' oleh keadaan, Nazura kini berharap pemerintah dapat memberi kelonggaran dan menilai setiap kes-kes unik bagi orang sepertinya.

Iaitu jangan 'menghukum' individu bertanggungjawab sepertinya dengan pelbagai sekatan sebagaimana golongan yang enggan mendapatkan vaksin.

Nazura juga berharap maklumat atau bantuan yang dihulurkan untuk golongan sepertinya adalah lebih jelas untuk didapatkan.

"Saya pasti ada orang di luar sana yang dalam situasi lebih teruk daripada saya yang tidak boleh mengambil apa-apa suntikan langsung, termasuk Sinovac. Jadi bagaimana pula dengan mereka? Adakah ini bermakna mereka akan sentiasa terpinggir?"

Nazura kini mencuba pula mendapatkan vaksin Sinovac minggu depan atas saranan doktor.

Dia dijangka hanya sempurna divaksin pada November 2021 jika segala-galanya berjalan lancar dengan Sinovac. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan