Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peraturan diusulkan bagi penggunaan basikal angkat muatan, peranti baru pergerakan di SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Basikal angkat muatan dan peranti pergerakan yang lain mungkin tertakluk kepada syarat saiz dan peraturan-peraturan lain. Ia adalah sebahagian daripada usulan oleh Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP).

Dalam satu laporan yang diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Isnin (20 Feb), panel tersebut menyarankan agar peraturan berhubung saiz dan berat kesemua peranti pergerakan aktif harus kekal konsisten seberapa mungkin.

Misalnya, basikal angkat muatan dan basikal senaman atau 'recumberants' beroda dua kini memenuhi takrifan basikal konvensional. Lantaran itu, ia dibenarkan untuk digunakan di laluan pejalan kaki dan jalan raya selagi ia mematuhi piawai peranti masing-masing.

Sekalipun demikian, basikal beroda tiga hanya untuk pengayuh dan basikal senaman beroda tiga buat masa ini hanya dibenarkan di laluan pejalan kaki tetapi tidak di jalan raya, meskipun ia mempunyai bentuk yang serupa.

Memandangkan kedua-dua basikal angkat muatan dan basikal angkat muatan beroda tiga sudah dibenarkan digunakan di jalan raya, panel tersebut mengesyorkan agar basikal beroda tiga hanya untuk pengayuh, yang lebih stabil berbanding basikal konvensional, juga dibenarkan di jalan raya," menurut laporan tersebut.

"Untuk menangani kebimbangan berhubung peranti-peranti sedemikian yang bersaiz lebih besar, seperti kesukaran untuk kenderaan lain memotong mereka, Pemerintah seharusnya menilai dan menetapkan syarat lebar dan/atau panjang bagi basikal angkat muatan, basikal angkat muatan beroda tiga dan basikal beroda tiga hanya untuk pengayuh di jalan raya."

Panel 16 anggota, yang ditubuhkan pada 2015, ditugaskan untuk menyemak semula syarat-syarat berhubung penggunaan selamat peranti pergerakan aktif.

Meskipun peranti-peranti seperti basikal angkat muatan dan basikal angkat muatan beroda tiga baru menembusi pasaran Singapura, panel tersebut menyatakan bahawa peranti sedemikian sudah menjadi kian popular di bandar-bandar Eropah dan Utara Amerika.

"Meskipun peranti ini belum lagi digunakan dengan meluas di negara ini, penggunaan peranti sedemikian sudah diperhatikan di Singapura, dengan beberapa kumpulan sosial menyokong peranti ini sebagai satu bentuk alternatif pengangkutan hijau dan sihat," jelas panel tersebut dalam laporannya.

Panel tersebut sudah mengkaji peranti-peranti sedemikian, mengakui pentingnya ia digunakan dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab di Singapura di samping pengguna laluan pejalan kaki dan jalan raya yang sedia ada, dengan mengambil kira keterbatasan ruang di Singapura.

Sebagai sebahagian daripada semakan semula itu, panel tersebut meninjau amalan-amalan dari luar negara dan mengambil dapatan daripada satu siri perundingan awam, termasuk beberapa perbincangan kumpulan fokus.

Menteri Pengangkutan S Iswaran menyatakan bahawa langkah semakan semula dilaksanakan tepat pada masanya, dalam satu catatan di Facebook pada Isnin.

"Meskipun peranti-peranti ini digunakan biasanya di luar negara, ia sudah mula menembusi pasaran tempatan," jelasnya, sambil menambah bahawa kementeriannya bakal mengkaji saranan-saranan tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan