Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peraturan berubah-ubah, kos tambahan selain keselamatan jemaah S'pura antara pertimbangan tangguhkan haji

Pelaksanaan ibadah Haji pada tahun ini adalah sesuatu perkara yang agak sulit untuk dilakukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Peraturan berubah-ubah, kos tambahan selain keselamatan jemaah S'pura antara pertimbangan tangguhkan haji

(Gambar: Reuters)

SINGAPURA: Pelaksanaan ibadah Haji pada tahun ini adalah sesuatu perkara yang agak sulit untuk dilakukan.

Demikian menurut Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustaz TM Fouzy di satu sidang media yang diadakan pada petang Khamis (27 Mei).

Disebabkan itu, Ustaz TM Fouzy mengalu-alukan langkah MUIS untuk menangguhkan ibadah Haji tahun ini.

MUIS mengambil keputusan untuk tidak menghantar jemaah haji Singapura tahun ini disebabkan pandemik COVID-19 yang belum reda lagi dengan varian baru COVID-19 merebak di banyak negara.

Penangguhan haji buat tahun kedua berturut-turut itu dilakukan demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan para jemaah Singapura.

Menyentuh mengenai hal itu, Ustaz TM Fouzy menjelaskan beberapa perkara yang mewajarkan keputusan penangguhan itu.

Beliau berkata: "Perhimpunan ramai manusia semasa mengerjakan haji, itu membuat jemaah-jemaah jatuh kepada risiko tinggi berserta dengan keadaan yang kita lihat, SOP daripada pemerintah Saudi agak bertukar-tukar. Jemaah Haji dari Singapura pun kalau kita lihat, dikenakan beberapa syarat agak ketat.

"Kedua, apabila sampai di sana ada kuarantin, bila balik ada kuarantin. Akhirnya bila jemaah sudah bayar pakej mahal yang melebihi daripada biasa mungkin sampai dua kali ganda, daripada yang tahun lepas.

Dari sudut pandangan ini katanya, perbelanjaan yang dikeluarkan jemaah mungkin tidak berbaloi.

"Banyak sudah habis masa dengan kuarantin sahaja dan mereka tidak dapat buat ibadah di Tanah Suci seperti mana yang kita harapkan. Mungkin hanya sekali umrah dan tawaf pun hanya perlu membuat tempahan seperti yang dibenarkan dan banyak masa dengan kuarantin," kata Ustaz TM Fouzy.

PELANJUTAN FATWA

Majlis Fatwa Singapura pada 2020 pernah mengeluarkan fatwa untuk menundakan haji pada tahun 2021 atas beberapa pertimbangan.

Memandang ke hadapan, Ustaz Fathrurrahman Dawoed, seorang anggota Majlis Fatwa Singapura berkata bahawa fatwa itu masih lagi relevan tahun ini dan "perlu diumumkan segera untuk persiapan."

Menurut kandungan fatwa tersebut, ia bertujuan memelihara serta memastikan kemaslahatan individu ataupun masyarakat dan menutup segala pintu yang boleh mendedahkan masyarakat awam dan jemaah haji kepada bahaya serta keburukan.

Menurut MUIS, peruntukan untuk jemaah haji yang terjejas tahun ini akan ditunda ke tahun hadapan, namun tertakluk kepada beberapa perkara.

Encik Aznan Ghazali, Pengurus Unit Khidmat Haji MUIS berkata: Tetapi, mungkin ada SOP baru atau kriteria baru, di mana pihak berkuasa Saudi akan laksanakan. Misalnya, mereka mungkin melaksanakan kriteria umur dan mungkin perlu berumur antara 20 hingga 50 tahun atau mereka mungkin mengenakan langkah di mana para jemaah tidak boleh menghadapi masalah kesihatan."

Dr Faizal Kassim, Pengarah Perubatan Divisyen Penjagaan Utama, Fullerton Health Singapore menambah: "Ia bukan seperti kesan Domino atau "Domino effect" di mana anda akan diberi keutamaan dan semuanya akan berjalan lancar. Ia adalah strategi utama tetapi ia juga berdasarkan norma baru. Dan norma baru adalah kita juga perlu mematuhi kriteria-kriteria yang akan disediakan Saudi Arabia kelak."

"Apabila kriteria itu sudah dikeluarkan, kuota para jemaah mungkin akan dikurangkan disebabkan jumlah yang mampu ditampung di Makkah juga akan berkurangan disebabkan jarak selamat. Namun, apabila kriteria sudah dikeluarkan untuk perancangan masa hadapan, ia akan dapat membantu mengenal pasti siapa yang boleh pergi," tambah Dr Faizal.

WANG PENDAHULUAN AKAN DIBAYAR BALIK

MUIS menambah, para jemaah haji bagi tahun 2020 yang sudah membayar wang pendahuluan akan menerima bayaran balik.

Ustaz TM Fouzy menjelaskan proses yang akan dijalankan pihak GSA.

Beliau berkata: "Semua wang yang masih di tangan GSA yang belum digunakan untuk bayaran pendahuluan telahpun disimpan pihak MUIS, dan MUIS bekerjasama untuk keluarkan cek untuk GSA dapat kembalikan wang tersebut kepada jemaah masing-masing. Itu telahpun dilakukan pihak MUIS dan diberikan cek kepada GSA untuk diserahkan kembali kepada jemaah. Itu adalah wang yang belum digunakan lagi bagi bayaran di hotel di Makkah Madinah dan sebagainya."

"Adapun yang sudah dibayar, maka di sini, sebahagian kecil daripada GSA, mereka sanggup keluarkan duit mereka dahulu agar tidak menunggukan deposit untuk dikembalikan dan mereka tokok tambah untuk sempurnakan deposit itu untuk dipulangkan. Ini bermakna mereka akan dapat 100% depositnya melainkan S$200 sebagai yuran pentadbiran," tambah Ustaz Fouzy.

Seminggu lalu, pihak berkuasa haji Arab Saudi menyatakan bahawa jemaah luar negara akan dibenarkan menyertai haji tahun ini namun belum mendedahkan perinciannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa