Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peraturan baru peperiksaan akhir tahun: Sebilangan ibu bapa beri reaksi bercampur-campur

Sesetengah ibu bapa melahirkan perasaan bercampur-campur tentang peraturan baru bagi menduduki peperiksaan nasional.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sesetengah ibu bapa melahirkan perasaan bercampur-campur tentang peraturan baru bagi menduduki peperiksaan nasional.

Peperiksaan nasional seperti PSLE dan GCE 'O', menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB), akan tetap berlangsung mengikut jadual tahun ini, namun dengan adanya peraturan baru.

Iaitu, pelajar yang sedang menjalani kuarantin, dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau disahkan positif COVID-19, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan nasional.

Ibu bapa seperti Cik Siti Masturah Ramlan, umumnya akur pentingnya aturan khas sedemikian. Anaknya, Md. Mustaqim, akan menduduki PSLE enam minggu lagi.

(Gambar: Siti Masturah)

"Saya faham langkah-langkah yang MOE dan SEAB ambil adalah demi keselamatan anak murid. Tapi ada sedikit persoalan di minda saya," kata Cik Masturah, seorang peniaga dari rumah berusia 37 tahun.

SEMUA PELAJAR SEHARUSNYA DIBERI PELUANG

Beliau khususnya tertanya-tanya mengapa tidak semua pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan nasional, sedangkan ada pengecualian bagi sesetengah pelajar.

Misalnya, pelajar yang menjalani SHN kerana ke luar negara atas sebab-sebab mendesak - seperti menghadiri upacara pengebumian atau menziarahi anggota keluarga yang sakit teruk - dibenarkan menduduki peperiksaan nasional.

Sungguhpun demikian, mereka akan mendudukinya secara bersendirian dan bukan di sekolah.

"Para pelajar sudah buat persiapan sejak awal tahun dan banyak penyesuaian yang dibuat. Tiba-tiba kalau terkena keadaan begini, mereka langsung tidak boleh menduduki peperiksaan. Jadi saya letakkan diri saya dalam kedudukan mereka. Saya rasa sepatutnya, kalau boleh, biar semua duduki peperiksaan (dan jika perlu) diletakkan dalam bilik berasingan," ujar Cik Masturah.

Anak Cik Masturah, Md. Mustaqim. 

Beliau menambah, sekiranya pelajar sama sekali tidak diberi peluang menduduki peperiksaan nasional, ia akan meninggalkan kesan buruk terhadap calon.

"Saya sebagai ibu, saya lihat kegigihan anak saya untuk membuat persiapan bagi PSLE tahun ini. Jadi fikiran dia sudah tetapkan 'tahun ini, saya duduki PSLE'. Sekiranya dikhabarkan 'tidak boleh PSLE' tahun ini, saya rasa itu akan meruntuhkan semangatnya. Ia akan melibatkan banyak tekanan emosi pada anak tersebut. Bukan hanya anak saya, tapi anak-anak yang lain juga."

Seorang lagi ibu, Cik Constance Lai, yang anaknya juga akan menduduki PSLE tidak lama lagi, turut menyuarakan nasib mereka yang mungkin akan terjejas oleh peraturan baru itu.

"Jika simptom pelajar misalnya tidak teruk dan dia terdaya untuk menduduki peperiksaan, saya rasa mereka seharusnya membenarkan calon itu melakukannya di tempat berasingan. Mereka sudah bekerja keras selama sekian lamanya, hanya untuk menduduki peperiksaan itu," kata Cik Lai.

'ALTERNATIF' DUDUKI PEPERIKSAAN KURANG MEYAKINKAN

Selain itu, Cik Masturah sebagai seorang ibu, "tidak begitu selesa" jika keputusan peperiksaan 'prelim' di sekolah digunakan untuk membuat unjuran gred dalam keputusan rasmi peperiksaan nasional.

MOE dan SEAB menyatakan, para pelajar yang tidak dapat menduduki peperiksaan nasional boleh membuat permohonan bagi 'pertimbangan khas'.

Gambar fail pelajar Sekolah Menengah Yio Chu Kang memakai pelitup semasa pandemik COVID-19 (Gambar: Reuters/Edgar Su)

(Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

Jika diluluskan, gred pelajar akan ditentukan berdasarkan prestasi mereka dalam kertas lain - dalam peperiksaan nasional mahupun peperiksaan sekolah.

Misalnya, jika seorang pelajar dapat menduduki Kertas 1 Matematik tetapi tidak dapat menduduki Kertas 2 bagi subjek sama atas sebab-sebab berkaitan COVID-19, SEAB akan melihat kedudukan pelajar dalam seluruh kohort lalu menggunakan itu untuk menganggarkan markah calon bagi Kertas 2.

"Pelbagai sumber" akan turut diambil kira, termasuk keputusan peperiksaan sekolah. Ini menimbulkan kebimbangan, kalau-kalau keputusan 'prelim' akan juga dipertimbangkan.

(Gambar fail: TODAY)

(Gambar fail: TODAY)

'PRELIM' LEBIH SUSAH; AKAN ADA KETIDAKSEIMBANGAN

"Kita tahu, peperiksaan seperti ‘prelim’ sebenarnya lebih susah dari peringkat nasional PSLE. Jadi sekiranya diambil seperti itu sahaja, saya rasa tidak wajar. Tapi saya faham, ia bukan hanya peperiksaan prelim. Ada komponen lain," luah Cik Masturah.

"Tapi saya tidak selesa kalau seperti itu kerana PSLE mungkin lebih senang dan budak-budak ini akan menanganinya lebih baik daripada prelim. Ada ketidakseimbangannya di situ."

Kebimbangan sama turut diluahkan seorang pelajar, Sinclair Tan, kepada Mediacorp. Dia bakal menduduki peperiksaan GCE 'O' akhir tahun ini.

"Prelim biasanya ditetapkan lebih susah bagi kita semua, untuk menekankan beberapa konsep utama dalam pelajaran. Jadi ia akan sedikit berbeza daripada kedudukan kami dalam kohort yang menduduki Peringkat 'O'," kata beliau.

Ada juga ibu bapa yang menggesa supaya pemarkahan di bawah pertimbangan khas akan dilakukan secara lebih telus.

Namun, Cik Masturah berkata, 'pertimbangan khas' tetap pilihan lebih baik berbanding jika seseorang pelajar perlu menundakan peperiksaan nasional sehingga tahun depan.

"Sekiranya kita termasuk dalam keadaan itu, dengan berat hati, kita tidak akan ambil PSLE tahun depan. Maknanya gred akan diunjurkan. Tapi perlu ada penjelasan yang lebih baik, bagaimana markah keseluruhannya akan diberi," kata Cik Masturah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan