Skip to main content

Singapura

Peraturan baru penggunaan laluan dan jalan raya lebih selamat mulai 1 Feb

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (18 Jan) mengumumkan bahawa peraturan baru bagi menggalak perkongsian laluan pejalan kaki dan jalan raya lebih selamat akan dilaksanakan pada 1 Feb. 

Anggaran Waktu Membaca:
Peraturan baru penggunaan laluan dan jalan raya lebih selamat mulai 1 Feb

Gambar fail TODAY.

Diterbitkan : 18 Jan 2019 08:29PM Dikemas Kini : 18 Jan 2019 09:36PM

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (18 Jan) mengumumkan bahawa peraturan baru bagi menggalak perkongsian laluan pejalan kaki dan jalan raya lebih selamat akan dilaksanakan pada 1 Feb.

Peraturan itu yang diumumkan buat kali pertama September lalu termasuk had kelajuan lebih rendah di laluan pejalan kaki, kewajipan memakai topi keledar oleh penunggang basikal di jalan raya, peraturan "henti dan lihat" bagi semua pengguna alat mobiliti aktif di laluan pejalan kaki dan had kelajuan maksimum bagi Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA).

Peraturan tersebut adalah "sebahagian daripada "usaha berterusan untuk memupuk tanggungjawab lebih besar terhadap penunggang dan menggalak perkongsian laluan pejalan kaki dan jalan raya yang selamat," menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan media.

Di bawah peraturan baru itu, had kelajuan bagi penunggang di laluan pejalan kaki akan dikurangkan daripada 15 kilometer sejam kepada 10 kilometer sejam.

Para penunggang basikal di jalan raya kini diperlukan untuk memakai topi keledar.

Bagaimanapun, mereka yang menyeberangi jalan raya untuk ke laluan pejalan kaki yang lain, dikecualikan daripada peraturan ini.

Selain itu, para pengguna alat mobiliti aktif mesti "berhenti dan melihat" sama ada terdapat kenderaan-kenderaan di jalan raya, lintasan zebra dan lintasan pejalan kaki berisyarat.

Pemandu kenderaan juga diminta untuk mengurangkan kelajuan dan melihat sama ada terdapat para pengguna sedemikian serta pejalan kaki, kemudian membenarkan mereka menyeberang jalan raya.

Pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$1,000 dan/atau dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.

Alat-alat PMA bermotor, termasuk kerusi roda bermotor dan e-skuter, turut perlu mengekalkan kelajuan maksimum 10 kilometer sejam di laluan awam.

Menurut LTA, ini adalah untuk memastikan alat-alat sedemikian digunakan para individu yang benar-benar memerlukannya. Ia juga untuk "mencegah salah guna dan pengubahsuaian alat-alat sedemikian sebagai cara mengelakkan peraturan alat-alat PMD," tambahnya.

Mereka yang tidak mematuhi peraturan PMA di laluan awam, boleh didenda sehingga S$5,000 dan/atau dipenjara sehingga tiga bulan bagi pesalah kali pertama.

Kedai-kedai juga diwajibkan untuk memaparkan notis amaran di premis mereka mulai 1 Feb, di bawah Akta Mobiliti Aktif. Notis-notis tersebut mesti menyatakan kriteria teknikal bagi PMA dan di mana ia boleh digunakan.

Para penjual PMD yang didakwa menjual alat-alat yang tidak mematuhi peraturan atau mengubah suai alat itu sekali gus menyebabkannya tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 dan/atau dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga bulan bagi pesalah kali pertama.

Mereka yang diketahui memaparkan atau mengiklankan alat-alat PMA yang tidak mematuhi peraturan juga akan dikenakan denda sehingga S$1,000 dan/atau dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga bulan bagi pesalah kali pertama. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita