Skip to main content

Singapura

Peraturan baharu diperkenal bagi penggunaan sepanduk, poster semasa pilihan raya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Di bawah peraturan baharu mengenai proses Pilihan Raya Umum di Singapura, parti politik mesti mengisytiharkan butiran semua sepanduk, bendera atau poster yang mempunyai simbol parti yang dipaparkan sebelum writ pilihan raya dikeluarkan.

Semua parti mesti membuat pengisytiharan tersebut dalam masa 12 jam selepas writ dikeluarkan.

Writ pilihan raya adalah dokumen rasmi yang memulakan proses pilihan raya.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat (31 Mei) yang menggariskan kemas kini menjelang Pilihan Raya Umum yang mesti diadakan sebelum November 2025, Jabatan Pilihan Raya (ELD) juga mengumumkan ruang lebih besar di kertas undi untuk pengundi menandakan calon pilihan mereka.

Ia menyusuli maklum balas daripada Pilihan Raya Presiden pada September lalu apabila sesetengah pengundi kurang pasti sama ada telah meletakkan cap tanda 'X' pilihan mereka dengan betul dalam ruang yang disediakan, menurut ELD.

Perubahan itu berkuat kuasa pada 14 Jun. Ia adalah sebahagian daripada semakan dibuat kepada Perundangan Subsidiari di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen, yang dikemas kini pada 2023.

IKLAN PILIHAN RAYA

Peraturan baharu bagi sepanduk dan poster tertakluk di bawah undang-undang yang mentadbir urus pengiklanan tradisional atau bukan secara online bagi pilihan raya.

Semua pengisytiharan oleh parti politik berhubung sepanduk, bendera atau poster akan disediakan online bagi pemeriksaan awam.

Semasa tempoh berkempen - yang bermula sejurus selepas prosiding pencalonan berakhir pada Hari Pencalonan dan berakhir dengan bermulanya sehari sebelum Hari Mengundi - sepanduk, bendera atau poster ini hanya boleh dipamerkan di tempat awam oleh calon, ejen pilihan raya atau pihak ketiga bertauliah dan hanya di lokasi tertentu yang ditetapkan perundingan subsidiari.

Pegawai Pilihan Raya boleh mengarahkan sebarang sepanduk, bendera atau poster yang tidak mematuhi peraturan supaya diturunkan.

Pegawai Pilihan Raya adalah pegawai awam yang dilantik oleh Perdana Menteri untuk menyelia pilihan raya yang saksama dan lancar.

Serupa dengan iklan pilihan raya online (OEA), Pegawai Pilihan Raya juga boleh mengarahkan penerbit kandungan untuk menghentikan akses dan komunikasi lanjut kepada iklan sedemikian kepada pengguna di Singapura.

Kebanyakan syarat pilihan raya yang digariskan pada Jumaat serupa dengan yang sudah diperkenalkan bagi Pilihan Raya Presiden 2023.

Kemas kini ini bertujuan meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, jelas ELD.

Semasa tempoh pilihan raya, iklan pilihan raya juga diperlukan mematuhi syarat 'diterbitkan oleh' untuk memaparkan dengan jelas nama penuh mereka yang memainkan peranan aktif dalam iklan itu, dan menggunakan perkataan seperti "ditaja oleh" atau "dibayar oleh" bagi kes iklan pilihan raya berbayar.

Syarat yang dikemas kini itu menetapkan bahawa semua iklan pilihan raya berbayar akan meliputi bayaran secara langsung dan tidak langsung, melibatkan pembayaran wang dan bukan wang.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita