Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perasaan penduduk Pulau Ubin bercampur baur terhadap usaha tingkatkan kunjungan orang ramai

Dengan adanya acara seperti Pesta Ubin yang tingkatkan kesedaran terhadap pulau itu, sebilangan penduduk takut jangkitan COVID-19 dibawa oleh pengunjung ke situ. Ada pula bimbang tentang isu kelangsungan hidup...

Anggaran Waktu Membaca:
Perasaan penduduk Pulau Ubin bercampur baur terhadap usaha tingkatkan kunjungan orang ramai

Pengunjung ke Pulau Ubin pada 5 September 2021. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 06 Sep 2021 12:52PM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 12:55PM

SINGAPURA: Dengan setiap putaran roda, gumpalan tanah liat di depan Encik Latip perlahan-lahan bertukar rupa menjadi pasu.

Sentuhan kreatif lelaki berusia 62 tahun itu disaksikan dengan rasa penuh terpegun oleh seorang ibu dan dua anaknya.

Raut wajah sekitar 20 penonton lain pula sukar dibaca kerana kamera masing-masing dimatikan.

Penonton secara maya itu pada Ahad (5 Sep) sedang menyaksikan Encik Latip menghasilkan karyanya dari Pulau Ubin sebagai sebahagian daripada atur cara Pesta Ubin, yang berlangsung antara 28 Ogos hingga Hari Ubin pada 11 September.

Meskipun bukan penduduk asal pulau tersebut, Encik Latip berkata ia adalah tempat kelahiran isterinya. Encik Latip sendiri kerap mengunjungi tempat itu kerana terkenangkan kampung halamannya sendiri di kawasan Sixth Avenue Bukit Timah.

Pulau Ubin juga memberinya ilham untuk beliau berkarya, tambah Encik Latip.

Encik Ethan Chung, ketua pasukan penganjur Pesta Ubin tahun ini, berkata acara itu secara ideal lebih menarik diadakan di hadapan penonton secara langsung.

Namun seperti banyak acara lain, rancangan tersebut terganggu dek langkah selamat COVID-19.

Sejak tahun lalu, kegiatan-kegiatan Pesta Ubin digantikan dengan acara webinar. Tahun ini pula, pihak penganjur menambah acara jalan malam maya untuk mencari kucing hutan jenis leopard cat atau kucing kuwuk di pulau itu.

Encik Chung berkata beliau dan pasukannya tidak mahu sia-siakan momentum yang dibina sejak acara Pesta Ubin bermula pada 2016 untuk meningkatkan kesedaran tentang pulau itu sebagai bukan sekadar tempat rehat hujung minggu daripada hiruk pikuk kehidupan bandar.

Meskipun kurang interaksi berbanding acara fizikal, satu manfaat acara maya menurut Encik Chung adalah ia boleh melibatkan penonton dari luar negara. Pertunjukan Encik Latip, misalnya, turut menarik penonton sejauh Amerika Syarikat selain Malaysia.

Selain adanya tempat semula jadi unik seperti kawasan paya Chek Jawa yang menempatkan enam ekosistem utama sekaligus, Pulau Ubin juga mendapat tempat dalam lipatan sejarah Singapura kerana kuari granitnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Ia juga menempatkan salah satu kampung terakhir di Singapura.

Cik Choi Yook Sau, timbalan pengarah pemuliharaan di Lembaga Taman Negara (NParks), berkata terdapat kira-kira 30 penduduk yang masih tinggal di pulau itu.

Beliau menambah bahawa walaupun NParks rata-rata menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung di tempat-tempat semula jadi dan taman-tamannya sejak bermulanya pandemik COVID-19, jumlah pengunjung ke Pulau Ubin kekal sama dengan purata sekitar 300,000 setiap tahun.

KELANGSUNGAN HIDUP, BUKAN COVID YANG JADI KEBIMBANGAN

Sedang Encik Chung dan pasukannya berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang Pulau Ubin, beberapa penduduk yang ditemui Mediacorp berkongsi perasaan bercampur-baur tentang kunjungan pelawat.

Bagi penduduk, pulau itu adalah tempat perlindungan dari pandemik di pulau besar Singapura, yang telah menyaksikan ratusan jangkitan setiap hari sejak kebelakangan ini.

Cik Choi dari NParks berkata tiada kes COVID-19 disahkan di pulau itu setakat ini, dan sekitar 90 peratus penduduknya sudah lengkap menjalani rejimen vaksinasi mereka.

Namun, beberapa penduduk bimbang virus itu boleh dibawa pelawat dari tanah besar.

"Begitu ramai orang datang dan mereka tidak memakai pelitup dan mereka berjalan atau berbasikal di depan rumah saya," kata seorang wanita berusia 75 tahun hanya ingin dikenali sebagai Cik Lee.

"Siapa tahu siapa yang mungkin membawa virus itu? Mengapa tidak mereka menyaring pengunjung di Terminal Feri Changi Point? "

Namun tidak semua bersependapat dengannya.

Sebilangan penduduk merasakan Pulau Ubin selamat kerana sekitarannya yang terbuka. Tambahan pula, laluan berjalan tidak memasuki kawasan kediaman mereka.

Sebaliknya, mereka lebih bimbang tentang kelangsungan hidup, yang bergantung kepada pengunjung yang datang ke pulau itu.

Encik Wong Ming Hua, yang ibunya Ong Siew Fong, 77 tahun adalah penjaga Kuil Wei Tuo Fa Gong, berkata jumlah penganut yang datang telah merosot daripada lebih 100 orang pada setiap hujung minggu sebelum pandemik kepada beberapa orang saja.

Lelaki berusia 56 tahun itu berkata sukar untuk menanggung sewa bulanan sebanyak S$700 hanya melalui sumbangan dan penjualan lilin keagamaan.

"Saya harap akan ada lebih ramai orang yang datang ke Pulau Ubin kerana kita juga perlu makan," katanya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan