Skip to main content

error

  • Could not retrieve the oEmbed resource.

Singapura

Perarakan di Seine buka tirai Olimpik Paris 2024; kontinjen SG bangga kibar bendera negara

Anggaran Waktu Membaca:
Perarakan di Seine buka tirai Olimpik Paris 2024; kontinjen SG bangga kibar bendera negara

Upacara pembukaan Olimpik Paris 2024 pada 26 Jul 2024.(Gambar: Khidmat Penyiaran Olimpik menerusi AP)

Diterbitkan : 27 Jul 2024 10:16AM Dikemas Kini : 27 Jul 2024 08:20PM
PARIS: Di Sungai Seine, berlatarkan Menara Eiffel dan hujan yang turun, Paris memulakan Sukan Olimpik dengan satu majlis gah dan bersejarah pada Jumaat (26 Jul).

Ini merupakan kali ketiga ibu kota itu menganjurkan acara sukan tersebut. Kali terakhir ia dapat berbuat demikian adalah sedekad lalu.

Kali ini, pihak penganjur mengorak langkah berani untuk menyuntik kelainan dalam majlis pembukaannya.

Buat pertama kalinya, perarakan atlet tidak dilakukan di dalam stadium.

Para atlet sebaliknya menaiki bot bagi acara itu. Sehingga 85 bot kesemuanya dikerahkan untuk 'berarak' di sepanjang Sungai Seine yang sepanjang enam kilometer.
Related article image
(Gambar: Luca Bruno/AP)
Acara yang dihadiri lebih 300,000 penonton dan berlangsung selama lebih empat jam itu, turut menampilkan artis-artis mapan seperti Celine Dion dan Lady Gaga. Ramai turut menantikan kemunculan pembawa bendera Amerika, Lebron James.
Related article image
(Gambar: Aris Messinis/AFP)
Kontinjen Singapura pula terdiri daripada 29 atlet dan pegawai yang diketuai ratu pecut Shanti Pereira dan pelayar negara, Ryan Lo.

Mereka berdua membawa bendera Singapura.
ACARA BERTENAGA DI PARIS

Dengan hujan diramalkan turun pada waktu malam, ramai khuatir acara pembukaan Sukan Olimpik di Paris akan terjejas.

Ini dirumitkan lagi dengan satu perbuatan khianat di rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis yang menjejas perjalanan beratus-ratus orang pada Jumaat, beberapa jam sebelum upacara pembukaan.

Namun langit yang suram dan tempat duduk yang basah tidak melunturkan semangat para atlet dan penonton, apatah lagi ketika kepulan asap biru, merah dan putih menghiasi Pont d'Austerlitz sebagai pembuka tirai.
Related article image
(Gambar: Matthias Schrader/AP)
Mengikut tradisi yang sudah lama diamalkan, negera pertama yang dikemukakan dalam perarakan atlet adalah Greece, dengan bintang NBA Giannis Antetokounmpo, membawa bendera negaranya.

Awal dari itu, Lady Gaga muncul dengan busana berbulu merah jambu di tebing Sungai Seine, mengundang sorakan ramai.

Bintang pop itu selama ini disebut-sebut akan menjadi salah satu selebriti yang membuat persembahan dan ia terbukti benar selepas beliau menyanyikan lagu "Mon truc en plumes" Zizi Jeanmaire.
Related article image
(Gambar: Luca Bruno/AP)
Terdapat juga persembahan yang menampilkan beberapa tanda tempat Perancis sepertii Katedral Notre Dame, mahupun penghormatan kepada wanita-wanita dalam sejarah Perancis dan kesukaan negara itu terhadap fesyen atasan.

"SATU DETIK LUAR BIASA"

Kali erakhir Singapura dapat membawa pulang satu pingat Olimpik adalah lapan tahun lalu, ketika perenang Joseph Schooling mengejutkan dunia dengan kemenangannya dalam acara renang 100m kupu-kupu.

Di acara sukan kali ini, kesemuanya 23 atlet Singapura bakal beraksi. Selain Pereira dan Lo, atlet lain dalam bot kontinjen Singapura termasuk perenang Letitia Sim, atlet 'kite foil' Maximilian Maeder dan pemain tenis meja Izaac Quek.
Related article image
Bot yang membawa pasukan Singapura di upacara pembukaan Sukan Olimpik. (Gambar: Paul Ellis/AFP)
Dalam jaket berwarna merah dan seluar berwarna kuning air, kontinjen itu mengharungi hujan untuk mengibarkan bendera-bendera kecil Singapura dengan senyuman dan sorakan yang kuat.

"Ia terasa seperti satu mimpi! Satu penghargaan besar untuk dapat melakukan ini dengan Ryan - satu cara luar biasa untuk memulakan kempen Olimpik saya dan Pasukan Singapura," kata ratu pecut Shanti, yang akan beraksi dalam acara 100m dan 200m.
"Satu detik luar biasa yang tentunya akan saya ingat sepanjang hayat saya."
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita