Skip to main content

Singapura

Perarakan budaya Melayu, pelbagai acara semalaman antara tarikan festival pembukaan Taman Warisan Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Apr 2026 12:13AM Dikemas Kini : 17 May 2026 12:49PM
SINGAPURA: Sebuah perarakan yang menampilkan pelbagai suku kaum masyarakat Melayu dengan gerobak berhias dan persembahan kebudayaan di sepanjang Bussorah Street hingga ke Taman Warisan Melayu.

Dan pelbagai persembahan, aktiviti, bengkel dan pertandingan selama semalaman di Taman Warisan Melayu.
Related article image
Lebih 50 program disediakan sepanjang Festival "Pesta Pecah Panggung di Taman Warisan Melayu. (Gambar: Hidir Ezat)
Demikian antara lebih 50 program yang boleh para pengunjung jangkakan di festival "Pesta Pecah Panggung — Transcending Boundaries" dari 25 April hingga 3 Mei 2026 sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM).

PERARAKAN PECAH PANGGUNG TAMPIL LEBIH 300 RAKAN KOMUNITI

Menurut Pengarah Festival tersebut, Riduan Zalani, perarakan tersebut bukan sahaja disertai oleh penggiat seni, tetapi juga peniaga warisan di sekitar kawasan Kampong Gelam.
Related article image
Pengarah Festival "Pesta Pecah Panggung", Riduan Zalani. (Gambar: Hidir Ezat)
"Yang tidak pernah terjadi adalah perarakan Pesta Pecah Panggung di mana kita akan sama-sama mengumpul dalam 300 anak muda dan penggiat seni, penggerak budaya dan bergerak daripada Bussorah Street hingga ke Taman Warisan Melayu. Mereka juga akan di sambut oleh Tokoh Tokoh Melayu Kota Singapura," kata Encik Riduan Zalani.

"Antara yang melibatkan diri dalam perarakan itu juga termasuk perniagan warisan seperi Wardah Books, Julie Bakes, Kampong Glam Cafe, bagi meraikan pembukaan semula Taman Warisan Melayu," tambahnya lagi.

AKTIVITI SEISI KELUARGA, TWM ADAKAN ACARA SEMALAMAN PERTAMA

Para pengunjung buat pertama kalinya boleh menyertai acara 'Santai Sampai Pagi: A Night Out at MHC', iaitu sebuah acara bermalam pertama.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan dalam acara tersebut termasuk menikmati tayangan filem, bengkel tarian, karaoke dan mempelajari cara membuat jamu.

Selain dari itu, acara tersebut seperti 'Kota Impian: Modern Women' dan 'Wajah & Bayang: Nusantara Arts Showcase' turut jadi sorotan bagi festival tersebut.
Related article image
Pengurus Besar Taman Warisan Melayu, Hafiz Shariff. (Gambar: Hidir Ezat)
"Pengunjung boleh menikmati pelbagai persembahan, bengkel, lawatan, program keluarga dan juga aktiviti masyarakat bukan sahaja di Taman Warisan, tetapi juga di sekitar Kampung Gelam sekali," kata Pengurus Besar TWM, Hafiz Shariff.

"Antara program yang menarik pada saya adalah program 'Wajah dan Bayang Nusantara: Art Showcase', iaitu satu produksi yang kita buat MHC yang menggabungkan seni topeng dan boneka tradisional dari Singapura, Malaysia dan Indonesia. Kami juga menampilkan satu produksi komisen, iaitu karya Tempatan Khas, 'Kota Impian: Modern Women', sebuah karya tempahan Khas bagi Taman Warisan untuk mengangkat kisah wanita-wanita perintis Melayu Singapura," tambahnya lagi.

Festival tersebut akan menghidupkan naratif galeri TWM, iaitu 'Dari Rantau ke Rumah', dengan menonjolkan kekayaan warisan Melayu di Singapura serta hubungan eratnya di seluruh rantau ini.

Festival ini akan dibahagikan kepada dua hujung minggu bertema yang selari dengan naratif tersebut.
Related article image
Sebuah mural yang boleh dilihat oleh para pengunjung. (Gambar: Hidir Ezat)
Tema pertama, iaitu “Menjelajah Dunia Melayu”, akan mengetengahkan kepelbagaian dan warisan bersama dunia Melayu, manakala tema yang kedua, iaitu “Rumah untuk Komuniti Kita”, akan mengupas makna menjadi Melayu di Singapura.

HAMPIR 280 ARTIFAK DIPAPAR, KOLEKSI TERBESAR SETAKAT INI

Para pengunjung juga boleh meneroka evolusi masyarakat Melayu melalui enam galeri tetap TWM.

Ia menampilkan 279 artifak yang memaparkan satu perjalanan merentas masa dari Singapura pada abad ke-19 hingga membayangkan kemungkinan masa depan.
Antara galeri yang ada termasuk Galeri 'Kita Bermain Saudara!', Galeri Era Perubahan Raja-raja meneliti wajah kompleks Semenanjung Melayu dan Singapura pada awal abad ke-20 dan Galeri Perjalanan ke Penetapan meneroka peralihan budaya dalam proses penghijrahan.

Bersempena dengan pembukaan semula TWM, semua pengunjung (termasuk pelancong) boleh masuk percuma ke galeri dari 25 April hingga 28 Jun 2026.

Selepas tempoh tersebut, warga Singapura dan Penduduk Tetap masih boleh masuk percuma ke galeri TWM sepanjang tahun.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita