Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perangkaan mingguan denggi jangkaui 'rekod sejarah' S'pura

Jumlah mingguan kes denggi di Singapura sudahpun melepasi rekod tertinggi yang dilaporkan pada 2014, dengan 895 orang dijangkiti penyakit itu hanya dalam tempoh lima setengah hari

Anggaran Waktu Membaca:
Perangkaan mingguan denggi jangkaui 'rekod sejarah' S'pura

Gambar fail nyamuk Aedes Aegypti. (Gambar: Luis Robayo/AFP)

Diterbitkan : 13 Jun 2020 10:56AM Dikemas Kini : 13 Jun 2020 12:42PM

SINGAPURA: Jumlah mingguan kes denggi di Singapura sudahpun melepasi rekod tertinggi yang dilaporkan pada 2014, dengan 895 orang dijangkiti penyakit itu hanya dalam tempoh lima setengah hari.

Ini membawa jumlah keseluruhan kes denggi di Singapura setakat ini kepada 10,732, menurut perangkaan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Sebanyak 895 kes dilaporkan antara 7 Jun hingga 3.00 petang pada Jumaat (12 Jun). Laporan mingguan NEA mengenai kes denggi mengambil kira jangkitan yang didiagnosis antara Ahad hingga Sabtu. Ini bermakna jumlah kes minggu ini kemungkinan akan terus meningkat.

Sekurang-kurangnya 12 orang meninggal dunia akibat denggi tahun ini dengan mangsa-mangsa berusia antara 56 hingga 80 tahun.

Dengan Singapura memasuki bulan-bulan tradisional kemuncak denggi - antara Jun hingga Oktober - agensi itu memberi amaran minggu lalu bahawa bilangan kes mingguan mungkin "melepasi jumlah tertinggi dalam sejarah Singapura sebanyak 891" kes jika "tindakan masyarakat kolektif segera" tidak diambil.

Para pegawai NEA menjalankan kerja-kerja pembasmian nyamuk di kelompok denggi di Woodleigh Close. (Gambar: NEA)

Singapura juga belum pernah menyaksikan jumlah kes mingguan yang tinggi seumpama itu sejak tahun-tahun kemuncak pada 2013 dan 2014, apabila kes mingguan masing-masing mencecah 840 dan 891, menurut NEA di laman webnya.

Jumlah keseluruhan kes denggi di Singapura tahun ini dijangka melampaui 15,998 kes yang dicatatkan tahun lalu dan 22,170 kes yang dilaporkan semasa penularan terburuk di negara ini pada 2013, menurut agensi tersebut minggu lalu.

Dalam empat bulan pertama tahun ini sahaja, jumlah mingguan kes adalah antara 300 hingga 400.

Namun ia melonjak kepada antara 500 hingga 732 kes setiap minggu pada Mei dan meningkat melebihi 800 pada Jun. Minggu lalu, antara 31 Mei hingga 6 Jun, Singapura mencatatkan 870 kes denggi.

Sehingga Sabtu, terdapat 210 kelompok aktif denggi di Singapura. 66 daripadanya dianggap berisiko tinggi oleh NEA.

Ini termasuk kelompok sebanyak 207 kes di Woodleigh Close, 142 kes di Potong Pasir Avenue 1, Avenue 2 dan Avenue 3 serta 135 kes di Tampines Avenue 7.

Senarai penuh boleh didapatkan di laman web NEA.

SEBAB KES DENGGI MELONJAK

Peningkatan mendadak pada jumlah kes denggi pada awal Mei berlaku serentak dengan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, menurut NEA. Nyamuk Aedes aegypti, yang merebakkan virus denggi, terutamanya berlegar di ruang tertutup dan menggigit biasanya pada siang hari.

Dengan lebih ramai orang duduk di rumah, ini bermakna lebih banyak "jamuan darah" untuk nyamuk-nyamuk itu terutama sekali di kawasan perumahan di mana jumlah nyamuk adalah tinggi.

Pegawai NEA melakukan pemeriksaan bagi pembiakan nyamuk di atas bumbung sebuah premis kediaman. (Gambar: NEA)

Terdapat juga kenaikan mendadak pada jumlah kawasan pembiakan nyamuk.

Para pegawai NEA mendapati kenaikan lima kali ganda insiden larva nyamuk Aedes yang dikesan di rumah dan koridor awam di kawasan perumahan semasa tempoh 'circuit breaker' selama dua bulan berbanding dengan dua bulan sebelumnya. Bagi tapak-tapak binaan, perangkaan itu naik seganda sewaktu tempoh pemutus jangkitan.

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN?

Sebahagian besar kelompok denggi dikesan di kawasan perumahan. Lantaran itu, penduduk "amat digesa" supaya mengambil langkah-langkah untuk menjaga diri mereka dan mencegah nyamuk daripada membiak.

Ini termasuk menyemburkan racun serangga perosak di sudut-sudut gelap di rumah seperti di bawah sofa dan katil ataupun di sebalik langsir dan di dalam tandas, nasihat NEA.

Penghalau nyamuk spasial seperti gegelung nyamuk juga dapat digunakan di kawasan rumah yang mempunyai pengaliran udara baik. Penduduk juga harus menimbangkan penggunaan kelambu.

Orang ramai juga harus mengelakkan tempat-tempat yang berpotensi menjadi tapak pembiakan nyamuk. Mereka harus menelungkup piring pasu bunga dan baldi, buang air di dalam pasu serta membersihkan alur bumbung dan longkang di kawasan rumah mereka.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan