Skip to main content

Singapura

PERANG TIMUR TENGAH: Perenang Britain renangi Selat Hormuz, sorot kesan perang

Anggaran Waktu Membaca:
PERANG TIMUR TENGAH: Perenang Britain renangi Selat Hormuz, sorot kesan  perang

Pemandangan bangunan YMCA Singapura dari jalan raya. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 21 Nov 2026 10:45PM Dikemas Kini : 21 Nov 2026 11:01PM
MIDDLE EAST WAR: British swimmer swims the Strait of Hormuz to highlight the war’s impact
  • British swimmer and UN Ocean Patron Lewis Pugh swam about 15km in the Strait of Hormuz over three days this week to highlight the environmental damage caused by the Iran war.
  • He began his swim from the Musandam Peninsula and went around Cape Hormuz, as attacks on tankers and merchant ships continued along the strategic oil-shipping route.
  • Pugh saw ships on fire and said the attacks threaten wildlife and ecosystems, including coral reefs, mangroves and the habitats of dolphins, turtles and dugongs; the effects could last for several generations.
  • He called for the fighting to stop, the strait to be reopened and pollution to be cleaned up, while UK Foreign Secretary Ed Miliband urged comprehensive diplomatic efforts to end the war and reopen the route.
Dijana oleh AI

LONDON: Perenang jarak jauh Britain Lewis Pugh berenang merentasi Selat Hormuz ketika serangan terhadap kapal tangki minyak berterusan, demi "menarik perhatian terhadap kesan buruk perang yang dahsyat terhadap alam sekitar".

Encik Pugh, 56, yang merupakan Penaung Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menghabiskan masa tiga hari di laluan laut itu minggu ini dengan berenang sejauh kira-kira 15 kilometer secara keseluruhan, lapor PA Media/dpa.

Selat Hormuz merupakan laluan air strategik bagi penghantaran minyak dari Timur Tengah yang berulang kali ditutup akibat serangan sepanjang perang Iran.

Encik Pugh yang dilahirkan di Plymouth berkata selat itu "jauh lebih daripada sekadar laluan perkapalan penting", sambil menyifatkannya sebagai "antara tempat paling indah" yang pernah dikunjunginya.

Beliau dipercayai individu pertama yang cuba melakukan renangan jarak jauh di selat itu sejak konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat bermula.

Dengan hanya memakai seluar renang, gogal dan topi renang yang tertera logo PBB, beliau mula berenang dari Semenanjung Musandam di hujung selatan selat itu dan menamatkan renang selepas mengelilingi Selat Hormuz.

Aktivis alam sekitar marin itu berkata renangan berkenaan bertujuan "menarik perhatian terhadap kesan buruk perang yang dahsyat terhadap alam sekitar".

Dalam catatan di laman webnya, Encik Pugh berkata: "Perang menyebabkan penderitaan manusia yang amat besar. Nyawa terkorban, keluarga berpecah-belah dan rumah musnah. Namun, terdapat satu lagi mangsa yang kurang mendapat perhatian, iaitu alam semula jadi.

"Selat Hormuz jauh lebih daripada sekadar laluan perkapalan penting. Ia antara tempat paling indah yang pernah saya kunjungi. Terdapat gunung-ganang yang menjulang tinggi dan fiord yang menakjubkan, terumbu karang serta hutan bakau.

"Lumba-lumba, penyu dan dugong hidup di perairan ini. Ia merupakan antara keajaiban alam semula jadi yang terunggul di dunia."

Gambar yang dimuat naik Encik Pugh di media sosial menunjukkan asap tebal berkepul-kepul daripada sebuah kapal tangki gas petroleum cecair (LPG) yang terbakar di Selat Hormuz, berhampiran Semenanjung Musandam di Oman.

Encik Pugh berkata: "Hanya 30 minit selepas saya mula berenang, sebuah kapal tangki minyak terkena serangan beberapa kilometer dari lokasi saya.

"Letupan itu menggegarkan laut di sekeliling saya. Dalam beberapa hari berikutnya, saya menyaksikan lebih banyak serangan terhadap kapal dagang dan melihat kapal dijilat api.

"Kapal tangki minyak, kapal pengangkut gas dan kapal dagang lain diserang hari demi hari. Kesan perang ini terhadap alam sekitar akan berlarutan selama beberapa generasi.

"Mesej saya mudah: Hentikan pertempuran. Buka semula selat itu. Bersihkan pencemaran."

Encik Pugh sebelum ini menjadi individu pertama yang melengkapkan renangan jarak jauh di setiap lautan dunia dan sering berenang di kawasan ekosistem yang terancam bagi menarik perhatian terhadap keadaan ekosistem berkenaan.

Awal bulan ini, Setiausaha Luar UK Ed Miliband menekankan peri perlunya untuk mengatasi kebuntuan konflik Iran yang berada dalam keadaan “tidak berperang tetapi belum mencapai keamanan”, yang menurutnya menyebabkan “kesengsaraan ekonomi yang mendalam”.

Encik Miliband menggesa agar "usaha diplomatik secara menyeluruh" dijalankan bagi menamatkan perang dan membuka semula sepenuhnya selat strategik itu, yang menurutnya amat penting.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita