Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: Vivian Balakrishnan tekankan pentingnya laluan tanpa gangguan di Selat Hormuz semasa lawatan ke Teluk

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Vivian Balakrishnan tekankan pentingnya laluan tanpa gangguan di Selat Hormuz semasa lawatan ke Teluk

Dr Vivian Balakrishnan bertemu dengan Timbalan PM merangkap Menteri Ehwal Luar UAE Sheikh Abdullah Bin Zayed Al Nahyan, 2 Mei dan 5 Mei 2026. (Gambar: MFA)

Diterbitkan : 06 May 2026 02:43PM Dikemas Kini : 06 May 2026 02:44PM
SINGAPURA: Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, menegaskan semula pentingnya laluan tanpa gangguan melalui Selat Hormuz semasa lawatan kerja ke beberapa negara Teluk yang berakhir pada Selasa (5 Mei), menurut Kementerian Luar Negeri (MFA).

Dr Balakrishnan melawat Amiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Arab Saudi, dan Qatar. Beliau turut membincangkan bidang kerjasama antara ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, yang berlangsung ketika gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran masih dalam keadaan rapuh, Dr Balakrishnan mengesahkan hubungan lama Singapura dengan rakan kongsi Teluk. Mereka juga "bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau, termasuk situasi di Selat Hormuz dan pentingnya mempertahankan hak laluan transit tanpa gangguan di selat tersebut," menurut MFA dalam satu kenyataan.

Di UAE, Dr Balakrishnan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Sheikh Abdullah Bin Zayed Al Nahyan di Abu Dhabi, serta Menteri Industri dan Teknologi Maju, Dr Sultan Ahmed Al Jaber.

Beliau turut mengadakan perbincangan di Dubai mengenai peluang memperkukuh perkongsian dalam bidang perdagangan, pelaburan, daya tahan rantaian bekalan, tenaga, ekonomi digital, dan pertahanan awam.

Di Oman pula, Dr Balakrishnan bertemu dengan Menteri Luar Sayyid Badr Bin Hamad Bin Hamood Al Busaidi. Mereka membincangkan usaha memperdalam kerjasama dalam bidang logistik, keselamatan tenaga, tadbir urus maritim, dan ekonomi digital. Beliau turut menyampaikan penghargaan Singapura kepada Oman kerana membantu memudahkan dua penerbangan penghantaran pulang rakyat Singapura dari Muscat pada Mac lalu.

Semasa bertemu Menteri Luar Arab Saudi, Faisal Bin Farhan Al Saud, Dr Balakrishnan berterima kasih atas bantuan negara itu memudahkan penerbangan penghantaran pulang rakyat Singapura dari Riyadh dan Jeddah. Beliau juga menghargai usaha Arab Saudi dalam memastikan keselamatan jemaah haji Singapura bagi musim haji akan datang. Kedua-dua menteri meneroka cara untuk mengeratkan hubungan perdagangan, logistik, dan ketersambungan.

Di Qatar, Dr Balakrishnan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani. Kedua-dua pihak membincangkan pengukuhan kerjasama dalam daya tahan ekonomi, pertahanan, serta keselamatan makanan dan tenaga.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita