Perang Amerika, Israel dan Iran: SIA lanjutkan penggantungan penerbangan Dubai hingga 30 Apr
Penumpang melihat pesawat Airbus A350-900 Singapore Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland New Zealand pada 10 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/William West)
Syarikat penerbangan negara itu membatalkan penerbangan ke Dubai sejak perang tercetus pada 28 Februari, apabila Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran.
Dalam kemas kini di laman web mereka pada Jumaat, SIA menyatakan bahawa pembatalan itu disebabkan oleh "situasi geopolitik" di Timur Tengah.
Syarikat itu juga memberi amaran bahawa penerbangan lain mungkin terjejas kerana keadaan "masih tidak menentu".
"Pelanggan yang terjejas oleh pembatalan penerbangan akan ditempatkan semula pada penerbangan alternatif atau boleh mendapatkan bayaran balik penuh untuk bahagian tiket yang tidak digunakan," menurut syarikat penerbangan negara itu.
Syarikat itu menambah bahawa pelanggan yang membuat tempahan terus dengan SIA boleh mendapatkan bayaran balik secara online.
"Untuk tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi, pelanggan dinasihati agar menghubungi ejen pelancongan atau syarikat penerbangan tempat pembelian dibuat secara langsung untuk mendapatkan bantuan."
Puluhan ribu penerbangan dibatalkan di seluruh dunia sejak perang meletus.
Konflik itu juga memaksa syarikat penerbangan mengelakkan ruang udara di sekitar Iran dan zon sensitif lain, mengakibatkan laluan penerbangan yang lebih jauh, peningkatan penggunaan bahan api dan kos operasi yang lebih tinggi.
Beberapa ruang udara di Timur Tengah masih dikawal dengan ketat, dengan jadual penerbangan dikurangkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.