Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: SIA lanjutkan pembatalan penerbangan ke Dubai hingga 2 Ogos

Singapore Airlines (SIA) akan melanjutkan pembatalan penerbangan antara Singapura dengan Dubai hingga 2 Ogos, di tengah-tengah perang berterusan di Timur Tengah, menurut syarikat penerbangan itu pada Rabu (6 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: SIA lanjutkan pembatalan penerbangan ke Dubai hingga 2 Ogos

Pesawat Airbus A380 milik Singapore Airlines kelihatan di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada 24 Oktober 2020. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) akan melanjutkan pembatalan penerbangan antara Singapura dengan Dubai hingga 2 Ogos, di tengah-tengah perang berterusan di Timur Tengah, menurut syarikat penerbangan itu pada Rabu (6 Mei).

Penerbangan SIA lain juga mungkin terjejas memandangkan situasi masih tidak menentu, menurut syarikat itu dalam catatannya di Facebook.

“Para pelanggan boleh melayari laman status penerbangan SIA untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung penerbangan mereka,” tambahnya.

Penerbangan tersebut sebelum ini dibatalkan hingga 31 Mei.

Penerbangan SIA antara Dubai dengan Singapura digantung sejak serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan perang yang memberi kesan besar terhadap perjalanan udara.

“Para pelanggan yang terjejas akibat pembatalan penerbangan akan ditempatkan semula dalam penerbangan alternatif atau boleh memohon bayaran balik penuh bagi bahagian tiket yang tidak digunakan,” menurut SIA.

Mereka yang membuat tempahan secara langsung dengan syarikat penerbangan itu boleh memohon bayaran balik secara online, manakala mereka yang membuat tempahan melalui ejen-ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsinya dinasihatkan untuk menghubungi pihak berkenaan secara langsung bagi mendapatkan bantuan, tambahnya.

Menjawab soalan parlimen pada Rabu, Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata ketika ini terdapat sekitar 55 penerbangan mingguan antara Singapura dengan Abu Dhabi, Bahrain, Doha, Dubai dan Jeddah, berbanding 154 penerbangan mingguan sebelum perang Timur Tengah bermula pada Februari.

“Syarikat-syarikat penerbangan akan menyesuaikan, mengubah laluan atau menggantung perkhidmatan berdasarkan penilaian risiko dan pertimbangan komersial mereka,” kata beliau.

“Changi Airport Group dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) telah bekerjasama rapat untuk menyokong rakan-rakan syarikat penerbangan kami untuk menambah lebih banyak penerbangan ke destinasi-destinasi alternatif seperti bandar-bandar di Eropah dan Australia, sambil memastikan syarikat-syarikat penerbangan mempunyai proses untuk menilai dan mengurangkan sebarang risiko keselamatan penerbangan,” tambah Encik Siow.

Berpuluh-puluh ribu penerbangan dibatalkan di seluruh dunia sejak perang tercetus, dengan penutupan Spirit Airlines menandakan kehilangan besar pertama industri penerbangan akibat perang tersebut.

Pada Isnin, Dubai Airports mengumumkan peningkatan operasi dan penerbangan, dengan ruang udara Amiriah Arab Bersatu (UAE) kini kembali dibuka sepenuhnya. Namun, pengumuman itu dibuat sebelum serangan peluru berpandu ke atas UAE.

UAE menuding jari ke arah Iran bagi serangan peluru berpandu tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita