Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: SG tidak akan runding bagi laluan selamat melalui Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: SG tidak akan runding bagi laluan selamat melalui Selat Hormuz

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berucap di Parlimen pada 7 April 2026.

Diterbitkan : 08 Apr 2026 12:21AM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 12:22AM
SINGAPURA: Singapura tidak akan berunding untuk mendapatkan laluan selamat melalui Selat Hormuz, kerana dengan berbuat demikian, ia akan menjejas prinsip asas undang-undang antarabangsa, kata Menteri Ehwal Luar, Vivian Balakrishnan pada Selasa (7 Apr).

Menjawab soalan Parlimen oleh Anggota Parlimen Fadli Fawzi (WP-Aljunied) mengenai sama ada Singapura akan berunding dengan Iran atau menimbangkan pembayaran tol bagi kapalnya, Dr Balakrishnan menegaskan bahawa transit melalui laluan air tersebut adalah satu hak - bukan keistimewaan.

“Terdapat hak bagi laluan transit,” katanya. “Ia bukan keistimewaan yang diberikan oleh negara pesisir, bukan lesen yang perlu dipohon, dan bukan tol yang perlu dibayar.”

Beliau menekankan bahawa Selat Hormuz, seperti Selat Melaka dan Selat Singapura, merupakan laluan air yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa.

Hak ini termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), yang turut ditandatangani oleh Singapura.

Dr Balakrishnan menambah bahawa prinsip ini diambil walaupun kepada negara yang belum meratifikasi UNCLOS, dan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak tanggungjawab.

Iran sebelum ini menyatakan bahawa ia sudah membenarkan kapal dari beberapa negara untuk melalui Selat Hormuz selepas tenteranya memperlahankan trafik di laluan laut sempit itu semasa perang yang bermula pada akhir Februari.

Negara-negara yang terlibat kebanyakannya dari Asia, termasuk China, India, Pakistan, Jepun, Thailand dan Malaysia.

Dr Balakrishnan menyifatkan pendekatan Singapura sebagai berasaskan prinsip, bukan geopolitik.

“Anda mungkin tertanya-tanya mengapa saya mengambil pendekatan undang-undang yang tegas, bukan kerana saya terlalu taksub dengan undang-undang, tetapi kerana Selat Melaka dan Selat Singapura merupakan satu lagi titik sempit yang sangat penting,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa lebih banyak minyak maritim - mentah dan ditapis - melalui Selat Melaka dan Selat Singapura berbanding Selat Hormuz.

Dari segi perdagangan kontena global, jumlah yang melalui rantau ini juga lebih tinggi, katanya.

Walaupun titik paling sempit di Selat Hormuz ialah 21 batu nautika, titik paling sempit di Selat Singapura adalah kurang daripada dua batu nautika, tambah beliau.

“Kebebasan pelayaran adalah satu hak, bukan keistimewaan bagi kapal dan pesawat, dan ini amat penting bagi Singapura,” kata beliau.

Beliau turut mendedahkan bahawa beliau sudah berhubung dengan menteri luar Iran sebelum konflik semasa dan menjangka akan berbuat demikian sekali lagi, namun menegaskan pendirian jelas mengenai rundingan laluan.

“Sebagai prinsip, dan bukan kerana kami memihak kepada mana-mana pihak, saya tidak boleh berunding mengenai laluan selamat kapal atau kadar tol, kerana berbuat demikian secara tidak langsung akan menghakis prinsip undang-undang ini,” katanya.

“Ini adalah satu lagi contoh Singapura menegakkan prinsip tanpa mengambil pihak,” tambahnya.

Sebagai makluman terkini, beliau berkata pemerintah memantau rapat situasi di Selat Hormuz, dan Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura terus berhubung dengan pemilik serta pengendali kapal berdaftar Singapura di rantau tersebut.

Agensi-agensi juga berinteraksi dengan pihak berkepentingan di peringkat antarabangsa dan serantau bagi memudahkan transit yang selamat.

Usaha ini termasuk perbincangan dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan negara anggota mengenai kemungkinan mewujudkan koridor maritim selamat, menyusuli sesi khas Majlis IMO baru-baru ini.

Singapura juga bekerjasama dengan rakan serantau untuk meneroka aturan tambahan.

Dr Balakrishnan turut menekankan aspek kemanusiaan, khususnya kebajikan pekerja maritim di atas kapal.

Pada masa yang sama, beliau memberi amaran tentang sekitaran global yang semakin tidak menentu serta kesannya.

Beliau turut menyeru agar ketelusan diberikan kepada orang ramai mengenai risiko ini.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita