Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: SG alu-alukan gencatan senjata Amerika-Iran, gesa rundingan diteruskan

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: SG alu-alukan gencatan senjata Amerika-Iran, gesa rundingan diteruskan

Orang ramai berkumpul selepas gencatan senjata selama dua minggu dalam perang Iran diumumkan, di Tehran, Iran pada 8 April 2026. (Gambar: Majid Asgaripour/WANA melalui REUTERS)

Diterbitkan : 09 Apr 2026 07:11AM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 07:15AM
SINGAPURA: Singapura menyatakan pada Rabu (8 Apr) bahawa ia mengalu-alukan gencatan senjata selama dua minggu antara Amerika Syarikat dan Iran, dan menggesa kedua-dua negara supaya mematuhi gencatan senjata sementara itu.

Persetujuan itu dicapai pada Selasa (7 Apr) sejurus sebelum tarikh akhir Presiden Donald Trump untuk Iran membuka semula Selat Hormuz.

Gencatan senjata itu akan menyaksikan penggantungan serangan Amerika Syarikat ke atas Iran selama dua minggu, dan Tehran seterusnya akan membuka semula Selat Hormuz buat sementara waktu, laluan minyak global yang penting, menurut Washington.

“Kami mengalu-alukan pihak-pihak yang terlibat telah mengambil langkah penting ini ke arah usaha mengendurkan ketegangan dan memuji usaha para pengantara, khususnya Pakistan,” menurut jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya.

“Kami menggesa semua pihak mematuhi gencatan senjata, menghentikan semua serangan ke atas negara-negara yang tidak berperang, dan melibatkan diri dalam rundingan yang akan membawa kepada penyelesaian yang berkekalan kepada konflik ini.”

MFA menambah bahawa Singapura selanjutnya mengalu-alukan komitmen di bawah gencatan senjata untuk memulihkan trafik perkapalan melalui Selat Hormuz.

“Kami menyeru semua pihak untuk menegakkan kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, memulihkan laluan transit yang selamat dan tanpa halangan di Selat Hormuz selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut, dan memastikan keselamatan pelaut dan kapal,” kata jurucakap itu.

Iran menutup selat itu selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Tehran pada 28 Februari lalu yang mencetuskan konflik tersebut.

Penutupan itu mencetuskan kenaikan harga bahan api dan elektrik yang lebih tinggi kerana kira-kira 20 peratus minyak global dan hampir seperlima daripada bekalan gas dunia melalui Selat Hormuz.

Asia, yang merupakan destinasi utama bekalan tenaga yang dihantar melalui laluan air itu, terjejas teruk oleh penutupan selat tersebut, dan beberapa negara telah melaksanakan sekatan eksport atau catuan bahan api.

Singapura tidak perlu mengambil langkah-langkah yang lebih drastik berbanding yang dilihat di negara-negara jiran, kerana ia tidak melihat keperluan untuk berbuat demikian buat masa ini, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam pada Selasa (7 Apr).

“Walau bagaimanapun, jika gangguan bekalan meningkat, dan jika lebih ramai pembekal tidak dapat membekalkan bahan api atau gas, maka potensi gangguan terhadap bekalan tenaga dan elektrik domestik kita tidak dapat diketepikan," kata Encik Shanmugam di parlimen.

Para penganalisis telah memberi amaran bahawa keadaan masih rapuh.

Teheran menuntut kawalan terhadap Selat Hormuz pada masa akan datang, pengayaan uranium dan sekatan ekonomi - terma-terma yang sangat bertentangan dengan Washington.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita