Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: Sektor awam SG mula kurangkan guna elektrik di kemudahan pemerintah

Sektor awam Singapura akan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan penggunaan elektrik di semua kemudahan pemerintah bagi meningkatkan ketahanan tenaga di tengah-tengah konflik Timur Tengah, yang menjejaskan rantaian bekalan bahan api global.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Sektor awam SG mula kurangkan guna elektrik di kemudahan pemerintah

Sebuah bendera Singapura di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 08 Apr 2026 06:46PM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 06:47PM
SINGAPURA: Sektor awam Singapura akan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan penggunaan elektrik di semua kemudahan pemerintah bagi meningkatkan ketahanan tenaga di tengah-tengah konflik Timur Tengah, yang menjejaskan rantaian bekalan bahan api global.

Semua kementerian, badan-badan negara, dan badan berkanun diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah penjimatan tenaga di mana mungkin, sambil mengimbangi keperluan operasi, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) serta Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan media bersama pada Rabu (8 Apr).

Ini termasuk langkah-langkah segera seperti menetapkan suhu alat penghawa dingin pada 25°C atau lebih tinggi, menguruskan waktu operasi alat penghawa dingin, lampu dan lif, serta mencabut palam atau mematikan peralatan dan perkakas yang tidak penting apabila tidak digunakan.

"Agensi-agensi juga akan mempercepatkan pemasangan sistem cekap tenaga seperti lampu LED dan sensor pintar serta menggantikan peralatan elektrik dengan alternatif yang lebih jimat tenaga, seperti peralatan yang mempunyai penarafan tanda tertinggi," menurut MSE dan NEA.

Pegawai awam juga dinasihatkan untuk mengamalkan tabiat penjimatan tenaga.

Langkah-langkah itu "menunjukkan komitmen pemerintah untuk memimpin melalui teladan dalam usaha penjimatan tenaga nasional", kata MSE dan NEA.

Dalam satu kenyataan menteri di parlimen pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong berkata bahawa konflik di Timur Tengah akan mengakibatkan gangguan bekalan tenaga dan perdagangan global.

Encik Gan berkata bahawa pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dalam tiga bulan pertama tahun ini adalah teguh, tetapi menambah bahawa pertumbuhan kemungkinan besar akan terjejas pada suku-suku tahun akan datang.

Disebabkan kenaikan harga minyak dan gas asli, kenaikan yang lebih mendadak dalam tarif elektrik yang dikawal selia dijangka berlaku pada suku seterusnya.

"Pemerintah sedang menerajui usaha penjimatan tenaga di peringkat negara ini dan akan terus memberikan sokongan untuk membantu menjimatkan tenaga," menurut MSE dan NEA pada Rabu.

"Setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan dalam memperkukuhkan ketahanan tenaga negara kita. Melalui tindakan bersama, kita dapat membantu memastikan Singapura kekal berada di kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran tenaga global sambil membina masa depan yang lebih mampan untuk semua."
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita