Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: PM Wong gesa SG manfaatkan perkembangan AI sebelum pembetulan pasaran berlaku

Perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang memberi manfaat kepada ekonomi Singapura tidak akan berterusan selama-lamanya, dan pendekatan negara ini adalah untuk memanfaatkan peluang yang ada sekarang untuk membangunkan keupayaan baharu dan mewujudkan pekerjaan lebih baik bagi rakyat Singapura, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (8 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: PM Wong gesa SG manfaatkan perkembangan AI sebelum pembetulan pasaran berlaku

Perdana Menteri Lawrence Wong bersama Pengerusi dan Ketua Editor Forbes Media, Steve Forbes, semasa Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Global Forbes di Shangri-La pada 8 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 09 Oct 2026 12:06AM
US, Israel and Iran war: PM Wong urges Singapore to capitalise on AI developments before a market correction occurs
  • Prime Minister Lawrence Wong said at the Forbes Global CEO Conference on Oct 8 that Singapore needs to capitalise on the current AI boom because economic cycles do not last forever.
  • He said AI supports semiconductors, logistics and professional services, with GlobalFoundries and Micron benefiting from demand for memory chips and specialised chips.
  • Prime Minister Wong stressed the need for international AI safeguards, possibly through the UN, alongside sector-specific regulation such as MAS guidelines and Waymo trials.
  • He also highlighted tariffs, freedom of navigation and ASEAN integration, while stressing cooperation with Malaysia, Indonesia and new regional partners.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang memberi manfaat kepada ekonomi Singapura tidak akan berterusan selama-lamanya, dan pendekatan negara ini adalah untuk memanfaatkan peluang yang ada sekarang untuk membangunkan keupayaan baharu dan mewujudkan pekerjaan lebih baik bagi rakyat Singapura, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (8 Okt).

"Tiada ledakan ekonomi yang akan berterusan selama-lamanya. Pada satu ketika, pembetulan pasaran akan berlaku. Kita tidak tahu bila atau bagaimana ia akan berlaku, mahupun siapa yang akan terjejas apabila ia berlaku," kata PM Wong, yang juga Menteri Kewangan.

"Jadi, pendekatan kami adalah untuk memanfaatkan peluang yang ada sekarang, ketika permintaan dari luar masih kukuh, gunakannya, bagi membangunkan keupayaan baharu dan mewujudkan pekerjaan lebih baik untuk rakyat Singapura."

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog bersama Pengerusi dan Ketua Editor Forbes Media, Steve Forbes, di Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Forbes yang diadakan di Shangri-La Singapore.

PM Wong berkata perkembangan AI ketika ini memberi manfaat kepada industri semikonduktor Singapura dan industri berkaitan, selain membawa kesan positif kepada sektor-sektor lain seperti logistik dan khidmat karyawan.

"Kami tidak menghasilkan cip AI yang tercanggih, tetapi kami mempunyai syarikat-syarikat besar di sini seperti GlobalFoundries dan Micron, yang menghasilkan cip memori dan cip khusus yang kini mendapat permintaan tinggi disebabkan oleh perkembangan AI," kata PM Wong.

Beliau menambah bahawa Singapura juga sudah membangunkan sebuah ekosistem semikonduktor yang merangkumi industri kejuruteraan jitu dan pembekal peralatan.

LANGKAH PERLINDUNGAN AI DI PERINGKAT ANTARABANGSA

PM Wong berkata tiada negara yang mampu menangani secara bersendirian risiko sistem AI yang berkuasa dan berautonomi bertindak di luar kawalan, atau disalahgunakan oleh pelaku hasad untuk mendatangkan bahaya.

Meskipun langkah Amerika Syarikat menubuhkan sebuah pasukan bertindak untuk mengawasi bidang tersebut adalah sesuatu yang baik, beliau berkata peraturan dan piawaian bagi pembangunan AI tercanggih akhirnya perlu ditetapkan di peringkat antarabangsa.

"Ia tidak boleh terhad kepada satu negara sahaja. Sebaik-baiknya, langkah perlindungan antarabangsa diwujudkan, mungkin di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Namun, perkara itu akan mengambil masa," kata beliau.

Menurut PM Wong, keperluan keselamatan AI juga bergantung pada keperluan dan penggunaannya dalam pelbagai sektor, seperti jagaan kesihatan, kewangan dan pengilangan maju.

"Saya rasa keperluannya akan berbeza mengikut sektor. Pengawal selia setiap sektor perlu menentukan keputusan yang harus dikekalkan di bawah kawalan manusia, pada peringkat mana manusia perlu terlibat dalam proses membuat keputusan, serta bentuk perlindungan yang diperlukan bagi sektor masing-masing," kata beliau.

Langkah perlindungan sedemikian sudah mula dilaksanakan dalam bidang-bidang seperti kewangan dan pengangkutan.

PM Wong merujuk kepada garis panduan baharu yang diterbitkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berhubung penggunaan AI dalam sektor kewangan, serta ujian kenderaan tanpa pemandu di jalan raya Singapura.

Ini termasuk projek rintis oleh syarikat teknologi pemanduan tanpa pemandu Waymo, yang membolehkan pihak berkuasa menguji teknologi tersebut dan memahami keperluan keselamatannya sebelum penggunaannya diperluas dengan pengawasan kawal selia.
Menyentuh tentang kesan AI terhadap pekerja dan pasaran pekerjaan, PM Wong berkata pendekatan Singapura adalah untuk "melindungi setiap pekerja, bukan pekerjaan itu sendiri".

Menurut beliau, pendekatan tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama rapat antara pemerintah, majikan dan kesatuan-kesatuan sejak beberapa dekad lalu.

MENGHARUNGI CABARAN GEOPOLITIK

Semasa dialog tersebut, PM Wong turut menyentuh tentang kesan tarif terhadap ekonomi dan menggesa agar perdagangan bebas serta kebebasan pelayaran terus dipelihara di seluruh dunia.

"Kami bimbang apa yang berlaku di Selat Hormuz mungkin menjadi contoh awal bagi kawasan lain, kerana jika laluan perairan antarabangsa yang penting boleh dijadikan sebagai alat untuk mengenakan tekanan atau bayaran tol dikenakan secara sewenang-wenangnya terhadap kapal yang melalui laluan seperti Selat Hormuz, negara-negara lain mungkin terdorong untuk melakukan perkara yang sama di tempat lain," kata beliau.

PM Wong membandingkan keadaan tersebut dengan Selat Melaka dan Selat Singapura, yang disifatkannya sebagai "laluan maritim sempit" yang amat penting di rantau ini.

PM Wong berkata beliau sudah membincangkan isu tersebut bersama pemimpin negara-negara yang bersempadan dengan selat berkenaan, iaitu Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Menurut beliau, ketiga-tiga pemimpin sependapat bahawa "laluan perairan antarabangsa mesti kekal terbuka, manakala kebebasan pelayaran dan hak laluan transit mesti dihormati".

"Walaupun mungkin terdapat kenyataan yang bercanggah dengan pendirian itu, para pemimpin tetap sependapat. Kami akan mempertahankan prinsip-prinsip ini dengan tegas dan bekerjasama dengan rakan-rakan kami untuk menegakkannya," kata beliau.

PM Wong berkata Singapura "masih tidak dapat memahami" tarif yang dikenakan Amerika Syarikat, namun tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya. "Kadar tarif yang sepatutnya ialah sifar," kata beliau.

Beliau menambah bahawa negara-negara lain juga semakin banyak mengenakan sekatan perdagangan, di tengah-tengah kebimbangan yang meningkat terhadap persaingan.

"Terdapat kebimbangan bahawa eksport dari negara lain akan menjejas industri tempatan dan pekerjaan. Jadi, kita dapat melihat perubahan sedang berlaku," kata beliau.

Meskipun perdagangan tidak akan terhenti, PM Wong berkata ekonomi global akan menjadi semakin terpisah, mengikut rantau.

Menekankan pentingnya perdagangan kepada Singapura, PM Wong berkata negara ini tidak mampu mengambil pendekatan yang hanya tertumpu kepada pasaran domestik kerana Singapura "akan menjadi miskin dengan cepat" jika ia berbuat demikian.

Oleh itu, Singapura berhasrat untuk mempercepat integrasi ASEAN dan akan memperkenalkan inisiatif-inisiatif untuk memperkukuhkan usaha tersebut apabila ia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada tahun depan, kata PM Wong.

"Kami akan memperkukuh hubungan dengan rakan-rakan sedia ada, dan saya fikir terdapat juga peluang di rantau baharu seperti Amerika Latin, Afrika dan Timur Tengah, yang kami harap dapat memperluas kerjasama," kata beliau, sambil menambah bahawa Singapura menaruh harapan untuk menjadi penghubung bagi rantau-rantau yang berbeza.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita