Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang di Timur Tengah amat membimbangkan, SG tidak boleh pandang remeh keamanan: Edwin Tong

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Perang di Timur Tengah amat membimbangkan, SG tidak boleh pandang remeh keamanan: Edwin Tong
Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong bercakap kepada media semasa melancarkan kempen baharu SGSecure di Junction 8 pada 5 Mac 2026. (Gambar: CNA/Abel Khoo)
Diterbitkan : 05 Mar 2026 02:50PM Dikemas Kini : 05 Mar 2026 02:55PM
SINGAPURA: Perang di Timur Tengah amat membimbangkan Singapura, dan negara ini tidak boleh memandang remeh keamanan yang dicapai di sini, tegas Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong pada Khamis (5 Mac).

“Meskipun agak jauh, ia masih relevan dan ia mempunyai kesan ke atas seluruh dunia, termasuk Singapura,” kata Encik Tong semasa menjawab pertanyaan Mediacorp semasa melancarkan kempen baharu SGSecure di pusat beli-belah Junction 8.

“Di Singapura, kita bernasib baik kerana dapat menikmati keamanan relatif, walaupun dunia dicengkam dengan ketegangan dan peperangan. Walau bagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh, dan ia tidak berlaku secara kebetulan.”

Encik Tong, yang juga menteri undang-undang, merasmikan pelancaran kempen baharu SGSecure yang diberi nama “Mainkan Peranan Anda”. Ia merangkumi filem pendek dan siri pameran bergerak di seluruh negara.

 
Related article image
Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong semasa melancarkan kempen baharu SGSecure di Junction 8 pada 5 Mac 2026. (Gambar: CNA/Abel Khoo)
Turut hadir pada Khamis (5 Mac) ialah Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri Sim Ann dan para anggota daripada pelbagai agensi Home Team.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 gerakan SGSecure, jadi kami merasakan sudah tiba masanya untuk kami menyegarkan semula kempen ini supaya mesej tersebut kekal relevan dan menjadi keutamaan rakyat Singapura,” katanya lagi.

Orang ramai boleh menonton filem pendek itu di saluran YouTube Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). Ia juga akan ditayangkan di acara akar umbi, di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi, dan semasa sesi mendekati masyarakat dengan pertubuhan masyarakat dan agama, menurut MHA dalam kenyataan medianya.

Pameran bergerak itu akan menampilkan aktiviti interaktif yang berlatarkan tempat-tempat seperti bilik tidur dan pusat penjaja, membolehkan pengunjung untuk menimbangkan cara-cara untuk bertindak balas terhadap serangan pengganas dan juga mempelajari kemahiran praktikal, seperti mengesan tingkah laku yang mencurigakan dan mengenal pasti tanda-tanda radikalisasi.

“Eksperimen sosial SGSecure yang dijalankan tahun lalu menunjukkan bahawa ramai di antara kita tidak sewaspada yang kita sangkakan, mungkin kerana ramai rakyat Singapura tidak berpendapat bahawa serangan pengganas boleh berlaku di Singapura,” kata Encik Tong.

MHA menegaskan bahawa ancaman pengganasan terhadap Singapura kekal tinggi, dengan radikalisasi secara online terus menjadi pemacu utama. Radikalisasi dalam kalangan belia juga amat membimbangkan.

Kempen baharu itu bertujuan untuk mengalihkan tumpuan orang ramai daripada kesedaran semata-mata kepada mengambil tindakan, katanya.

“Serangan pengganas di Singapura bukanlah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan,” tambah Encik Tong.

Beliau berkata bahawa keadaan keamanan relatif di Singapura sekarang ini adalah hasil daripada usaha selama bertahun-tahun untuk membina kepercayaan dalam masyarakat dan untuk terus berwaspada terhadap ancaman.

Beliau menekankan peranan inisiatif seperti SGSecure.

“Ia mengingatkan kita bahawa keselamatan Singapura adalah tanggungjawab bersama. Setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan dalam kekal berwaspada, bersatu padu dan bertindak balas dengan tenang dan padu semasa krisis,” kata Encik Tong.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita