Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: Penjaja naikkan harga sehingga S$1 di tengah kos tenaga, bahan lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Penjaja naikkan harga sehingga S$1 di tengah kos tenaga, bahan lebih tinggi

Di Pusat Makanan Chinatown Complex, iaitu pusat penjaja terbesar Singapura, lebih 220 penjual kini menghadapi tekanan kos sepanjang bulan lalu.

Diterbitkan : 13 Apr 2026 07:41PM Dikemas Kini : 13 Apr 2026 07:42PM
SINGAPURA: Hidangan penjaja mungkin akan menjadi lebih mahal tidak lama lagi, dengan beberapa pemilik gerai di seluruh Singapura menaikkan harga sehingga S$1.

Ini sedang kos bahan mentah dan tenaga yang meningkat terus memberi tekanan kepada margin keuntungan.

Penjaja berkata perang Timur Tengah melonjakkan kos pengendalian, dengan sebilangan mereka melaporkan keuntungan mereka turun sehingga 20 peratus.

Pemain industri menggesa lebih banyak sokongan pemerintah, termasuk rebat sewa dan utiliti, sedang tekanan kos meningkat di seluruh sektor.

KOS MENINGKAT

Di Pusat Makanan Chinatown Complex misalnya, lebih 220 penjual menghadapi tekanan kos itu sepanjang bulan lalu.

Kos operasi meningkat sebanyak lagi 10 peratus, manakala bayaran penghantaran yang lebih tinggi - didorong oleh surcaj bahan api - terus memberi tekanan kepada margin keuntungan.

Persatuan Penjaja Chinatown Complex menyatakan bahawa pihak berkuasa sudah meminta untuk dimaklumkan jika harga gas meningkat dengan ketara.

Namun bagi ramai penjaja, tekanan yang semakin meningkat menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan, selain memindahkan sebahagian daripada kos yang lebih tinggi kepada pengguna.

Ini termasuk dengan menaikkan harga antara 50 sen hingga S$1.

"Bagi penjaja biasa, mereka akan mempunyai pelbagai pembekal," kata Encik Tan, sambil menambah bahawa ia boleh terdiri daripada ayam dan sayur-sayuran hingga bahan-bahan lain.

"Setiap hari, mereka akan menerima banyak penghantaran, dan jika surcaj penghantaran dikenakan oleh setiap pembekal, maka kita akan melihat kesan berganda pada surcaj bahan api dari segi yuran penghantaran, dan ini juga akan menjadi beban kepada penjaja," katanya.

"Penjaja menghadapi bil yang lebih besar setiap kali mereka menerima bahan mentah berbanding sebelum ini, walaupun mereka mungkin memesan jumlah bahan mentah yang sama," tambah beliau.

Cabaran yang sama turut dirasai di tempat lain, termasuk di Pusat Makanan Bedok, di mana penjaja juga kini berhadapan dengan jumlah pengunjung yang lebih rendah.

Ditambah dengan kos yang meningkat, beberapa gerai di pusat makanan itu menyaksikan hasil harian jatuh sekurang-kurangnya 20 peratus.

Walaupun kebanyakan gerai belum menaikkan harga buat masa ini, Persatuan Pusat Makanan Bedok menggesa lebih banyak sokongan untuk membantu penjaja mengharungi tempoh ini.

"Saya berharap mungkin pemerintah... boleh menimbangkan untuk memberi diskaun sewa dalam tempoh ini sahaja. Jadi mungkin kami boleh mengekalkan perniagaan kami di sini," kata pengerusi persatuan itu, Hajjah Roziah Adon.

RAYUAN UNTUK SOKONGAN

Persekutuan Persatuan Pedagang Singapura (FMAS) menyatakan bahawa ia bekerjasama dengan penjaja dan pembekal untuk membantu mengawal kos, termasuk meningkatkan usaha pembelian pukal.

Ia juga menggalak penjaja mempelbagaikan aliran pendapatan mereka dengan mengukuhkan kehadiran online dan memanfaatkan pembiayaan pemerintah yang menyokong inisiatif akar umbi untuk meningkatkan budaya penjaja.

Cik Faye Sai, naib pengerusi bahagian penjaja persekutuan itu, berkata sesetengah penjaja melaporkan sedikit penurunan dalam bilangan pengunjung, sambil menambah bahawa orang ramai nampaknya kurang berbelanja.

Pemilik gerai generasi ketiga itu berkata lebih banyak boleh dilakukan untuk menarik pengunjung di luar waktu sibuk, sambil berkongsi bahawa pusat penjaja seperti Amoy Street cenderung sunyi pada hujung minggu, berbanding dengan kesesakan waktu makan tengah hari pada hari biasa.

"Mungkin pada hujung minggu, kita mahu memikirkan cara untuk menarik lebih ramai pelancong, menarik lebih ramai penduduk tempatan untuk kembali ke ruang ini, dan kemudian mudah-mudahan mereka akan mengingati Amoy dan kemudian datang lagi pada hari biasa," tambahnya.

Persatuan itu akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), yang menyatakan bahawa ia sedang memantau dengan teliti kesan ke atas pemegang gerai di pusat penjaja dan pasar yang diurusnya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita