Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: Pengendali ambulans privet SG pertimbang surcaj bahan api susuli lonjakan 70% harga diesel

Pengendali ambulans privet di Singapura sedang mempertimbangkan surcaj bahan api untuk menangani kenaikan harga diesel menyusuli gangguan bekalan minyak global akibat perang di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Pengendali ambulans privet SG pertimbang surcaj bahan api susuli lonjakan 70% harga diesel

Kakitangan perubatan Medivac bersama seorang pesakit yang menggunakan ventilator sokongan hayat di dalam sebuah ambulans swasta. (Gambar: Medivac Emergency Ambulance Services)

Diterbitkan : 18 May 2026 07:53AM
SINGAPURA: Pengendali ambulans privet di Singapura sedang mempertimbangkan surcaj bahan api untuk menangani kenaikan harga diesel menyusuli gangguan bekalan minyak global akibat perang di Timur Tengah.

Beberapa penyedia ambulans memberitahu Mediacorp bahawa perbelanjaan berkaitan diesel meningkat dengan mendadak sejak perang di Iran bermula pada akhir Februari.

Ini sekali gus menaikkan kos operasi dan memberi tekanan kepada perkhidmatan penyedia ambulans itu.

Para pengendali tersebut merupakan syarikat swasta yang diberi lesen oleh Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menyediakan pengangkutan dan jagaan perubatan kecemasan serta bukan kecemasan.

Mereka menyediakan khidmat kepada para pesakit seperti warga emas dan individu kurang daya pergerakan yang perlu ke hospital dan pusat perubatan, atau merentasi sempadan ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan atau pemeriksaan kesihatan.

Sejak perang bermula pada akhir Februari, harga diesel di stesen minyak meningkat sekitar 70 peratus kepada kira-kira S$4.50 seliter.

Lentor Ambulance mengumumkan bulan lalu, disebabkan oleh kenaikan kos diesel, surcaj bahan api akan dikenakan bagi semua tempahan mulai 1 April. Bagaimanapun, syarikat itu tidak menyatakan jumlah caj tambahan itu atau bagaimana ia akan dilaksanakan.

Apabila dihubungi, Lentor menyatakan ia tidak akan mengulas perkara tersebut kepada media.

Perkhidmatan ambulans privet lain pula menyatakan ia masih menanggung kos tersebut buat masa ini, namun kenaikan perbelanjaan mungkin memaksanya untuk mengambil langkah yang serupa.

“Kami memilih untuk tidak mengenakan surcaj bahan api buat masa ini kerana kami mahu memastikan perkhidmatan kami kekal dimampui untuk diakses pesakit yang memerlukan,” kata pengarah Medivac Emergency Ambulance Service, Daryn Lim.

“Setakat yang mampu, kami menyerap peningkatan kos operasi itu dan tidak terus memindahkannya kepada pesakit serta keluarga mereka.”

SURCAJ BAHAN API MUNGKIN DIPERKENALKAN

Walaupun tiada satu pun dalam kalangan lima pengendali ambulans privet yang ditemui Mediacorp sudah mengenakan surcaj bahan api, ada yang menyatakan bahawa ia mungkin perlu berbuat demikian jika harga diesel kekal tinggi.

Dua daripadanya sudah mula mengira bayaran tambahan yang mungkin diperlukan.

Menurut First Ambulance, keseluruhan kos operasinya meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak akhir Februari.

Ia sedang mempertimbangkan caj tambahan bahan api antara S$7 hingga S$15 bagi setiap tempahan, bergantung kepada lokasi dan sama ada ia merupakan perjalanan sehala atau ulang-alik.

Pengendali itu masih berharap untuk mendapatkan sokongan pemerintah bagi mengurangkan tekanan tersebut. “Kami tidak mahu menambah lagi beban kewangan kepada pesakit,” kata jurucakap syarikat itu.

Royal Ambulance pula mungkin memperkenalkan caj tambahan bahan api sebanyak lima peratus bagi perjalanan sehala dan 10 peratus bagi perjalanan ulang-alik, kata penolong pengurus operasi Shaduan Abd Samad.

Syarikat itu kini mengenakan bayaran sebanyak S$150 bagi perjalanan sehala dan S$170 bagi perjalanan ulang-alik untuk perkhidmatan pengangkutan perubatannya.

Perbelanjaan dieselnya meningkat sekitar 30 hingga 40 peratus sejak Februari, manakala kos operasinya meningkat sekitar S$2,000 hingga S$3,000, tambah Encik Shaduan.

“Buat masa ini, kami cuba sedaya upaya untuk mengekalkan harga sedia ada kerana ramai pelanggan kami sering meminta diskaun dan mungkin belum bersedia untuk menghadapi kenaikan harga meskipun kos diesel meningkat,” kata beliau sambil menambah bahawa warga emas dan keluarga berpendapatan rendah mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran lebih tinggi.

KESAN TERHADAP PERKHIDMATAN

Penyedia seperti Medivac dan Sunlight Ambulance Services menyatakan pemindahan rentas sempadan merupakan antara perkhidmatan yang paling terjejas.

Perjalanan tersebut kini menjadi semakin mahal disebabkan oleh jarak yang lebih jauh, kata pengurus Sunlight Ambulance Services, Shervonne Kok.

Encik Lim dari Medivac pula berkata kos bahan api, perancangan laluan dan sekatan operasi secara langsung menjejas penggunaan ambulans bagi perjalanan rentas sempadan.

Perkhidmatannya ke Malaysia mencatat peningkatan kos operasi paling tinggi iaitu sekitar 60 peratus, kata beliau sambil merujuk kepada faktor-faktor seperti kenaikan harga diesel di Malaysia dan ketersediaan diesel Euro 5 yang diperlukan ambulans berdaftar di Singapura.

Sebagai perbandingan, lawatan ke rumah dan bantuan kecemasan kurang terjejas.

Bagi pelanggan yang membayar secara tunai, syarikat itu juga masih menangguhkan pelaksanaan surcaj sedang ia terus memantau keadaan.

“Kami faham kenaikan harga secara mendadak bagi perkhidmatan yang sama amat membebankan keluarga yang sudahpun berdepan dengan tekanan perubatan,” kata Cik Kok.

“Kami cuba beroperasi secekap mungkin untuk melalui tempoh ini sebelum menentukan sama ada model harga sedia ada kami masih mampan.”

Cik Kok berkata beliau melihat trend peningkatan dari segi sensitiviti terhadap harga, dengan para pelanggan semakin aktif membandingkan harga.

Pengendali itu juga melihat lebih banyak keluarga yang membatalkan tempahan ambulans privet dan membawa sendiri ahli keluarga mereka.

Medivac belum mengenakan surcaj menyeluruh, namun perkara itu boleh berubah jika harga diesel terus kekal tinggi.

“Jika harga bahan api terus meningkat dalam tempoh panjang, kami mungkin perlu menilai semula pendekatan harga kami,” kata Encik Lim.

HURAIAN

Bagi menangani kebimbangan segera, Sunlight Ambulance Services kini “amat berhati-hati” terhadap penggunaan bahan apinya.

Para pemandu diarahkan untuk mengamalkan tabiat pemanduan yang lebih menjimatkan bahan api. Perancangan laluan juga dioptimumkan dengan lebih teliti, kata Cik Kok sambil menambah bahawa perkara itu meningkatkan tekanan operasi ke atas pemandu dan pihak pengurusan.

Royal Ambulance pula menyatakan, lonjakan harga diesel menjejas kawasan yang dirangkumnya.

Ia tidak lagi menyediakan perkhidmatan di seluruh negara dan kini lebih menumpukan perhatian kepada kawasan tertentu sahaja, kata Encik Shaduan.

Para pengendali menyatakan krisis bahan api itu telah mempercepatkan minat terhadap kenderaan elektrik (EV), namun ia masih belum praktikal bagi tugas berkaitan ambulans.

Cabaran utama ialah tempoh pengecasan yang panjang dan waktu operasi yang terjejas akibatnya.

Masa amat penting dalam pengangkutan pesakit, dan pilihan tenaga alternatif ketika ini mungkin tidak sesuai dengan keperluan kerja ambulans dari segi jarak perjalanan dan peralatan perubatan di dalamnya, kata Encik Lim dari Medivac.

“Ambulans, khususnya unit rawatan penting, memerlukan kapasiti khusus, keandalan, jarak perjalanan dan kesiapsiagaan tertentu pada setiap masa,” tambah beliau.

Buat masa ini, banyak pengendali yang berharap pemerintah dapat menghulurkan sokongan bagi membantu menghadapi gangguan bekalan tenaga tersebut.

Bayaran ambulans privet seringkali perlu ditanggung sendiri oleh pesakit dan keluarga mereka, kata Cik Kok.

“Jika harga bahan api kekal tinggi, tekanan berpanjangan terhadap kos operasi kami akhirnya akan memaksa kami menaikkan harga secara menyeluruh. Ini berisiko menjadikan pengangkutan penting kurang mudah untuk diakses oleh golongan rentan,” tambah beliau.

“Kami benar-benar berharap keadaan bertambah baik jadi kami tidak perlu mengenakan surcaj,” kata Cik Kok.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita