Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: Pelajar SG di Timur Tengah teruskan pengajian, rata-rata tiada rancangan untuk pulang

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2026 11:19PM Dikemas Kini : 15 Mar 2026 06:47PM
  • Pelajar Singapura di Kuwait, Mesir dan Jordan terpaksa menyesuaikan kehidupan harian serta pengajian akibat konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah.
  • Di Kuwait, kelas beralih ke online dan sambutan Ramadan terjejas kerana sekatan keselamatan, manakala pelajar Mesir menyediakan pelan kecemasan dan memantau situasi.
  • Di Jordan, beberapa acara Ramadan ditangguhkan demi keselamatan, dan pelajar mematuhi langkah yang disarankan oleh pihak berkuasa Singapura.
  • Kebanyakan pelajar tidak bercadang pulang ke Singapura buat masa ini, walaupun perjalanan udara terjejas dan keluarga memahami situasi mereka.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Para pelajar Singapura yang menuntut di Timur Tengah terus menjalani kehidupan seharian dan pengajian meski perlu membuat sedikit penyesuaian.

Ini di tengah-tengah konflik yang berterusan yang semakin meruncing dan di rantau itu.

Antara mereka ialah pelajar tahun keempat di Universiti Kuwait, Jabir Mohd Kamal.

"Pengajian sekolah pun sudah beralih ke online. Kita tidak ke kampus lagi untuk ke kelas-kelas. Kalau nak keluar, mereka akan tanya kita lebih banyak lagi soalan, seperti kenapa kita nak keluar, pukul berapa nak balik," ujar Jabir.

Jabir berkongsi bahawa ada lima pelajar Singapura yang menuntut di universiti itu sekarang ini.
Related article image
Jabir Mohd Kamal (tengah) bersama kawan-kawannya dari Singapura (Gambar: Jabir Mohd Kamal)
Menurut Jabir, ancaman yang dihadapi di negara itu juga agak serius padanya.

Penuntut bidang undang-undang Islam itu berkongsi pengalaman cemas apabila semboyan kecemasan dibunyikan.

“Pada hari Sabtu lalu, apabila kita tahu ia (serangan) terjadi ke Kuwait, semboyan dinyalakan pada waktu petang. Saya pun terperanjat. Saya ingat ada pesta tetapi bila saya tengok berita, kawan kita pun kongsikan berita, jadi kita dapat tahu,” jelas Jabir.

"Sampai sekarang, akan ada bunyi semboyan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sehari. Kita juga akan dengar peluru berpandu dipintas dan boleh juga rasa dan dengar gegarannya," tambahnya.

Jabir bersama kawan-kawannya tinggal di kawasan Abdullah Al-Mubarak, Shadadiyah.

RAMADAN YANG BERBEZA DI KUWAIT

Disebabkan konflik yang berterusan, Jabir juga merasakan bahawa sambutan Ramadan tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

Jabir berkata bahawa ia disebabkan sekatan keselamatan yang menjejas rutin ibadah dan pergerakan.
Related article image
Jabir Mohd Kamal (tiga dari kanan) bersama kawan-kawannya dari Singapura (Gambar: Jabir Mohd Kamal)
“Dalam bulan puasa ini, rancangan kita untuk fokus pada ibadah. Kita selalunya pergi balik ke masjid untuk solat tarawih, jumpa keluarga-keluarga di Kuwait dan berbuka puasa bersama mereka tetapi kerana dengan ancaman ini sekarang, kita rasa yang ada beberapa pertukaran. Contohnya, sekarang tiada tarawih di masjid, yang saya rasa amat menyedihkan. Sekarang juga ada beberapa nasihat untuk kita hadkan pergerakan ke luar,” katanya

Pelajar itu juga memang tidak ada perancangan untuk kembali ke Singapura setakat ini, mahupun untuk sambutan Aidilfitri atas beberapa sebab.
Related article image
Jabir Mohd Kamal (paling kanan) (Gambar: Jabir Mohd Kamal)

"Memang saya tidak ada perancangan untuk balik ke Singapura untuk Aidilfitri sebab ada pengajian, kelas yang akan berlangsung sehari dua selepas Aidilfitri. Jadi kalau ingin berusaha untuk balik ke Singapura, bayaran kosnya tinggi, balik pun beberapa hari (sahaja). Jadi saya memilih untuk habiskan pengajian, dan selepas itu balik ke Singapura."

"Kita berada di Kuwait, ruang udara pun ditutup. Jadi kalau kita nak terbang ke Singapura pun agak susah. Satunya cara untuk balik adalah menerusi perjalanan darat dahulu, ke Saudi misalnya atau Riyadh seperti yang dicadangkan dan terbang dari sana,” jelasnya.

Beberapa kemudahan Amerika di Kuwait diserang Iran termasuk kedutaannya.

PELAJAR UNIVERSITI AL-AZHAR SIAPKAN PELAN KECEMASAN

Sementara itu, lain pula kisahnya di Mesir.

Para pelajar Universiti Al-Azhar di Kaherah pula menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Penuntut tahun keempat, Nadhatul Husna Mohd Hashim, bahkan berkata bahawa para pelajar universiti itu masih boleh ke kampus untuk menjalani kelas-kelas.

Related article image
Nadhatul Husna Mohd Hashim (atas, tengah) (Gambar: Nadhatul Husna Mohd Hashim)
Namun, ia tidak bermakna bahawa para pelajar mengambil sambil lewa konflik di Timur Tengah.

Husna yang merupakan anggota jawatankuasa bagi Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura (PERKEMAS) di Mesir, berkongsi beberapa rancangan awal dan persiapan yang dilakukan.

"Kami telah merancang beberapa pelan kecemasan. Siap sediakan pasport, ada wang tukaran USD untuk waktu kecemasan dan kita harus bergerak. Kita juga sudah mengenal pasti pusat perhimpunan jadi kalau ada-ada apa yang berlaku, kita boleh berkumpul di situ. Kami juga mengikut rapat berita yang ada, dan dapatkan informasi daripada Pegawai Perhubungan Pelajar (SLO), kalau ada apa-apa yang berlaku, kami boleh ambil tindakan dengan secepat mungkin," katanya.

Seperti Jabir, Husna juga tidak mempunyai sebarang rancangan untuk pulang ke Singapura setakat ini.
Related article image
Para pelajar Universiti Al-Azhar (Gambar: Nadhatul Husna Mohd Hashim)
"Insya-Allah memandangkan saya menunggu tamat pengajian pada Oktober nanti, saya berharap memang keadaan akan reda. Namun, rancangan sandaran saya, jika disuruh pulang, itu yang mungkin membuat saya terdetik untuk pulang. Jika tidak saya amat berharap dapat teruskan perjuangan ke akhirnya di sini. Selain itu, kita juga akan menduduki peperiksaan pada bulan Mei dan Jun ini," jelas Husna.

Husna juga berkongsi rancangan perjalanan udara beberapa kawannya sudah terjejas.

“Mereka yang terjejas adalah kawan-kawan saya yang nak pulang ke Singapura atau nak pulang ke Mesir dari Singapura. Mungkin tidak dapat terbang masuk atau keluar kerana (penutupan) ruang udara."
Related article image
(Gambar: Nadhatul Husna Mohd Hashim)
"Untuk pulang ke Singapura, memang mereka sudah ada perancangan awal untuk pulang, tetapi disebabkan peperangan, rancangan mereka terjejas dan tidak dapat pulang tepat pada waktunya. Disebabkan mereka (yang pulang ke Singapura) sudah pulang pada awal Mac, mereka sedang menunggu waktu selamat untuk pulang semula," ujar Husna.

PELAJAR DI JORDAN PERLU TANGGUH, BATALKAN ACARA RAMADAN

Di Jordan juga, kehidupan seharian para pelajar Singapura berjalan seperti biasa.

Muhammad Safwan Rosli, pelajar tahun kedua di Universiti Jordan, mendedahkan demikian kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

"Kehidupan di Jordan seperti biasa, tidak ada sebarang hentian kelas, kelakuan yang menghindari kita daripada kehidupan seperti biasa. Contohnya, kalau nak ke masjid untuk melaksanakan solat tarawih, atau pergi ke kedai, seperti biasa sahaja," kata Safwan.
Related article image
Muhammad Safwan Rosli (Gambar: Muhammad Safwan Rosli)
Namun, dia berkata bunyi semboyan dan letupan kadangkala dapat didengari susulan konflik di rantau itu.

"Cumanya, mula daripada serangan Israel kepada Iran, mungkin sejam atau beberapa minit, kita akan kedengaran semboyan dan letupan bom. Kami dengar letupan bom pun adalah apabila tentera udara Jordan memintas bom tetapi secara serangan yang terjadi di darat memang tidak ada, belum lagi ada dan harap-harap tidak akan ada," ujar pelajar yang mengambil kursus Perbankan dan Kewangan Islam itu.

Walaupun begitu, di tengah-tengah konflik yang semakin meruncing, Safwan berkata sebanyak tiga acara pelajar sempena Ramadan terpaksa ditangguhkan demi keselamatan.
Related article image
Kawasan sekitar Universiti Jordan (Gambar: Muhammad Safwan Rosli)
“Selaku Presiden Persatuan Pelajar Singapura di Jordan (SIRAJ), kita sudah rancang beberapa acara seperti iftar bersama, di mana para pelajar dari Amman dan Irbid berbuka bersama. Jadi saya tidak boleh lakukan sebegitu untuk menjaga keselamatan para pelajar. Keselamatan adalah keutamaan.”

"Buat masa ini, dua daripada tiga acara itu sudah ditangguhkan atau dibatalkan terus. Lagi satu ini, yang akan berlangsung pada akhir bulan Ramadan, kita akan pantau situasi dahulu," kata Safwan.

Buat masa ini, dia berkata para pelajar terus mematuhi langkah keselamatan yang disarankan oleh pihak berkuasa Singapura.

“Kita bekerjasama dengan MUIS, MFA tentang langkah keselamatan yang perlu kita ikut. Seperti jangan keluar rumah banyak sangat.”

Safwan juga berkata dia tidak mempunyai rancangan untuk pulang ke Singapura buat masa ini.

Ini meskipun sudah kali ketiga Safwan mengalami situasi pengeboman sejak memulakan pengajian di Jordan dua tahun lalu.

“Buat masa ini saya tidak akan ada perasaan harus pulang. Kalau situasi memerlukan kita untuk pulang, saya taruh seluruh kepercayaan kepada Pemerintah Singapura. Dari pihak keluarga dan kawan-kawan, ada juga keluarga mereka risau tetapi keluarga saya, ini bukan kali pertama. Ini kali ketiga. Jadi mereka pun memahami."

"Kita serahkan kepada Tuhan. Cuma sifat risau, bimbang memang sifat kemanusiaan yang ada. Tetapi kita harus memahami situasi sekarang, dan perlu membuat keputusan dengan lensa luas. Keluarga saya reda dengan keberadaan saya di sini dan saya akan lanjutkan pelajaran di sini," ujar Safwan.
Related article image
Muhammad Safwan Rosli bersama kawannya (Gambar: Muhammad Safwan Rosli)
Safwan, Jabir dan Husna merupakan antara lebih 40 pelajar yang berkongsi pengalaman dan perkembangan terkini mereka dengan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam satu panggilan video menerusi Zoom pada Rabu (5 Mac).
Related article image
Para mahasiswa yang melanjutkan pengajian di Timur Tengah dalam panggilan video Zoom bersama Pemangku Menteri Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita