Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: NTUC FairPrice bekukan harga 100 barangan keperluan harian selama sebulan

NTUC FairPrice mengumumkan pada Rabu (8 Apr) bahawa ia akan membekukan harga bagi 100 barangan keperluan harian bermula 9 April hingga 31 Mei. Langkah ini bertujuan memastikan harga barangan dapur kekal mampu milik untuk pengguna.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: NTUC FairPrice bekukan harga 100 barangan keperluan harian selama sebulan

Seorang wanita mengambil bakul di luar pasar raya NTUC Fairprice. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 08 Apr 2026 07:04PM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 07:14PM
SINGAPURA: NTUC FairPrice mengumumkan pada Rabu (8 Apr) bahawa ia akan membekukan harga bagi 100 barangan keperluan harian bermula 9 April hingga 31 Mei. Langkah ini bertujuan memastikan harga barangan dapur kekal mampu milik untuk pengguna.

Pelanggan boleh mencari label "Price Freeze" (Harga Dibekukan) di dalam kedai atau secara online, menurut rangkaian pasar raya itu dalam satu catatan di Facebook.

Senarai barangan tersebut merangkumi produk ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran tertentu, serta lampin bayi dan sabun pencuci pakaian tertentu.

Pemegang kad CHAS juga akan menikmati "penjimatan berganda" sehingga 29 Mei, tambah NTUC FairPrice. Ini memberikan diskaun sehingga 6 peratus bagi pemegang kad CHAS Biru dan Jingga, masing-masing pada Khamis dan Jumaat.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, K Shanmugam, memberitahu parlimen pada Selasa bahawa peperangan di Timur Tengah akan menaikkan harga produk makanan yang diimport oleh Singapura.

Singapura mengimport lebih daripada 90 peratus bekalan makanannya, menurut maklumat bertarikh Disember 2025 daripada Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).

"Gas asli adalah bahan utama untuk baja. Apabila bekalan gas terganggu, harga baja akan naik," kata Encik Shanmugam.

"Oleh itu, kos tanaman makanan dan makanan haiwan akan meningkat, dan harga produk makanan import kita juga akan naik. Apabila kos bahan api meningkat, kos untuk mengangkut dan menyimpan produk makanan juga akan menjadi lebih mahal," tambah beliau.

Singapura mempunyai simpanan bekalan dan pelan kecemasan yang mencukupi. Aturan ini sentiasa disemak dan diperkukuh supaya tetap teguh, kata Encik Shanmugam, yang mempengerusikan jawatankuasa menteri yang ditubuhkan untuk menangani kesan peperangan tersebut.

Simpanan bekalan makanan strategik Singapura akan membantu mengurangkan kesan daripada sebarang gangguan bekalan yang tidak dijangka, katanya.

Sekalipun demikian, beliau menasihatkan rakyat Singapura supaya bersedia jika ada bekalan makanan import tertentu yang tidak ada di pasaran, memandangkan hanya jenis makanan asas sahaja yang termasuk dalam simpanan bekalan negara.
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita