Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: MOE naikkan sokongan bagi pengendali bas sekolah kepada 20% di tengah lonjakan kos bahan api

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 15 May 2026 04:59PM Dikemas Kini : 23 May 2026 11:07PM
SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (15 Mei) mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan sokongan sementara kepada para pengendali perkhidmatan bas sekolah biasa bagi Mei dan Jun, menyusuli harga bahan api yang terus melambung tinggi.

Sokongan itu akan dinaikkan daripada 13 peratus kepada 20 peratus daripada hasil tambang pengangkutan.

“Ini akan membantu pengendali pengangkutan terus beroperasi tanpa gangguan,” menurut MOE.

Kementerian itu sebelum ini mengumumkan pada April bahawa ia akan menyediakan sokongan sementara kepada pengendali sedemikian bagi membantu mereka menangani kenaikan kos bahan api.

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow turut berkata di parlimen bulan lalu bahawa pemerintah akan membiayai bersama buat sementara waktu kenaikan kos bagi beberapa perkhidmatan bas penting untuk mengurangkan kesan perang Timur Tengah ke atas rakyat Singapura.

Sekiranya harga bahan api kekal tinggi, MOE menyatakan pengendali pengangkutan akan dibenarkan untuk menampung kos operasi yang lebih tinggi menerusi yuran tambahan "sementara" bagi bahan api, mulai Julai.

“MOE akan menetapkan kadar maksimum yuran tambahan bahan api yang boleh dikenakan pengendali, dan pengendali boleh menaikkan tambang bas sekolah sehingga had yuran tambahan itu,” tambah kementerian tersebut.

MOE akan memaklumkan pengendali pengangkutan mengenai had yuran tambahan itu pada Jun, dan ibu bapa kemudian akan dimaklumkan mengenai semakan tambang bas sekolah mulai Julai - jika ada - supaya mereka boleh merancang pengangkutan bagi anak-anak mereka selepas cuti sekolah Jun.

MOE menyatakan ia akan terus meneliti harga bahan api dan menyesuaikan atau menarik balik had maksimum yuran tambahan bahan api yang dibenarkan, selaras dengan pergerakan harga bahan api.

Pada bulan lalu, kementerian itu juga menasihati pihak sekolah supaya “mempertimbangkan secara munasabah” permintaan pengendali pengangkutan yang diberi kontrak, untuk menaikkan tambang bas bagi kegiatan luar sekolah menyusuli lonjakan harga bahan api.

Menurut kementerian itu, langkah tersebut akan membantu memastikan perkhidmatan bas atas permintaan terus beroperasi supaya kegiatan sekolah dan pembelajaran pelajar tidak “terjejas”.

Kementerian itu pada Jumaat turut menyatakan bahawa pelajar di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) MOE tidak akan membayar tambang lebih tinggi kerana mereka akan menerima subsidi tambahan bas sekolah yang meliputi sebarang kenaikan tambang bulanan.

“Pelajar yang memerlukan sokongan tambahan atau tidak layak menerima FAS MOE boleh mendapatkan bantuan yang disalurkan menerusi sekolah,” katanya.

Pelajar sekolah pendidikan khas juga akan terus menerima bantuan kewangan bagi mengurangkan kos tambang bas sekolah sekiranya mereka layak menerima subsidi Pengangkutan Pengupayaan di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), yang dikendalikan SG Enable.

Mereka yang memerlukan sokongan tambahan atau tidak layak menerima subsidi tersebut boleh mendapatkan bantuan yang disalurkan melalui sekolah.

Lonjakan harga bahan api akibat perang di Timur Tengah sudah meningkatkan kos operasi bagi pelbagai perniagaan.

Para pengendali perkhidmatan bas penting menyambut baik pembiayaan bersama oleh pemerintah, tetapi memberitahu Mediacorp bahawa huraian jangka panjang seperti pengecualian cukai jalan perlu dipertimbangkan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita