Perang Amerika, Israel dan Iran: Ladang telur, sayuran SG tingkat pengeluaran di tengah kenaikan kos, cuaca buruk
Sebilangan ladang telur dan sayuran meningkatkan hasil pengeluaran sepanjang tahun lalu dan merancang pengembangan selanjutnya, setelah mengukuhkan permintaan menerusi usaha pemasaran dan hubungan lebih rapat dengan pasar-pasar basah.
Para pekerja di Seng Choon Farm, salah satu daripada tiga pengeluar telur tempatan di Singapura.
Namun cabarannya semakin meningkat.
Para peladang di Singapura memberitahu Mediacorp bahawa keprihatinan mereka termasuk keadaan cuaca buruk serta kos baja, makanan ternakan serta bahan api yang meningkat berkaitan dengan perang di Timur Tengah.
Demi kekal berdaya tahan di samping memastikan harga kekal dimampui, mereka memanfaatkan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan logistik bersama untuk menguruskan tenaga manusia dan keperluan pengangkutan.
AI KESAN TELUR ROSAK
Di Seng Choon Farm, iaitu salah satu daripada tiga pengeluar telur tempatan yang masih kekal di Singapura, usaha menjual produk-produknya merupakan cabaran utama bagi syarikat itu, berbanding meningkatkan hasil pengeluaran.
Meningkatkan permintaan bagi bekalan telur tempatan merupakan proses yang stabil dan perlahan, tetapi ia menyatakan usahanya belum lagi membuahkan hasil.
Sepanjang tiga tahun lalu, ladang itu meningkatkan pengeluaran sebanyak kira-kira tiga hingga lima peratus setahun dan kini menghasilkan sekitar 600,000 biji telur setiap hari.
Dengan kekangan tenaga manusia yang semakin meningkat, ia semakin perlu bergantung pada sistem robotik bagi mengurangkan proses intensif buruh.
"Ia bantu kami mengekalkan tenaga kerja kerana kami tidak mengambil pekerja baharu," kata pengarah urusannya Koh Yeow Koon.
"Apa yang kami lihat adalah tenaga kerja kami semakin meningkat usia. Bagi membolehkan mereka bekerja lebih lama, kami menggunakan kesemua automasi dan pembentukan semula skop pekerjaan untuk memudahkan tugas mereka."
Sepanjang dua tahun lalu, Seng Choon melabur lebih S$2 juta untuk menaik taraf sistem kawalan mutu, termasuk penggunaan pengesahan imej AI bagi mengesan telur-telur yang rosak.
Sistem yang dinaik taraf itu boleh mengimbas sehingga 125,000 telur setiap jam dengan pemandangan 360 darjah, mengenal pasti rekahan dan kotoran dengan ketepatan 98 peratus - naik daripada 95 peratus sebelum ini menggunakan sistem yang lama.
Walaupun dengan peningkatan itu, tekanan kos tetap meningkat, kata Encik koh.
Seng Choon Farm sedang memantau harga makanan ternakan bagi 800,000 ekor ayamnya, yang mungkin meningkat lagi disebabkan oleh kos baja yang tinggi dan cuaca buruk seperti El Nino - fenomena iklim yang dijangka menyebabkan suhu melonjak dan mengubah corak hujan.
Keadaan cuaca El Nino mungkin berlaku seawal Mei hingga Julai, menurut agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ladang itu juga menanggung perbelanjaan yang meningkat bagi bahan api dan bungkusan di tengah-tengah perang Timur Tengah.
Buat masa ini, ia menyatakan ia mengelak daripada menyalurkan kos tersebut kepada pelanggan runcit.
KESAN PADA LADANG SAYURAN
Cuaca juga menjadi satu kebimbangan bagi pengeluar sayuran seperti Straits Agriculture.
Cuaca hujan berpanjangan sepanjang beberapa minggu lalu memperlahankan pengeluaran di ladang bandar atas bumbung - yang mula menghasilkan makanan pada 2024 - disebabkan oleh cahaya matahari yang berkurangan.
Sungguhpun begitu, ladang itu tetap mampu menggandakan jumlah pengeluarannya sejak Disember tahun lalu dengan meluaskan pengeluaran menjangkau rumah hijau.
Pengasas syarikat itu Leonard Teo berkata langkah itu adalah penting bagi menyokong perkongsian yang meningkat dengan pasar-pasar basah.
"Jika kita cuba bekerjasama dengan lebih banyak pasar basah, kita perlu mempunyai bekalan yang konsisten. Tumbuh-tumbuhan tertentu kini dapat ditanam di luar bangunan, tanpa perlu menggunakan ubat pembunuh serangga," katanya.
Seperti syarikat-syarikat pengeluar telur, peladang juga merasakan kesan daripada kos bahan api yang lebih tinggi.
Encik Teo berkata kos penghantaran meningkat sebanyak 42 peratus sejak Februari lalu disebabkan perang Timur Tengah.
Bagi mengatasinya, ladang itu bekerjasama dengan pengeluar lain untuk menggabungkan penghantaran mereka, sekali gus mengurangkan kos penghantaran sebanyak 20 peratus.
"Jika saya kekalkan jadual penghantaran seperti yang saya lakukan pada Jun 2025, kita dapat menjangkakan kenaikan kos pengangkutan sebanyak 60 peratus," kata Encik Teo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.