Perang Amerika, Israel dan Iran: Ladang sayur SG jangka harga naik 10% akibat perang
Sesetengah ladang sayur di Singapura mungkin perlu menaikkan harga sebanyak 10 peratus seawal enam bulan dari sekarang, sedang konflik di Iran berterusan sehingga menyebabkan kos tenaga global dan baja meningkat.
Pengasas SG Veg Farm, Eyleen Goh memegang dulang berisi benih di ladangnya di Admiralty.
Sungguhpun demikian, para petani memberi amaran bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk terus bertahan.
Buat masa ini, ramai berkata mereka cuba mengurangkan kesan terhadap kedua-dua perniagaan dan pengguna dengan mengurangkan kos dan membuat penyesuaian pada operasi mereka.
GANGGUAN GLOBAL MENJEJAS SEKTOR PERTANIAN
Perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran menjejas bekalan gas dan minyak, terutama sekali melalui Selat Hormuz - iaitu laluan perkapalan penting yang dilalui oleh kira-kira 20 peratus tenaga global.
Laluan air yang sempit itu juga mengendalikan kira-kira sepertiga perdagangan baja global melalui jalan laut.
Serangan terhadap kemudahan gas asli, di mana pengeluaran baja sangat bergantung kepadanya, juga menjejas hasil pengeluaran, dengan beberapa loji di Teluk dan menjangkaui benua itu mengurangkan atau menghentikan operasi.
Ini menambahkan lagi tekanan terhadap pengeluaran hasil tani global dan menggugat rantaian bekalan makanan.
Kesannya secara tidak langsung menjejas para petani di Singapura, dengan harga baja meningkat sebanyak 30 peratus, sekalipuni bekalan diperolehi dari dalam negeri atau dari Malaysia.
LADANG KECIL-KECILAN PALING TERJEJAS
Di SG Veg Farm di Admiralty, harga baja menjadi satu keprihatinan yang membimbangkan.
Ladang atas bumbung yang terletak di sebuah tempat letak kereta bertingkat HDB itu mengimport baja pada jumlah yang kecil disebabkan oleh kekangan ruang, di mana ia menyimpan hanya kira-kira dua bulan bekalan baja.
Ini bermakna ia tidak dapat meraih manfaat daripada harga pukal dan mudah terdedah kepada turun naik harga.
"Setiap dua bulan, kita perlu membeli baja. Ini bermakna kita tertakluk kepada sebarang kenaikan harga," kata pengasas ladang itu, Eyleen Goh, sambil menambah kira-kira 10 peratus daripada kos operasi bulanan dibelanjakan untuk pembelian baja.
"Kami melihat harga pelbagai nutrien yang berbeza... semuanya naik, terutama urea."
Urea adalah baja yang digunakan secara meluas di dunia.
Beralih ke sumber alternatif juga "sangat sukar", kata Cik Goh, sambil menarik perhatian kepada faktor-faktor seperti kesesuaian, kos dan keperluan membuat tempahan secara pukal.
Ladang itu menanam sayur-sayuran seperti bayam, daun selasih, chye sim, kang kong dan bok choy.
Walaupun kos baja di luar kawalan beliau, Cik Goh sedang meneroka cara-cara lain untuk mengurangkan perbelanjaannya sepanjang tempoh enam bulan akan datang, termasuk mereka bentuk semula ladangnya bagi mengoptimumkan ruang dan lebih bergantung kepada cahaya matahari bagi menjimatkan penggunaan elektrk.
Beliau menambah ladang itu cuba mengelakkan daripada menyalurkan kenaikan kos kepada para pelanggan - atas keprihatinan bahawa permintaan lebih rendah akan merosot lagi - tetapi beliau mungkin akhirnya tidak mempunyai pilihan lain.
"Jika harga terus meningkat secara berterusan, tiada cara lain untuk menampung semua ini," katanya kepada Mediacorp.
"Kami sememangnya sebuah ladang komersial yang kecil dan .... kami (sudah pun) beroperasi dalam keadaan hampir mencapai titik pulang modal. Kami tidak mampu menangani sebarang kenaikan harga."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.