Perang Amerika, Israel dan Iran: Kenaikan kadar sewa di Goodman Arts Centre ditangguh di tengah ketidakpastian ekonomi
Bagi membantu para penyewa seni di Goodman Arts Centre di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi disebabkan oleh perang Timur Tengah, pengendali pusat kesenian itu akan menangguhkan kenaikan sewa yang dirancang, kata Menteri Negara bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Baey Yam Keng di Parlimen pada Rabu (8 Apr).
NAC mengurangkan subsidi tahunan bagi caj perkhidmatan sejak 2014, dengan penyewa Goodman Arts Centre perlu membayar sewa lebih sepanjang tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, (Gambar: Goodman Arts Centre)
Kadar sewa bagi 2027 akan disemak sekali lagi oleh Majlis Kesenian Negara (NAC) dan pengendali pusat itu, Arts House Group (AHG) pada hujung tahun 2026, katanya.
Encik Baey menjawab soalan dari Anggota Parlimen Gho Sze Kee (PAP-Mountbatten) yang bertanya tentang langkah-langkah yang dipertimbangkan untuk membantu para penyewa memandangkan harga sewa di Goodman Arts Centre dijangka "dinaikkan dengan ketara".
Akhbar The Straits Times melaporkan pada bulan lalu bahawa para seniman yang menyewa studio-studio projek, yang bagi penyewa jangka pendek, dimaklumkan mengenai kenaikan sewa sebanyak 60 peratus oleh AHG.
AHG adalah syarikat awam di bawah NAC dan ia adalah sebuah pertubuhan bukan mengaut keuntungan yang mengendalikan beberapa tempat kesenian.
Encik Baey berkata AHG mula mendampingi para penyewa seni mengenai kenaikan kadar demi "lebih kemampanan".
Beliau menambah bahawa Goodman Arts Centre menyediakan 77 unit secara keseluruhan, dengan adanya pilihan penginapan jangka panjang dan penyewaan lokasi jangka pendek.
Ini termasuk 26 studio projek bagi penyewaan jangka pendek secara fleksibel selama tempoh setahun bagi para karyawan dengan keperluan khusus projek, dan 51 unit di bawah skim Rangka Kerja bagi Ruang Seni (FFAS), yang menyokong kumpulan-kumpulan seni sehingga sembilan tahun dan dibiayai oleh NAC sehingga 80 peratus.
Mediacorp sudah pun menghubungi MCCY bagi mendapatkan penjelasan tentang sama ada penangguhan yang diumumkan oleh Encik Baey tertakluk kepada semua penyewa atau hanya penyewa jangka pendek.
PASTIKAN RUANG SENI KEKAL DAPAT DIAKSES
Kadar sewa bagi studio-studio projek di Goodman Arts Centre kali terakhir disemak pada 2012 dan AHG menyerap kos operasi yang meningkat selepas itu, kata Encik Baey.
"Pada masa yang sama, NAC sedang mengkaji keperluan jangka panjang dan berbincang dengan penggiat seni tentang ruang kerja serta harga sewa yang mampu dibayar," kata Encik Baey.
"Dalam perancangan untuk masa hadapan, NAC akan mengambil langkah bagi memastikan ruang-ruang seni kekal dapat diakses dan dimampui oleh para karyawan dan kumpulan seni."
Goodman Arts Centre dilancarkan pada 2011 sebagai sebuah projek rintis di bawah inisiatif FFAS NAC, yang bertujuan mempertingkatkan kemudahan seni serta menyokong pertumbuhan dan pembangunan masyarakat seni.
Pada 2017, para karyawan tetap menyuarakan keprihatinan setelah kadar sewa dan caj perkhidmatan dinaikkan.
"Ruang bekerja yang boleh dimampui juga adalah kunci dalam memastikan para karyawan dan kumpulan seni kita kekal berdaya tahan dari segi kewangan.
"Untuk menyokong sektor seni kita, NAC menyediakan ruang-ruang sedemikian pada kadar lebih rendah daripada kadar sewa komersial," kata Encik Baey.
"Dalam mempertimbangkan keperluan bagi sebarang penyesuaian kadar, NAC mengambil kira kos operasi yang meningkat untuk menyenggara ruang-ruang tersebut dan keperluan memastikan kadar yang disemak itu kekal dimampui berbanding dengan ruang-ruang komersial lain di sekitar kawasan itu dan ruang seni yang lain."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.