Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: Kekurangan bekalan helium tidak jejas operasi semikonduktor SG, tapi boleh naikkan kos

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Kekurangan bekalan helium tidak jejas operasi semikonduktor SG, tapi boleh naikkan kos

Cip semikonductor. (Gambar fail: Reuters/Florence Lo)

Diterbitkan : 07 Apr 2026 07:08AM Dikemas Kini : 07 Apr 2026 07:11AM
SINGAPURA: Kekurangan bekalan helium global tidak menjejaskan operasi pengilangan semikonduktor dan jagaan kesihatan di Singapura secara serta-merta, tetapi gangguan yang berpanjangan boleh menyebabkan kenaikan harga.

Helium digunakan dalam pengeluaran cip canggih serta beberapa mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) yang mengesan ketumbuhan dan kecederaan pada otot atau ligamen.

Gas tersebut merupakan produk sampingan daripada pemprosesan gas asli, dan Qatar adalah pembekal utama. Bekalan menjadi ketat berikutan perang di Timur Tengah.

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa ia menggunakan jumlah kecil helium untuk mesin MRI tertentu dan ujian makmal.

"Bekalan kami kekal selamat," menurut kementerian itu, sambil menambah bahawa ia mendapatkan gas tersebut daripada pelbagai negara.

MOH sudah melaksanakan langkah-langkah daya tahan rantaian bekalan, termasuk strategi mempelbagaikan usaha mendapatkan sumber, untuk memastikan bekalan perubatan stabil bagi keperluan jagaan kesihatan awam, kata seorang jurucakap.

"Sekalipun demikian, situasi di Timur Tengah tidak menentu," menurut kementerian itu. Ia diwakili dalam Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC) dan sedang memantau situasi serta perkembangan dengan teliti.

KRITIKAL DALAM PENGHASILAN CIP

Helium digunakan secara meluas dalam pengilangan semikonduktor dan memainkan peranan kritikal merentasi pelbagai peringkat pengeluaran, kata Encik Ang Wee Seng, pengarah eksekutif Persatuan Industri Semikonduktor Singapura.

Ia digunakan dalam menyejukkan wafer semikonduktor dan mengekalkan persekitaran yang ultra bersih serta tidak reaktif.

"Sifatnya yang unik, iaitu tidak bertindak balas terhadap bahan kimia lain dan sangat bagus untuk mengawal haba, membuatkan helium sangat penting untuk menghasilkan cip canggih," kata Encik Ang.

Gas ini sangat penting untuk kawalan suhu yang tepat dan penghapusan haba yang selamat, kata Encik Lau Gih Sheng, pensyarah kanan di Sekolah Kejuruteraan Politeknik Republik. Ia juga digunakan untuk mengesan kebocoran dalam sistem vakum dan saluran paip gas.

Pembuat cip memori Amerika, Micron Technology, menyatakan operasi mereka normal dan mereka juga sedang memantau keadaan di Timur Tengah.

"Kami mempunyai usaha yang pelbagai bagi sumber untuk bahan pengilangan, mengekalkan inventori yang sesuai untuk menyokong perniagaan kami dan bekerjasama rapat dengan para pembekal untuk memudahkan bekalan tanpa gangguan," kata syarikat itu semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Pembuat cip Taiwan, United Microelectronics Corporation (UMC), juga menyatakan bahawa operasinya tidak terjejas secara ketara. Syarikat itu, yang mempunyai kilang di Taiwan, Singapura, China dan Jepun, berkata setiap tapak mempunyai strategi pemerolehan dan kawalan tempatan, dengan pengawasan pengurusan global.

Kemudahan tersebut boleh memberikan sokongan merentasi wilayah jika diperlukan, dan setiap bahan kritikal mempunyai beberapa pembekal untuk mengekalkan daya tahan operasi, kata Encik Thomas Tey, pengarah kanan fabrikasi di UMC Singapore.

"Sebagai contoh, walaupun konflik Iran mengetatkan bekalan helium global sepanjang bulan lalu, buat masa ini tiada kesan ke atas operasi kami kerana kami mempunyai sumber yang pelbagai dari wilayah yang berbeza," katanya lagi.

Encik Tey berkata syarikat itu sudah mengharungi pelbagai acara geopolitik sebelum ini dan akan menyesuaikan strategi mereka mengikut perkembangan situasi.

KOS BERISIKO, BUKAN OPERASI

Impak kekal terhad dan boleh ditangani buat masa ini, tetapi gangguan yang berpanjangan boleh memburukkan keadaan, kata Encik Ang daripada Persatuan Industri Semikonduktor Singapura.

"Jika gangguan terhadap bekalan helium global berterusan, terutamanya dengan pengeluaran di wilayah seperti Qatar, kita mungkin mula melihat keadaan bekalan yang lebih ketat dan tekanan kos yang muncul dari semasa ke semasa," katanya.

Sumber alternatif di luar Timur Tengah wujud, tetapi sama ada ia dapat menampung sepenuhnya kekurangan bekalan bergantung kepada tempoh dan tahap keparahan gangguan tersebut.

Qatar adalah sumber utama helium Singapura, walaupun Amerika Syarikat, Rusia dan Algeria juga menghasilkan gas tersebut, kata Encik Lau.

"Qatar menghasilkan sejumlah besar bekalan global; penutupan sepenuhnya eksport mereka sukar untuk diganti dengan pantas," katanya, sambil menambah bahawa Singapura bergantung sepenuhnya kepada import.

Kekurangan bekalan yang berpanjangan boleh membawa kepada kenaikan kos dan menimbulkan cabaran operasi jangka panjang, katanya lagi.

Bekalan yang pelbagai dan inventori sedia ada boleh membantu mengurangkan impak, tetapi gangguan yang berterusan boleh mengetatkan pasaran dan melonjakkan harga, kata Encik Ang. Kenaikan harga tenaga sudah pun mempengaruhi kos pengilangan dan logistik, dan kos penghantaran telah meningkat disebabkan oleh harga bahan api yang lebih tinggi dan risiko laluan.

Pengguna mungkin akan menyaksikan kos yang lebih tinggi untuk barangan elektronik, kereta dan produk berkaitan AI, tambahnya.

APA YANG BOLEH DILAKUKAN?

Loji pengilangan mungkin perlu mengutamakan penggunaan helium pada produk kritikal jika kekurangan bekalan berterusan, kata Encik Lau. Kilang fabrikasi juga boleh menggunakan semula sehingga 90 peratus daripada helium yang digunakan dalam penyejukan dan pengesanan kebocoran.

Encik Ang berkata sistem kitar semula helium dan strategi mitigasi sedia ada boleh dipercepatkan jika perlu, tetapi menyatakan bahawa helium tidak mempunyai pengganti sebenar untuk proses kritikal tertentu.

"Langkah-langkah ini hanya dapat menampung sebahagian daripada kekangan bekalan," katanya.

Beliau menambah bahawa industri sekarang cuma berasa tertekan dan bukannya terganggu, kerana kesan utamanya adalah pada kos dan bukannya pada operasi kerja. Sektor ini juga sudah ada simpanan tambahan dan lebih bertahan berbanding beberapa tahun lealu.

"Risiko utama adalah jika situasi memuncak atau menjadi berpanjangan, yang boleh membawa lebih banyak ketidaktentuan dalam kedua-dua bekalan bahan dan kos operasi," kata Encik Ang.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita