Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: Jawatankuasa menteri akan tangani krisis tenaga, kejutan bekalan akibat perang Timur Tengah, kata Shanmugam

Jawatankuasa menteri yang ditubuhkan untuk menangani perang berterusan di Timur Tengah akan memberi tumpuan bukan sahaja kepada gangguan tenaga dan kenaikan harga bahan api, malah kejutan bekalan yang lebih luas, isu keselamatan serta diplomasi yang timbul daripada perang tersebut, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Apr 2026 03:41PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 03:14PM
SINGAPURA: Jawatankuasa menteri yang ditubuhkan untuk menangani perang berterusan di Timur Tengah akan memberi tumpuan bukan sahaja kepada gangguan tenaga dan kenaikan harga bahan api, malah kejutan bekalan yang lebih luas, isu keselamatan serta diplomasi yang timbul daripada perang tersebut, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam.

Menggariskan skop luas tugas jawatankuasa tersebut pada Sabtu (4 Apr), Encik Shanmugam memberikan contoh bagaimana “kenaikan harga yang tidak dapat dielakkan” boleh berlaku bagi makanan dan produk-produk lain yang terjejas akibat gangguan bekalan.

Encik Shanmugam berkongsi demikian semasa memberi kemas kini pertamanya kepada media sebagai pengerusi Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri, yang diumumkan pada Khamis.

Jawatankuasa itu ditubuhkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong untuk menyelaraskan maklum balas Singapura terhadap gangguan tenaga. Perang di Timur Tengah mengekang pergerakan kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, yang menurut Encik Shanmugam menjejaskan sebahagian besar daripada bekalan minyak dan gas dunia.

“Tidak jelas bila keadaan itu akan berubah, dan walaupun perang berakhir dalam masa terdekat, itu tidak bermakna gangguan bekalan akan terhenti,” kata Encik Shanmugam kepada pihak media di satu acara masyarakat di Chong Pang.

Encik Shanmugam berkata Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri ditubuhkan sejak “beberapa minggu”, dan sedang bekerjasama dengan kumpulan eksekutif yang terdiri daripada setiausaha tetap dan ketua pelbagai agensi pemerintah.

Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong bertindak sebagai penasihat kepada jawatankuasa tersebut.

Jawatankuasa itu turut melibatkan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran bagi isu makanan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan bagi isu tenaga, Kementerian Ehwal Luar, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Ehwal Dalam Negeri.

Struktur jawatankuasa tersebut diwujudkan sejak bertahun-tahun lalu, dan diaktifkan semasa krisis, kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri. Ia melapor kepada kabinet.

KESAN BERANTAI

Selain harga bahan api, harga makanan juga akan terjejas, kata beliau.

“Satu bidang yang jelas berkaitan adalah makanan kerana kita mengimport semuanya. Harga baja perlu dinaikkan. Dan kos untuk membawa produk makanan tersebut, pengangkutan ke Singapura, akan meningkat. Ia akan memberi kesan,” kata beliau.

Encik Shanmugam tidak memberikan butiran lanjut, namun berkata parlimen akan membincangkan usaha jawatankuasa itu dengan lebih terperinci apabila ia bersidang pada minggu depan.

“Ia adalah situasi yang serius di seluruh dunia. Anda sudah melihat di banyak bahagian dunia, banyak negara sudah mengambil langkah untuk mengurangkan penggunaan elektrik, penggunaan bahan api.

“Kami belum mengambil langkah tersebut, dan kami akan menjelaskan pendekatan kami,” kata Encik Shanmugam.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata pada 11 Mac bahawa bekalan simpanan gas asli cecair dan diesel Singapura “mencukupi untuk beberapa bulan”.

Selain isu ekonomi dan rantaian bekalan, Encik Shanmugam berkata jawatankuasa itu juga menilai implikasi terhadap keselamatan dan diplomasi Singapura.

“Itulah sebabnya anda mempunyai jawatankuasa melibatkan beberapa kementerian,” kata beliau sebagai menjawab soalan berhubung mengapa jawatankuasa itu ditubuhkan sekarang.

Mengenai keperluan penyelarasan, beliau berkata pemerintah perlu bersedia untuk menguruskan kesan di lapangan. “Lampu terpadam dan anda tidak memikirkan tentang bahan api, dan anda tidak memikirkan bagaimana anda akan memastikan bekalan elektrik terus tersedia, perniagaan anda terus beroperasi.”

Pekerja penghantaran, sebagai contoh, turut berdepan kos yang lebih tinggi, tambah beliau.

“Pemerintah ada untuk menangani isu-isu ini,” kata Encik Shanmugam.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita