Perang Amerika, Israel dan Iran: IMO lulus ketetapan diterajui SG bagi lindungi laluan perkapalan utama
Pertubuhan Maritim Antarabangsa, IMO, meluluskan satu ketetapan yang diterajui Singapura untuk menegaskan semula betapa pentingnya melindungi laluan perkapalan utama dan menegakkan hak pelayaran kapal dagang, sedang perhatian dunia semakin tertumpu kepada keselamatan laluan maritim yang penting.
Kapal-kapal belayar di Selat Hormuz, seperti yang dilihat dari Musandam, Oman, pada 9 Julai 2026. (Gambar fail: REUTERS/Stringer)
Ketetapan itu diluluskan dalam sesi ke-137 Majlis IMO dan disokong secara bersama oleh 30 negara anggota, termasuk Indonesia dan Malaysia, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (10 Jul).
Ia menegaskan semula pentingnya menegakkan dan menghormati hak serta kebebasan pelayaran bagi kapal dagang yang melalui laluan perkapalan utama, termasuk selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa.
Ia dilakukan selaras dengan undang-undang antarabangsa seperti yang terkandung dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Ketetapan itu turut menegaskan semula kepentingan mematuhi peraturan dan piawaian yang diluluskan oleh IMO.
Menurut MPA, ia juga mengetengahkan peranan IMO dalam menggalakkan satu aturan maritim yang stabil, boleh dijangka dan berlandaskan peraturan.
“Ketetapan itu menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa, dialog dan tanggungjawab bersama dalam memastikan laluan laut utama kekal terbuka, selamat dan boleh diakses,” menurut pihak berkuasa itu.
Ketetapan tersebut turut menekankan keperluan untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kebajikan para pelaut, yang memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global, tambah MPA.
Menurut MPA, ketetapan itu mencerminkan komitmen Singapura yang sekian lama untuk menegakkan undang-undang antarabangsa serta mengekalkan persekitaran maritim yang terbuka, stabil dan boleh dijangka.
“Sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan, Singapura menyokong aturan antarabangsa yang stabil dan berlandaskan peraturan bagi memastikan perdagangan global tidak terjejas, rantaian bekalan kekal berdaya tahan, selain jaminan bekalan makanan dan tenaga,” tambahnya.
Keseluruhan trafik harian di Selat Hormuz di Timur Tengah menjadi perlahan menyusuli serangan Iran terhadap kapal dagang minggu ini, di samping serangan balas Amerika Syarikat ke atas Iran.
Iran terus mengawal selat itu meskipun satu perjanjian sementara dengan Amerika Syarikat dimeterai pada 17 Jun, yang merangkumi pembukaan semula laluan perairan penting tersebut.
Sebelum serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran mencetuskan perang pada Februari, kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui selat berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.