Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: Grab lanjutkan surcaj bahan api sehingga 31 Jul

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 May 2026 06:59AM Dikemas Kini : 07 Jun 2026 11:18PM
  • Grab Singapore melanjutkan surcaj bahan api S$0.90 dan pelarasan tambang GrabCab hingga 31 Julai untuk membantu pemandu menghadapi kos operasi tinggi.
  • Langkah ini tidak melibatkan perjalanan teksi standard dan teksi bermeter, dan semua surcaj disalurkan sepenuhnya kepada pemandu tanpa komisen Grab.
  • Keputusan dibuat selepas rundingan dengan NPHVA dan NTA, yang menyambut baik usaha ini kerana memberi kelegaan kepada pemandu terjejas.
  • Grab turut menawarkan pakej sokongan bahan api dan sedang meneliti langkah jangka panjang untuk membantu pemandu beralih ke kenderaan hibrid dan elektrik.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Platform khidmat kereta sewa privet Grab akan mengekalkan surcaj bahan api sementara serta pelarasan tambang unit GrabCab untuk tempoh dua bulan lagi, menurut syarikat itu pada Jumaat (22 Mei).

Langkah tersebut, yang mula diperkenalkan pada awal April bagi membantu pemandu menangani peningkatan kos operasi, akan terus dilaksanakan sehingga 31 Julai.

Di bawah lanjutan itu, surcaj bahan api sebanyak S$0.90 akan terus dikenakan bagi semua tempahan pengangkutan kecuali perjalanan teksi standard dan teksi bermeter.

Surcaj itu akan terus dipaparkan sebagai bayaran berasingan pada resit penumpang.

Bayaran tambahan bahan api S$0.90 itu mula diperkenalkan pada 7 April dan pada asalnya dijadual berkuat kuasa sehingga 31 Mei.

Langkah tersebut termasuk surcaj tambahan S$0.40 pada tambang penumpang. Grab turut mengumumkan bahawa “Yuran Pemandu” sedia ada sebanyak S$0.50 akan dinamakan semula sebagai “surcaj bahan api”.

Akibatnya, penumpang menyaksikan peningkatan surcaj daripada S$0.50 kepada S$0.90 bagi setiap perjalanan merentasi khidmat pengangkutan Grab, tidak termasuk perjalanan teksi standard dan teksi bermeter.

Kadar tambang bermeter GrabCab juga akan kekal pada S$0.27, meningkat daripada S$0.26 sebelum ini. Kadar itu dikenakan bagi setiap 400 meter perjalanan untuk 10 kilometer pertama, setiap 350 meter selepas 10 kilometer, dan setiap 45 saat masa menunggu.

Grab menyatakan 100 peratus surcaj bahan api dan pelarasan tambang unit disalurkan terus kepada rakan pemandunya, tanpa sebarang komisen diambil platform itu.

“Kami memahami tekanan yang dihadapi rakan pemandu akibat harga bahan api yang lebih tinggi,” kata Pengarah Kanan Pengangkutan dan Operasi Negara Grab Singapore, Alvin Wee.

“Kami mengekalkan pelarasan ini bagi memastikan pekerjaan sebagai pemandu terus menjadi sumber pendapatan yang berdaya maju sambil memastikan pasaran kekal mampan," kata beliau.

Grab menyatakan ia sudah berunding dengan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Nasional (NTA) dalam menghadapi keadaan operasi semasa.

Setiausaha Eksekutif NPHVA, Raven Lee berkata langkah tersebut memberi “sedikit kelegaan yang amat diperlukan” bagi pemandu yang terjejas akibat kos bahan api lebih tinggi.

“Kami menghargai pemahaman masyarakat, yang membolehkan ahli kami terus menyediakan perkhidmatan penting dalam sekitaran mencabar ini,” katanya.

Setiausaha Eksekutif NTA, Teo Siew Pan berkata turun naik harga bahan api terus mewujudkan ketidaktentuan bagi pemandu.

“NTA gembira Grab akan mengekalkan surcaj bahan api dan tambang unit GrabCab bagi menyokong para pemandu,” katanya, sambil menambah persatuan itu akan terus bekerjasama rapat dengan Grab untuk memantau keadaan.

Selain pelarasan tambang, Grab turut merujuk kepada pakej sokongan bahan api bernilai S$1.4 juta yang diperkenalkan awal tahun ini, termasuk baucar bahan api, bonus tunai lebih tinggi dan rebat pulangan tunai.

Syarikat itu menambah bahawa ia turut meneliti langkah jangka panjang bagi menyokong peralihan pemandu kepada kenderaan hibrid dan elektrik menerusi kerjasama termasuk dengan pengeluar peralatan asal dan pengendali pusat pengecasan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita