Perang Amerika, Israel dan Iran: Gangguan bekalan bitumen jejas projek jalan raya SG
Beberapa syarikat binaan jalan raya di Singapura mengalami kelengahan dalam menyiapkan projek mereka.
Bekalan bitumen terjejas akibat gangguan minyak global. (Gambar: Mediacorp)
Kelengahan itu disebabkan oleh bekalan bahan bitumen yang semakin ketat, di samping harganya yang turut melonjak sehingga 60 peratus.
Bekalan bitumen terjejas akibat gangguan minyak global menyusuli perang di Timur Tengah.
Bitumen terhasil selepas minyak mentah diproses untuk waktu yang cukup lama. Ia merupakan sejenis sisa tebal dan berat yang lazimnya digunakan sebagai bahan utama untuk menurap jalan raya.
Tetapi bagi kebanyakan kontraktor, kekurangan bekalan bitumen menimbulkan cabaran besar sejak beberapa bulan lalu.
Menurut syarikat United E&P misalnya, bekalan bitumen merosot sekitar 50 peratus pada bulan Mac, menyebabkan projek-projek tertangguh sehingga dua bulan.
Gangguan itu disifatkan sebagai yang paling teruk sejak COVID-19.
"Kami tidak tahu sama ada bekalan akan pulih, dan jika berlaku, bila ia akan berlaku. Ia seperti satu latihan catuan. Memandangkan kita melakukan banyak projek, terutama sekali bagi jalan raya awam dan juga landasan, kami perlu berbincang dengan agensi-agensi serta pelanggan kami mengenai projek yang kami perlu utamakan," kata Pengurus Besar United E&P, Koh Chan Swee.
Untuk menangani kekurangan bahan, syarikat itu meneroka sumber alternatif daripada para pembekal di China, tetapi harganya masih terlalu mahal buat masa ini.
Pada masa yang sama, syarikat tersebut berharap pembiayaan bersama yang disediakan pemerintah bagi bahan itu akan dilanjutkan melangkaui bulan Mei.
Sehubungan itu, sesetengah penganalisis menjangkakan kekurangan bitumen akan berterusan.
Sebuah lagi syarikat pula cuba mencari alternatif lain.
Syarikat Magorium misalnya menghasilkan bahan alternatif yang diperbuat daripada sisa plastik.
Menurutnya, permintaan sudah meningkat lebih tiga kali ganda, di peringkat tempatan dan serantau.
"Dengan industri-industri tradisional, saya rasa kebanyakan proses sudah pun dicuba dan diuji buat tempoh yang lama. Maka (mereka) lebih konservatif dari segi mencuba bahan yang baharu.
"Maka itu, ini merupakan peluang untuk kami memperkenalkan NEWbitumen bukan sahaja sebagai alternatif yang mampan, tetapi sesuatu yang boleh membantu (meningkatkan) daya tahan dari segi rantaian bekalan," kata Pengasas Bersama Magorium, Oh Shu Xian.
Buat masa ini, bahan tersebut masih perlu dicampur dengan bahan bitumen tradisional untuk memenuhi piawaian jalan raya di Singapura.
Menurut syarikat itu, ia sedang menjalankan kajian dan pengembangan lanjut untuk menghasilkan bahan pengganti yang boleh bertahan dengan sendirinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.