Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: CAAS pantau kecemasan berkaitan bahan api bagi penerbangan ke SG

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sedang “memantau secara aktif” jumlah kecemasan berkaitan bahan api yang diisytiharkan oleh semua syarikat penerbangan bagi penerbangan ke Singapura, serta prestasi keselamatan semua syarikat penerbangan yang keluar masuk Lapangan Terbang Changi.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: CAAS pantau kecemasan berkaitan bahan api bagi penerbangan ke SG

Ketua Pengarah Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) Han Kok Juan menyampaikan ucapan pembukaan di Forum Keselamatan Penerbangan pada 20 Mei 2026. (Gambar: CAAS)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 May 2026 11:07PM
SINGAPURA: Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sedang “memantau secara aktif” jumlah kecemasan berkaitan bahan api yang diisytiharkan oleh semua syarikat penerbangan bagi penerbangan ke Singapura, serta prestasi keselamatan semua syarikat penerbangan yang keluar masuk Lapangan Terbang Changi.

Ia berlaku sedang perang di Timur Tengah menimbulkan risiko keselamatan baharu kepada sektor penerbangan, termasuk risiko berkaitan penerbangan melalui zon konflik, kata Ketua Pengarah CAAS Han Kok Juan dalam ucapan pembukaannya di Forum Keselamatan Penerbangan pada Rabu (20 Mei).

“Dengan sesetengah laluan penerbangan menjadi lebih panjang akibat perubahan laluan, syarikat penerbangan juga perlu memastikan pesawat membawa bahan api yang mencukupi untuk penerbangan lebih jauh serta menghadapi sebarang kemungkinan.

“Syarikat penerbangan yang berdepan tekanan kewangan akibat harga bahan api lebih tinggi mesti terus mengutamakan keselamatan dan mengekalkan perbelanjaan penting bagi langkah-langkah keselamatan. Perkara itu tidak boleh dirundingkan.”

Encik Han turut menggesa industri penerbangan agar lebih berwaspada sedang trafik udara meningkat dan persekitaran operasinya menjadi semakin tidak menentu, menyusuli perang di Timur Tengah serta cabaran lain berkaitan keselamatan penerbangan.

Beliau menarik perhatian bahawa risiko keselamatan di rantau Asia Pasifik meningkat, dengan “trend peningkatan ketara” dalam kadar nahas serta angka korban.

Secara khusus, kadar kemalangan di rantau itu meningkat daripada 0.78 bagi setiap sejuta keberangkatan penerbangan pada 2023 kepada 1.62 pada 2024, manakala angka korban meningkat daripada 72 pada 2023 kepada 186 pada 2024.

Gelora udara kekal menjadi punca utama kemalangan - ditakrifkan sebagai kes melibatkan kecederaan yang membawa maut atau serius, atau kerosakan besar pada pesawat - di rantau tersebut. Kes sedemikian meningkat daripada dua pada 2023 kepada lapan pada 2024.

Ia juga menyumbang hampir 40 peratus daripada kemalangan di rantau itu, dengan trend tersebut dijangka berterusan akibat keadaan cuaca lebih buruk disebabkan oleh perubahan iklim, kata Encik Han.

Di Singapura, jumlah insiden keselamatan juga meningkat, khususnya yang berkaitan dengan gelora udara dan pencerobohan landasan, tambah beliau.

Pada 2024, terdapat dua nahas akibat gelora udara yang melibatkan kecederaan yang membawa maut atau kecederaan serius dan disiasat oleh Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB), termasuk kes penerbangan Singapore Airlines SQ321 yang mengorbankan seorang penumpang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Pada 2025, terdapat tiga kemalangan sedemikian yang disiasat.

Jumlah pencerobohan landasan di Lapangan Terbang Changi yang disiasat oleh TSIB juga meningkat daripada sifar pada 2023 kepada dua pada 2024 dan tiga pada 2025. Semua insiden tersebut melibatkan syarikat penerbangan asing, kata Encik Han.

“Dalam semua kes ini, tiada risiko pelanggaran atau pertembungan dengan pesawat lain atau kenderaan darat, namun kami memandang serius perkara ini, menyiasat setiap satu secara menyeluruh dan mengambil pengajaran untuk terus meningkatkan keselamatan sedang trafik terus bertambah.”

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat, pencerobohan landasan merujuk kepada insiden di lapangan terbang apabila pesawat, kenderaan atau individu tanpa kebenaran memasuki landasan yang digunakan untuk pesawat berangkat dan mendarat.

PENINGKATAN KESELAMATAN

CAAS sedang bekerjasama dengan industri penerbangan untuk mengambil “langkah konkrit bagi menjangka dan mengurangkan risiko keselamatan”, termasuk yang berkaitan dengan perang di Timur Tengah, kata Encik Han.

Langkah-langkah lain termasuk Pelan Keselamatan Penerbangan Kebangsaan (NASP) 2025-2027 yang diterbitkan CAAS tahun lalu, yang mengenal pasti risiko keselamatan semasa dan baharu serta menetapkan 45 tindakan yang akan diambil pihak berkuasa itu bersama seluruh ekosistem penerbangan untuk memastikan perjalanan udara kekal selamat buat para penumpang.

Singapura juga mengklasifikasikan gelora udara dahsyat sebagai risiko utama dalam penerbangan menerusi NASP, dan merupakan negara pertama yang berbuat demikian, kata Encik Han.

Berhubung gelora udara, CAAS sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan awam yang “sehaluan” bagi menggalakkan penggunaan sistem ramalan gelora udara yang dipertingkatkan serta sistem pengesanan gelora udara dalam pesawat, selain berkongsi data gelora udara masa nyata.

Anak-anak kapal penerbangan Singapore Airlines dan Scoot menjalani latihan berkaitan senario gelora udara sebagai sebahagian daripada latihan mereka, dan CAAS juga sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) dan institusi penyelidikan untuk membangunkan produk-produk meteorologi bagi “meramalkan gelora udara dengan lebih baik dan menyokong operasi penerbangan yang lebih selamat”, kata Encik Han.

Bagi keselamatan landasan pula, CAAS tahun lalu menugaskan semakan keselamatan bebas oleh sebuah pihak ketiga terhadap operasi landasan di Lapangan Terbang Changi.

Semakan itu mengesahkan bahawa langkah-langkah keselamatan landasan dan prosedur operasi sedia ada di Lapangan Terbang Changi adalah “berkesan dan mematuhi keperluan negara serta piawaian antarabangsa”, kata Encik Han, sambil menambah bahawa beberapa saranan turut dikemukakan untuk meningkatkan lagi keselamatan landasan.

CAAS akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan penerbangan tempatan, termasuk SIA dan Scoot, bagi melaksanakan saranan tersebut.

Ia juga akan meningkatkan usaha untuk mendekati hampir 100 syarikat penerbangan asing yang beroperasi di Lapangan Terbang Changi.

Dalam penutup ucapannya, Encik Han sekali lagi menggesa sektor penerbangan supaya terus berwaspada.

“Situasi di Timur Tengah menunjukkan kepada kita bahawa kejutan luar boleh mengubah persekitaran operasi kita dengan pantas. Insiden lebih dekat dengan kita - melibatkan gelora udara dan pencerobohan landasan - mengingatkan kita bahawa tiada sistem yang kebal.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita