Skip to main content

Singapura

Perang Amerika, Israel dan Iran: 83% majikan SG tidak ubah tenaga kerja, tempat kerja di tengah harga tenaga lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Apr 2026 02:52PM Dikemas Kini : 28 Apr 2026 08:37PM
SINGAPURA: Sebahagian besar majikan (83 peratus) tidak melaksanakan perubahan pada tenaga kerja atau tempat kerja sekalipun harga tenaga meningkat lebih tinggi, menurut tinjauan kilat yang dijalankan oleh Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).

Tinjauan yang dijalankan dari 10 hingga 16 April itu menerima maklum balas daripada 210 syarikat merentasi sektor pengilangan, perkhidmatan dan binaan, menurut SNEF dalam kenyataan medianya pada Isnin (20 April).

Majikan-majikan yang menangguhkan pelaksanaan perubahan pada tenaga kerja atau tempat kerja membayangkan bahawa kebanyakannya sedang meneroka pelarasan operasi sebelum mengambil langkah-langkah yang memberi kesan langsung kepada pekerja mereka, menurut persekutuan itu.

Bagi syarikat-syarikat yang telah melaksanakan perubahan, sekitar dua pertiga menunjukkan mereka telah membekukan pengambilan pekerja atau menangguhkan pelan pengembangan, manakala seperempat daripada mereka telah mengurangkan bonus, elaun atau faedah.

Langkah-langkah lain yang diambil untuk menangani kenaikan kos termasuk pengurangan waktu kerja, kerja lebih masa atau syif, penempatan semula kakitangan atau silang latihan dan berlaku pengurangan jumlah pekerja disebabkan oleh peletakan jawatan.

Para responden juga menekankan bahawa harga tenaga yang lebih tinggi telah memberi kesan sampingan terhadap operasi perniagaan, yang membawa kepada kos bahan mentah, bekalan dan logistik yang lebih tinggi.

Mereka yang berada dalam sektor hospitaliti, makanan dan minuman (F&B), dan runcit juga melaporkan tekanan ke atas kos buruh yang menmingkat, sedang pasaran menyesuaikan diri dengan persekitaran kos yang lebih tinggi.

“Secara keseluruhannya, tekanan ini telah menjejas keuntungan, terutamanya di tengah-tengah permintaan pengguna yang lebih lemah,” kata SNEF.

MAJIKAN GESA SOKONGAN LEBIH BERSASAR

Para majikan juga ditanya tentang bentuk sokongan yang paling berguna jika harga tenaga kekal tinggi dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Langkah-langkah sokongan utama yang mereka kenal pasti adalah mengurangkan kos perniagaan melalui pelepasan cukai atau bantuan pembiayaan dana (83 peratus), pelepasan kos tenaga dan subsidi (77 peratus), dan menangguhkan perubahan dasar tenaga kerja yang akan menambah tekanan kos selanjutnya (55 peratus).

Respons tersebut mencerminkan kebimbangan para majikan terhadap beban kumulatif kos perniagaan yang lebih tinggi di tengah-tengah persekitaran operasi yang semakin mencabar, tambah SNEF.

Majikan-majikan yang ditinjau kekal berhati-hati terhadap prospek perniagaan, dengan 39 peratus responden menunjukkan prospek negatif bagi tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

“Selain tekanan kos segera, majikan-majikan juga menyuarakan kebimbangan yang lebih mendalam mengenai gangguan yang semakin meningkat terhadap perniagaan dan perdagangan global, dengan menyatakan bahawa rantaian bekalan semakin berubah dan keputusan pelaburan menjadi semakin berhati-hati,” kata persekutuan itu.

“Kami mengalu-alukan langkah sokongan yang telah diumumkan oleh pemerintah, termasuk rebat cukai pendapatan korporat yang lebih tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SNEF, Hao Shuo.

“Dengan situasi ekonomi global masih agak tidak menentu, kami berharap pemerintah akan menimbangkan keadaan ekonomi semasa apabila menguatkuasakan perubahan dasar tenaga kerja asing yang diumumkan sebelum ini,” tambahnya.

Encik Hao juga menyokong pengenalan tahap sokongan berperingkat di bawah Skim Kredit Gaji Progresif yang dipertingkatkan untuk membantu para majikan menaikkan gaji pekerja mereka yang berpendapatan rendah.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita