Perancang, katerer dilatih sebagai persediaan adakan semula majlis kahwin di ruang HDB
Para perancang majlis perkahwinan dan syarikat-syarikat katering sudah dilatih sebagai persediaan untuk mengadakan semula majlis perkahwinan di ruang-ruang bersama HDB.
(Gambar hiasan: Drew Coffman/Unsplash)
SINGAPURA: Para perancang majlis perkahwinan dan syarikat-syarikat katering sudah dilatih sebagai persediaan untuk mengadakan semula majlis perkahwinan di ruang-ruang bersama HDB.
Pada Selasa (20 Okt), Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa tidak lama lagi, majlis perkahwinan boleh diadakan terhad kepada 100 orang.
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) akan membantu mempermudahkan penganjuran majlis jamuan sedemikian dan menyatakan bahawa pihaknya sudah menerima garis panduan tentang cara untuk mengadakan majlis dengan selamat.
Sejak langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuat kuasakan, majlis-majlis perkahwinan sudah tidak lagi diadakan di kolong-kolong blok HDB pada hujung minggu.
Namun ini bakal berubah apabila majlis perkahwinan akan dibenarkan semula di kawasan-kawasan sedemikian.
Bakal mempelai dan penganjur boleh membuat permohonan untuk mengadakan majlis di kawasan-kawasan ini mulai 9 November.
Menurut DPPMS, pihaknya sedang membimbing syarikat-syarikat perniagaan mengenai langkah-langkah yang mungkin dikenakan.
Ini termasuk langkah jarak selamat, khidmat mengambil gambar dan juga khidmat makanan.
"Kami mengadakan raptai majlis perkahwinan untuk menunjukkan pergerakan orang, jarak selamat yang mereka perlu uruskan, seperti 50 dan 50, jarak 3 meter dan tiada bersalaman. Bagaimana untuk mengambil gambar, tiada bufet.
"Ini antara langkah-langkah yang diberikan oleh pasukan bertindak. Oleh itu kami melatih mereka sebegitu supaya mereka memahami, dan mereka datang dan lihat raptai yang kami jalankan," kata Presiden DPPMS Farid Khan.
Perancang majlis perkahwinan Cik Salwah Bahrudin juga sedang membuat persiapan awal.
Sebagai contoh, beliau memastikan bahawa hanya terdapat satu tempat masuk dan keluar.
"Sudah tentu tiada hidangan bufet. Semua makanan akan dihidang secara individu, dan para pelayan tetamu akan menolak troli seperti yang dilakukan sekarang di dewan acara tertutup lain," kata Cik Salwah.
Cik Salwah menambah bahawa pihaknya juga akan mengambil kakitangan sendiri seperti duta untuk memastikan para tetamu tidak bergaul antara satu sama lain.
Oleh itu, pihaknya mungkin akan mengambil lagi sekitar tiga atau empat kakitangan di samping 10 hingga 15 kakitangan untuk majlis biasa.
Butiran lanjut mengenai penganjuran majlis perkahwinan di kolong blok akan diumumkan pada Jumaat (23 Okt).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.