Peranan, tugas asatizah boleh diperluas untuk sediakan sokongan dalam mengukuhkan institusi keluarga Islam: Dr Faishal
Peranan dan tugas tradisional asatizah masa kini boleh diperluaskan untuk memenuhi keperluan masyarakat, khususnya dalam bidang yang mengukuhkan institusi keluarga.
Setiausaha Parlimen Kanan, Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim menyampaikan ucapan di simposium pertama mengenai Undang-undang Keluarga Islam. (Gambar-gambar: MUIS)
SINGAPURA:Peranan dan tugas tradisional asatizah masa kini boleh diperluaskan untuk memenuhi keperluan masyarakat, khususnya dalam bidang yang mengukuhkan institusi keluarga. Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau berkata demikian di khalayak peserta dan penceramah undangan di Simposium pertama mengenai Undang-undang Keluarga Islam yang dianjurkan MUIS hari ini (7 Okt).
Dalam ucapannya, Dr Faishal menekankan asatizah di Singapura dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda keganasan keluarga supaya mereka boleh mengambil langkah-langkah pencegahan serta proaktif demi menghalang keganasan dan penderaan domestik daripada berlaku.
Beliau mengulas lebih lanjut tentang Program Bersamamu iaitu sebuah inisiatif oleh para Naib Kadi di Singapura. Di bawah daya usaha itu, semua pasangan Islam yang ingin berumah tangga harus bertemu dengan Naib Kadi masing-masing sebelum majlis perkahwinan. Ia bertujuan menguatkan lagi sokongan bagi menempuhi alam-alam rumah tangga, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Dr Faishal menambah, Naib Kadi akan terus menyediakan sokongan dan bimbingan selepas perkahwinan apabila terdapat permintaan daripada pasangan berkenaan.
Dalam ucaptamanya, Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram menarik perhatian bahawa kaedah dan teknik mereka bentuk undang-undang keluarga Islam masa kini di Singapura harus diperluaskan, disemak semula dan diperhalusi di mana perlu. Ini kerana kuncinya adalah untuk melindungi institusi undang-undang keluarga dan kebajikan setiap ahli keluarga.
Bagi mencapai matlamat tersebut, Dr Fatris berkata ia adalah penting untuk bersedia melibatkan tradisi tempatan dan tidak hanya mengehadkan sebagai penerima pasif yang hanya menurut tradisi. Ciri-ciri rangka kerja tersebut, ulas beliau, perlu menyertakan pembacaan tradisi klasik secara teliti dan mendalam, memahami tujuan Syariah serta memberi respons kepada perubahan dalam sekitaran sosial kita.
Simposium tersebut menghimpunkan pakar-pakar dan para pengamal dalam bidang undang-undang keluarga Islam untuk meneliti selain membincangkan pelaksanaan serta berkongsi amalan terbaik di tengah-tengah perubahan sosial masa kini.
Para penceramah setempat dan asing yang diundang di simposium berkenaan menyentuh pelbagai isu termasuk pemikiran Islam klasik mengenai pelbagai aspek berhubung undang-undang keluarga, tafsiran moden dan kontemporari serta perubahan selain isu-isu di sekitar undang-undang dan penguatkuasaan undang-undang keluarga Islam dalam masyarakat kontemporari.
Emeritus Profesor Dr Azizah al-Hibri, moderator Ustaz Irwan Hadi dan Dr Fatris semasa sesi soal dan jawab bersama para peserta simposium. (Gambar: MUIS)
Simposium dua hari yang berlangsung di Royal Plaza on Scotts menyaksikan 120 peserta menyumbang dan membincangkan keadaan undang-undang keluarga Islam di Singapura serta bagaimana perubahan di negara-negara lain boleh disesuaikan mengikut konteks setempat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.